KAHIRAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Encik Antony Blinken kembali ke Israel pada Isnin untuk berbincang “mengenai jalan ke hadapan” selepas beberapa hari bertemu para pemimpin Arab yang turut berkongsi keazaman untuk memastikan konflik Israel dengan kumpulan militan Hamas tidak melimpah ke kawasan lain.
Encik Blinken berkata, pemimpin di negara Arab yang dilawatinya sejak beberapa hari lalu bertekad untuk menghentikan perang daripada berlarutan.
“Terdapat keazaman di setiap negara yang saya kunjungi untuk memastikan konflik ini tidak merebak. Mereka menggunakan pengaruh dan hubungan mereka sendiri untuk cuba memastikan perkara ini tidak berlaku.” kata Encik Blinken kepada pemberita ketika meninggalkan Kahirah untuk ke Tel Aviv.
Beliau juga memberitahu bahawa laluan sempadan ke Gaza yang dikawal Mesir, dijangka dibuka semula ketika usaha diplomatik dilaksanakan bagi membolehkan bantuan dihantar ke kawasan berkenaan.
“Rafah akan dibuka semula... kami sedang melaksanakan satu mekanisme antaranya bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir dan Israel bagi mendapatkan bantuan serta menyalurkannya kepada insan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, pada Ahad.
Sejak serangan berdarah 7 Oktober oleh militan Hamas ke atas Israel, Encik Blinken telah melawat tujuh negara Timur Tengah untuk menunjukkan sokongan kepada Israel.
Encik Blinken berkata beliau mendapati perbincangan produktif dengan Encik Sisi dan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dan mengakui bahawa kedua-duanya lebih menumpukan perhatian kepada nasib rakyat Palestin ketika Israel melancarkan serangan darat.
Encik Blinken juga berkata beliau mendengar “banyak idea yang baik tentang beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk bergerak ke hadapan, termasuk idea praktikal bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza”.
Arab Saudi dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah cuba mendapatkan insentif Amerika termasuk jaminan keselamatan secara rasmi sedang ia menimbangkan pemulihan hubungan dengan Israel, walaupun kerajaan itu telah menangguhkan rundingan selepas keganasan berlaku.
Encik Blinken dilaporkan menunggu sepanjang malam di Riyadh untuk bertemu Putera Mohammed. Mereka akhirnya bertemu sejurus selepas subuh di ladang milik persendiriannya.
Pada masa sama, Encik Blinken berkata, diplomat veteran Amerika, Encik David Satterfield, dilantik sebagai utusan khas untuk isu kemanusiaan di Timur Barat, pada Sabtu.
Encik Satterfield tiba di Mesir pada Ahad untuk mencari kata sepakat berhubung misi kemanusiaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg