PUTRAJAYA: Singapura dan Malaysia bersetuju meneroka kerjasama kredit karbon di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris, yang menetapkan cara bagi negara bekerjasama secara sukarela untuk mencapai sasaran iklim mereka.
Di bawah kerjasama itu, kedua-dua negara akan dapat memindahkan kredit karbon yang diperoleh daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau untuk membantu satu sama lain mencapai sasaran iklim mereka dan menangani perubahan iklim.
Singapura dan Malaysia juga bersetuju bekerjasama dalam proses yang dikenali sebagai penangkapan dan penyimpanan karbon rentas sempadan (CCS) – iaitu proses menyalurkan dan menyimpan karbon dioksida (CO2) secara kekal, bagi mengelakkan pelepasan ke atmosfera.
Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama kredit karbon dan CCS ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, bersama Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, pada 6 Januari.
Dokumen MOU itu saling ditukar antara Singapura dengan Malaysia pada 7 Januari, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya.
Bercakap kepada media selepas mengadakan sidang media bersama Datuk Anwar, Encik Wong berkata kededua negara komited untuk mencari penyelesaian untuk sama-sama menangani perubahan iklim.
“MOU yang kami saling tukar hari ini, sebagai contoh mengenai penangkapan karbon, berpotensi menjadi kerjasama dalam projek lebih kukuh berkenaan kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ini adalah bidang baru yang kami harap boleh ditingkatkan dan berpotensi mengambil langkah lebih kukuh pada masa hadapan menjelang rahat pemimpin seterusnya,” kata Encik Wong.
Di bawah perjanjian CCS, dua negara itu akan terlibat dalam perbincangan dua hala untuk membolehkan CCS rentas sempadan, dan membincangkan komponen perjanjian antara dua negara itu yang mengikat secara sah.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dua negara itu juga akan berkongsi amalan terbaik dan maklumat mengenai CCS dan memudahkan projek penyelidikan yang diterajui industri jika berkaitan.
Sebuah jawatankuasa bersama yang terdiri daripada wakil kedua-dua pihak juga akan dibentuk untuk memudahkan pelaksanaan MOU itu, kata MTI.
Mengenai perjanjian kerjasama kredit karbon, MTI berkata pemeteraian MOU itu menandakan hasrat kedua-dua negara meneruskan kerjasama sukarela bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan yang ditetapkan dalam Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) mereka.
NDC, yang terangkum di bawah Perjanjian Paris, melibatkan usaha setiap negara mengurangkan pelepasan nasional dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
Di bawah perjanjian kerjasama kredit karbon, kedua-dua negara akan berusaha ke arah Perjanjian Pelaksanaan yang mengikat secara sah.
Perjanjian itu akan mewujudkan rangka kerja dua hala untuk penjanaan dan pemindahan antarabangsa bagi kredit karbon yang diselaraskan sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris.
“Perjanjian Pelaksanaan akan membolehkan pembangunan projek kredit karbon yang membuka potensi pengurangan tambahan, menggalak pembangunan mampan dan memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan.
“Singapura dan Malaysia akan bekerjasama mengenal pasti dan membolehkan projek kredit karbon yang saling menguntungkan untuk menyokong kedua-dua negara dalam mencapai NDC masing-masing dan menggalakkan pembangunan mampan,” kata MTI.
Semasa Rahat Pemimpin itu, Singapura dan Malaysia turut saling tukar beberapa MOU dan perjanjian, termasuk Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan bandar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg