Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Arab, PBB kecam Israel sekat bantuan ke Gaza

Mar 3, 2025 | 11:54 AM
Agensi bantuan kemanusiaan menyatakan bahawa mereka telah menyimpan bekalan makanan yang mencukupi, dan oleh itu, tiada ancaman segera terhadap penduduk Gaza yang sedang menyambut Ramadan.
Agensi bantuan kemanusiaan menyatakan bahawa mereka telah menyimpan bekalan makanan yang mencukupi, dan oleh itu, tiada ancaman segera terhadap penduduk Gaza yang sedang menyambut Ramadan. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Beberapa negara Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengecam Israel kerana menghalang kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.

Mesir dan Qatar berkata tindakan Israel pada 2 Mac melanggar perjanjian gencatan senjata, manakala Setiausaha Agung PBB untuk Hal Ehwal Kemanusiaan, Encik Tom Fletcher, menegaskan:

“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah jelas: Kita mesti mendapat akses untuk menyalurkan bantuan bagi menyelamatkan nyawa...”

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata negaranya bertindak sedemikian kerana Hamas dikatakan mencuri bekalan dan menggunakannya untuk membiayai kegiatannya.

“Ia menggunakan bekalan ini untuk membiayai kegiatan ganasnya, yang ditujukan secara langsung kepada Israel dan orang awam kami, dan ini tidak boleh kami terima,” tambahnya.

Hamas sebelum ini menafikan dakwaan ia mencuri bantuan kemanusiaan di Gaza.

Encik Netanyahu turut menuduh Hamas enggan menerima lanjutan sementara gencatan senjata yang dicadangkan oleh utusan Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff.

Israel berkata ia telah meluluskan cadangan tersebut.

Jurucakap Hamas berkata sekatan Israel adalah “pemerasan murahan” dan “tindakan merampas kuasa” perjanjian gencatan senjata.

Perjanjian gencatan senjata menghentikan 15 bulan pertempuran antara Hamas dengan tentera Israel, membenarkan pembebasan 33 tebusan Israel untuk pertukaran dengan sekitar 1,900 tawanan dan tahanan Palestin.

Dalam satu kenyataan pada 2 Mac, Kementerian Luar Qatar berkata ia “mengutuk sekeras-kerasnya” keputusan Israel itu, menyifatkan ia sebagai “pelanggaran jelas perjanjian gencatan senjata” dan “undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Di Mesir, Kementerian Luarnya menuduh Israel menggunakan aspek kebuluran sebagai senjata menentang rakyat Palestin.

Kedua-dua Qatar dan Mesir membantu menjadi pengantara perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Arab Saudi turut mengecam sekatan kemasukan bantuan ke Gaza oleh Israel, kata Kementerian Luarnya.

Fasa pertama gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari dan tamat pada tengah malam 1 Mac.

Rundingan fasa kedua, yang bertujuan membawa kepada gencatan senjata berkekalan, pembebasan semua tebusan yang masih hidup dan pengunduran tentera Israel dari Gaza, sepatutnya bermula minggu lalu – tetapi hampir tidak bermula.

Terdapat 24 tebusan dipercayai masih hidup, dengan 39 lagi dianggap sudah mati.

Fasa ketiga bertujuan menyaksikan pemulangan semua mayat tebusan Israel dan pembinaan semula Gaza, yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Hamas sebelum ini berkata ia tidak akan bersetuju dengan sebarang lanjutan fasa satu tanpa jaminan daripada perantara bahawa fasa kedua akhirnya akan dilaksanakan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg