RAFAH (Palestin): Barisan meja beberapa ratus meter mengukir laluan melalui timbunan runtuhan di selatan Gaza pada 1 Mac, ketika keluarga berkumpul untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.
Ketika matahari terbenam di satu kejiranan di Rafah, di mana hanya beberapa bangunan masih berdiri, ratusan penduduk Gaza dari semua peringkat umur menikmati Iftar.
“Orang ramai sangat sedih, segala-galanya di sekeliling kami terasa menyayat hati,” kata Encik Malak Fadda, yang menganjurkan jamuan bersama itu.
“Jadi, kami memutuskan untuk membawa kegembiraan semula ke jalan ini,” tambahnya.
Masih terdapat ketidakpastian mengenai gencatan senjata di Gaza seterusnya, yang fasa pertamanya hampir berakhir pada 1 Mac.
Tahap kedua itu sepatutnya membuka jalan untuk penamatan perang lebih kekal, dan pada awal 2 Mac, pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengumumkan gencatan senjata sementara di Gaza untuk Ramadan dan Paskah Yahudi.
Hampir semua penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari itu membolehkan lebih banyak bantuan mengalir ke Palestin, namun ratusan ribu terus tinggal di dalam khemah.
“Pada hari pertama Ramadan, kami berharap dapat kembali ke rumah untuk iftar bersama keluarga,” kata Cik Umm al-Baraa Habib.
“Tetapi ini kehendak Tuhan, dan kami tetap teguh,” tambahnya. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg