KAHIRAH: Negara-negara Arab dijangka mengumumkan pelan pemulihan Gaza pada 27 Februari dalam satu sidang di Kahirah.
Inisiatif itu, yang dibangunkan oleh pihak Penguasa Palestin (PA) dan diserahkan kepada Mesir untuk pelaksanaan, akan dibentangkan kepada pemimpin Jordan, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Pelan itu memperuntukkan tempoh pemulihan antara tiga dengan lima tahun tanpa pemindahan penduduk Palestin serta tanpa penglibatan Hamas dalam proses pentadbiran.
Pembiayaan dijangka mencecah ratusan juta dolar, dengan dana utama datang daripada negara-negara Teluk.
Sementara itu, syarikat pembinaan dari Mesir akan bertanggungjawab dalam kerja pemulihan, memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada Mesir yang secara tegas menolak sebarang perpindahan rakyat Palestin ke luar Gaza.
“Tenaga kerja utama akan terdiri daripada penduduk Palestin sendiri, bagi memastikan pembangunan Gaza dikendalikan oleh mereka yang paling terkesan dengan peperangan ini,” kata seorang pegawai Arab yang terlibat dalam perancangan tersebut.
Pelan itu turut merangkumi pembentukan satu pentadbiran Palestin yang bebas tetapi masih bergantung kepada PA.
Struktur itu dibentuk bagi mendapatkan persetujuan Israel dan Amerika Syarikat, yang menolak pengurusan langsung oleh PA.
Sumber yang terlibat dalam projek itu menyatakan matlamat utama adalah untuk mengasingkan Hamas daripada struktur pemerintahan Gaza.
“Matlamatnya adalah untuk meminggirkan Hamas sehingga mereka sedar bahawa mereka telah kehilangan kawalan ke atas Gaza.
“Kami mahu menghapuskan cengkaman kumpulan itu dalam tempoh lima tahun selepas pemulihan bermula,” katanya.
Negara-negara Arab dilaporkan bimbang dengan kemungkinan serangan baru oleh Israel yang mungkin digunakan sebagai alasan oleh Presiden Amerika Donald Trump, untuk memindahkan penduduk Palestin ke negara jiran seperti Jordan dan Mesir.
Encik Trump sebelum ini mencadangkan agar negara Arab menerima lebih ramai pelarian dari Gaza supaya wilayah itu boleh “dibersihkan”.
Namun, cadangan itu mendapat tentangan hebat dari negara seperti Mesir dan Jordan yang melihatnya sebagai usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.
Analisis imej satelit menunjukkan sekitar 65 peratus bangunan di Gaza telah musnah akibat perang, dengan anggaran pemulihan berpotensi mengambil masa lebih sedekad dan menelan belanja ratusan bilion dolar.
Arab Saudi kini dilaporkan mengetuai usaha negara Arab dalam merangka pelan alternatif yang berbeza daripada cadangan Encik Trump.
Beberapa pemimpin dari Mesir, Jordan, UAE, dan Palestin dijangka membincangkan butiran akhir rancangan itu dalam satu pertemuan di Riyadh sebelum dibawa ke sidang kemuncak Arab pada 27 Februari.
Pelan itu dijangka berlandaskan idea lama termasuk cadangan PA yang merangkumi pentadbiran teknokrat, pasukan keselamatan yang dilatih oleh negara Arab, serta jaminan bahawa tidak akan ada pemindahan paksa penduduk Palestin.
Penduduk yang kehilangan tempat tinggal akan ditempatkan di kawasan pertanian dan zon sementara sehingga pemulihan sepenuhnya selesai.
Menurut laporan media, anggaran kos pemulihan melebihi AS$30 bilion ($40.18 bilion) dan Mesir dijangka mengatur satu persidangan penderma bagi mendapatkan sokongan antarabangsa.
“Mesir mencadangkan pembentukan jawatankuasa kebangsaan Palestin untuk mentadbir Gaza tanpa penglibatan Hamas.
“Mereka juga menekankan penyertaan antarabangsa dalam pemulihan tanpa perlu memindahkan rakyat Palestin ke luar,” kata tiga pegawai keselamatan Mesir yang enggan dikenali.
Sumber kerajaan Arab menyatakan peranan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS), sangat penting dalam menjayakan pelan tersebut.
Arab Saudi berusaha meyakinkan Washington bahawa mereka mempunyai pelan yang lebih praktikal dan tidak membahayakan kestabilan rantau itu.
“Kami memberitahu Amerika bahawa kami mempunyai pelan yang lebih berkesan.
“Pertemuan dengan MBS akan menjadi faktor penentu kerana beliau sedang menerajui inisiatif ini,” kata seorang pegawai dari Jordan.
Bagaimanapun, cabaran terbesar masih terletak pada isu pemerintahan dalaman Gaza.
Walaupun Hamas sebelum ini menyatakan kesediaan menyerahkan kuasa kepada sebuah jawatankuasa kebangsaan, mereka mahu mempunyai suara dalam pemilihan anggotanya dan tidak bersetuju dengan sebarang penempatan pasukan keselamatan asing tanpa persetujuan mereka.
Menurut seorang diplomat kanan Arab, rundingan dengan Israel dan Amerika juga menjadi satu lagi cabaran besar kerana kedua-dua pihak menginginkan kawalan lebih ketat terhadap sebarang inisiatif di Gaza.
“Banyak perkara yang perlu diputuskan, terutama mengenai pentadbiran dan keselamatan dalaman Gaza.
“Namun, kami percaya inisiatif ini boleh membuka jalan kepada penyelesaian yang lebih baik untuk rakyat Palestin,” kata seorang pegawai Arab yang terlibat dalam rundingan.
Seorang pegawai dari Jordan menegaskan bahawa pelan itu bukan sekadar usaha pembinaan semula, bahkan juga satu strategi untuk memastikan kestabilan di rantau itu.
“Kami tidak mahu melihat Gaza dibangunkan hanya untuk dimusnahkan semula dalam masa beberapa tahun akan datang,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg