Elaun yang diberikan kepada beberapa syarikat besar untuk membayar cukai karbon bukanlah pas percuma untuk mereka terus mengeluarkan gas rumah hijau, kata Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS).
Elaun sedemikian meliputi hanya sebahagian daripada pelepasannya, dan kemudahan yang layak menerimanya mesti mempunyai pelan penyahkarbonan sifar bersih yang boleh dipercayai, kata NCCS dalam satu kenyataan pada lewat 9 September.
Sekretariat itu menjawab pertanyaan, The Straits Times (ST), selepas kumpulan alam sekitar mengeluarkan surat terbuka kepada pemerintah lebih awal pada 9 September, menggesa lebih banyak ketelusan mengenai “diskaun” cukai yang diberikan kepada beberapa syarikat pelepasan gas besar di sini.
Mereka turut mendesak lebih banyak kejelasan tentang berapa banyak cukai karbon akan dinaikkan mulai 2028.
Cukai karbon Singapura mula dinaikkan daripada $5 setiap tan pelepasan karbon dioksida (CO2) kepada $25 setiap tan pada 2024 dan 2025.
Di samping kenaikan cukai, syarikat yang layak dan menghadapi persaingan sengit di peringkat sejagat telah diberikan “diskaun” cukai karbon dalam bentuk elaun.
Syarikat sedemikian mungkin daripada sektor pengilangan melibatkan bahan kimia, elektronik dan bioperubatan.
Terdapat kira-kira 50 syarikat yang membayar cukai karbon di Singapura, terutama daripada sektor pengilangan, tenaga, pembuangan sisa dan air.
Mereka membentuk sekitar 70 peratus daripada jumlah pelepasan negara.
Tidak jelas berapa banyak firma yang telah menerima diskaun cukai karbon atau berapa jumlah elaun tersebut.
Surat terbuka itu mempersoalkan keberkesanan, keadilan dan ketelusan dasar cukai tersebut.
Sebagai tindak balas, NCCS berkata elaun itu bertujuan menyokong syarikat yang terdedah kepada dagangan dalam peralihan hijau dan menghalang mereka daripada berpindah ke negara lain tanpa cukai karbon.
Penempatan semula sebegitu akan menjejas pekerjaan dan ekonomi di sini, sambil membenarkan syarikat terus mengeluarkan karbon ke luar negara.
NCCS menambah bahawa risiko itu “terutamanya relevan di tengah-tengah tekanan politik dan ekonomi semasa yang berhadapan dengan tindakan iklim”.
“(Syarikat ini) bersaing di peringkat sejagat dengan rakan bidang kuasa yang hari ini mempunyai harga karbon lebih rendah atau tiada langsung,” tambahnya.
NCCS menjelaskan jumlah yang diberikannya disandarkan kepada amalan terbaik industri sejagat dalam mengeluarkan karbon dioksida seminimum mungkin.
Semua sisa pelepasan dikenakan cukai $25 bagi setiap tan.
Surat terbuka itu ditulis oleh inisiatif pimpinan belia, Energy CoLab dan kumpulan alam sekitar, LepakInSG, SG Climate Rally dan Singapore Youth for Climate Action.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg