Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raja Jordan tolak desakan Trump pindah warga Palestin dari Gaza

Feb 12, 2025 | 11:42 AM
Presiden Donald Trump (kanan) dalam pertemuan di Pejabat Meja Mundar, Rumah Putih pada 11 Februari, mendesak Raja Abdullah dari Jordan agar menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Gaza, walaupun Jordan menentang keras langkah itu.
Presiden Donald Trump (kanan) dalam pertemuan di Pejabat Meja Mundar, Rumah Putih pada 11 Februari, mendesak Raja Abdullah dari Jordan agar menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Gaza, walaupun Jordan menentang keras langkah itu. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 11 Februari mendesak Raja Abdullah dari Jordan supaya menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Jaluran Gaza.

Namun, Raja Abdullah menegaskan negaranya tetap menentang keras langkah Encik Trump itu.

Dalam sidang akbar bersama di Rumah Putih, Encik Trump memberi isyarat bahawa beliau tidak akan berganjak daripada cadangannya untuk memindahkan lebih dua juta rakyat Gaza dan mengubah wilayah itu sebagai kawasan peranginan tepi pantai atau Riviera Timur Tengah.

Beliau telah menimbulkan kemarahan dunia Arab dengan menyatakan rakyat Palestin tidak akan dapat pulang ke rumah mereka di bawah cadangannya untuk membangunkan semula wilayah yang telah musnah akibat serangan Israel.

“Kami akan mengambilnya. Kami akan memilikinya dan menghargainya. Kami akan meneruskannya di mana banyak pekerjaan akan diwujudkan untuk rakyat di Timur Tengah,” kata Encik Trump sambil menambah rancangannya akan “membawa keamanan” ke rantau tersebut.

Dalam sidang akhbar bersama, Raja Abdullah mengulangi “pendirian teguh” Jordan – menentang pemindahan penduduk Palestin di Gaza, serta di Tebing Barat yang diduduki Israel.

“Ini adalah pendirian bersatu Arab. Membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin dan menangani keadaan kemanusiaan yang teruk harus menjadi keutamaan untuk semua,” katanya dalam hantaran di X.

Di sebalik penentangan rakan sejawatannya dari Jordan, Encik Trump berkata Jordan dan Mesir, akhirnya akan bersetuju untuk menempatkan penduduk Gaza yang dipindahkan kelak.

Kedua-dua negara bergantung kepada Washington untuk bantuan ekonomi dan ketenteraan.

“Saya percaya kita akan mempunyai sebidang tanah di Jordan. Saya percaya kita akan mempunyai sebidang tanah di Mesir.

“Kita mungkin mempunyai tempat lain, tetapi saya fikir apabila kita menyelesaikan perbincangan mengenainya, kita akan mempunyai tempat mereka akan hidup dengan sangat gembira dan amat selamat,” tambah Encik Trump.

Encik Trump yang sebelum ini berkata beliau boleh mempertimbangkan untuk menahan bantuan kepada Jordan, sebaliknya menyatakan beliau tidak menggunakan sokongan sebagai ancaman.

Raja Abdullah adalah pemimpin Arab pertama yang bertemu Encik Trump sejak beliau mencadangkan pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Komen Encik Trump tentang Gaza meletakkan Raja Abdullah dalam kedudukan serba salah, memandangkan sensitiviti di Jordan terhadap tuntutan rakyat Palestin untuk kembali ke Gaza selepas melarikan diri semasa perang yang membawa kepada pewujudan Israel pada 1948. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg