Nato tembak peluru berpandu Iran ke Turkey

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nato tembak peluru berpandu Iran ke Turkey

Mar 5, 2026 | 11:27 AM

Nato tembak peluru berpandu Iran ke Turkey

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
nato, bullet, turkey, iran
Serpihan peluru pemintas yang digunakan oleh sistem pertahanan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk memusnahkan peluru berpandu Iran ditemui di daerah Dortyol, wilayah Hatay di selatan Turkey, pada 4 Mac. - Foto REUTERS

ISTANBUL/COLOMBO: Perang yang baru memasuki hari kelima antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel kini semakin meluas sehingga melangkaui Asia Barat, apabila sebuah kapal perang Iran ditenggelamkan di Lautan Hindi berhampiran Sri Lanka dan peluru berpandu balistik Iran ditembak jatuh berhampiran ruang udara Turkey.

Kejadian terbaru itu menimbulkan kebimbangan bahawa konflik tersebut berpotensi berkembang menjadi krisis keselamatan antarabangsa yang lebih besar melibatkan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan kuasa Eropah.

Kapal perang Iran, IRIS Dena, dilaporkan tenggelam selepas ditembak torpedo oleh sebuah kapal selam Amerika di perairan antarabangsa di Lautan Hindi, lebih 3,200 kilometer dari Iran.

Kapal itu membawa kira-kira 180 anak kapal.

Tentera Laut Sri Lanka berjaya menyelamatkan 32 kelasi yang cedera parah, manakala usaha mencari mangsa lain masih diteruskan.

Jurucakap Tentera Laut Sri Lanka berkata pasukan penyelamat menemui beberapa mayat terapung berhampiran tompokan minyak dan bot penyelamat kosong.

“Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, namun setakat ini hanya mayat ditemui di sekitar kawasan kapal karam,” katanya.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata serangan itu merupakan kali pertama kapal selam Amerika menembak torpedo ke arah kapal sejak Perang Dunia Kedua.

Namun perkembangan yang lebih membimbangkan ialah penglibatan Nato dalam konflik tersebut.

Nato mengesahkan ia telah menembak jatuh sebuah peluru berpandu balistik Iran yang sedang menuju ke ruang udara Turkey.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Turkey, peluru berpandu itu terbang merentasi Iraq dan Syria sebelum dipintas di Laut Mediterranean timur.

Sasaran sebenar peluru berpandu itu tidak dinyatakan secara rasmi.

Namun beberapa pegawai tentera Amerika dan Barat berkata ia dipercayai menyasarkan Pangkalan Udara Incirlik di Turkey, yang menempatkan pasukan Tentera Udara Amerika.

Walaupun Turkey menegaskan ruang udaranya tidak akan digunakan untuk menyerang Iran, kehadiran pangkalan tentera Amerika di negara itu menjadikannya sasaran berpotensi.

Serangan terhadap Turkey juga boleh mencetuskan klausa pertahanan bersama Nato, yang mewajibkan 32 negara anggota mempertahankan mana-mana sekutu yang diserang.

Jurucakap Nato, Cik Allison Hart, berkata pakatan itu akan terus mempertahankan sekutunya.

“Nato berdiri teguh bersama semua sekutu, termasuk Turkey, ketika Iran meneruskan serangan tanpa diskriminasi di seluruh rantau ini,” katanya.

Beliau menambah sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Nato kekal bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman.

Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, dilaporkan telah menghubungi rakan sejawatnya dari Iran untuk membincangkan kejadian peluru berpandu tersebut.

Kementerian Luar Turkey berkata Ankara menegaskan tindakan yang boleh memperluaskan konflik harus dielakkan.

Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan Turkey menegaskan negara itu bersedia mempertahankan wilayahnya.

“Semua langkah yang diperlukan untuk mempertahankan wilayah dan ruang udara Turkey akan diambil dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan,” menurut kenyataan kementerian itu.

Ketika ketegangan meningkat, tentera Israel dilaporkan meneruskan serangan udara terhadap beberapa sasaran strategik di Iran, termasuk pusat komando kumpulan paramilitari Basij. Serangan itu dilakukan selepas pasukan Israel dan Amerika Syarikat menyerang balai polis, pusat tahanan serta pejabat risikan Iran.

Penganalisis berkata serangan tersebut mungkin bertujuan melemahkan keupayaan pemerintah Iran mengawal protes domestik, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan negara itu.

Encik Hegseth berkata operasi ketenteraan Amerika dan Israel masih berada pada peringkat awal.

“Kami tidak akan menghentikan operasi ini. Serangan yang dilancarkan telah memberi kesan besar terhadap program peluru berpandu balistik Iran, armada tentera lautnya serta kepimpinan keselamatan negara itu,” katanya.

Beliau juga mendakwa seorang pemimpin unit rahsia Iran yang pernah merancang membunuh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah terbunuh dalam serangan Amerika.

Menurut pegawai Amerika sebelum ini, rancangan tersebut dipercayai sebagai usaha membalas kematian Jeneral Iran, Encik Qassim Suleimani, yang terbunuh dalam serangan dron Amerika pada 2020.

Encik Hegseth turut mendakwa pesawat perang Amerika dan Israel bakal menguasai sepenuhnya ruang udara Iran.

“Tidak lama lagi kita akan mempunyai kawalan penuh ke atas ruang udara Iran, membolehkan sasaran diserang sepanjang masa,” katanya.

Walaupun beberapa negara Eropah cuba mengelak daripada terlibat secara langsung, perkembangan terkini menunjukkan konflik itu semakin menyeret mereka ke dalam krisis.

Britain dan Perancis mengumumkan akan menghantar kapal perang dan pesawat tentera bagi membantu menangkis serangan Iran di rantau Teluk.

Greece pula menghantar pesawat dan kapal perang ke Cyprus selepas sebuah pangkalan tentera Britain di pulau itu diserang dron pada 1 Mac lalu.

Belanda juga sedang mempertimbangkan permintaan Perancis untuk membantu melindungi laluan perkapalan antarabangsa yang semakin terancam.

Pada hari yang sama, sebuah kapal kontena berbendera Malta dilaporkan terkena serangan projektil tidak dikenali ketika melalui Selat Hormuz, laluan sempit yang membawa hampir satu perlima bekalan minyak dunia.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Kaja Kallas, memberi amaran bahawa perang tersebut kini semakin meluas.

“Konflik ini sedang merebak dengan pantas dan mewujudkan detik yang amat berbahaya bagi Eropah,” katanya.

Menurut beliau, Iran sedang cuba “menyemai kekacauan dan membakar rantau ini dengan menyerang negara lain secara tidak selektif”.

Pakistan turut memberi amaran kepada Iran bahawa ia mempunyai perjanjian pertahanan bersama dengan Arab Saudi.

Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, berkata serangan terhadap Riyadh akan dianggap sebagai serangan terhadap Pakistan.

“Ia adalah perjanjian kedaulatan dan kami terikat dengannya. Pemimpin Iran perlu mengingatinya,” katanya kepada Senat Pakistan.

Sementara itu Iran cuba meredakan kebimbangan negara jiran di Teluk.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, memberitahu Perdana Menteri Qatar bahawa serangan Iran hanya menyasarkan kepentingan Amerika dan bukan negara Qatar.

Namun Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menolak alasan tersebut.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar, beliau berkata Iran sedang “mencederakan negara jirannya dan cuba mengheret mereka ke dalam perang yang bukan milik mereka”.

Sejak konflik bermula 28 Februari lalu, sekurang-kurangnya 870 orang dilaporkan terbunuh di seluruh rantau Asia Barat.

Sebahagian besar mangsa berada di Iran, namun serangan balas Iran turut mengorbankan orang awam di Bahrain, Amiriah Arab Bersatu, Lebanon, Israel dan Kuwait.

Di Kuwait, enam anggota tentera Amerika dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut.

Setakat ini hampir tiada tanda rundingan diplomatik serius bagi menamatkan konflik itu.

Namun China mengumumkan bahawa ia akan menghantar seorang utusan khas ke Asia Barat untuk membantu usaha pengantaraan.

Pemerintah China turut mengecam serangan Amerika dan Israel terhadap Iran.
Dalam kenyataan rasmi, Beijing menyifatkan tindakan membunuh pemimpin sebuah negara berdaulat sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” dan menyeru penyelesaian diplomatik segera bagi menamatkan perang tersebut. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg