Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Eropah sokong Ukraine susulan perbalahan Trump, Zelensky

Perancis, Britain mahu cadang gencatan senjata sebulan di Ukraine
Mar 3, 2025 | 1:28 PM
(Dari kiri) Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky; Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer; dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mengadakan pertemuan semasa sidang puncak di Lancaster House di London, pada 2 Mac.
(Dari kiri) Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky; Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer; dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mengadakan pertemuan semasa sidang puncak di Lancaster House di London, pada 2 Mac. - Foto AFP

LONDON: Pemimpin Eropah melahirkan sokongan terhadap Kyiv dalam sidang puncak London pada 2 Mac dan berjanji meningkatkan perbelanjaan keselamatan serta saling bersatu bagi mempertahankan sebarang gencatan senjata di Ukraine.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dalam penerbangan pulang dari sidang puncak itu, berkata bahawa Perancis dan Britain mahu mencadangkan gencatan senjata selama sebulan.

Sidang puncak itu, yang menghimpunkan 18 sekutu, diadakan hanya dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menempelak Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, di hadapan wartawan di Rumah Putih.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata bahawa Britain, Perancis, “dan negara-negara lain” akan bekerjasama dengan Ukraine dalam merangka pelan untuk menghentikan pertempuran, sebelum membentangkannya kepada Washington.

Pertemuan di London itu berlangsung pada saat genting tatkala Ukraine yang dilanda perang, berdepan sokongan Amerika yang tidak menentu serta berusaha gigih untuk menangkis pencerobohan Russia yang memasuki tahun ketiga.

Perbalahan Encik Trump dengan Encik Zelensky turut menimbulkan persoalan baru mengenai komitmen Amerika kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Encik Starmer berkata Eropah mendapati dirinya “di persimpangan dalam sejarah”.

“Ini bukan masa untuk bercakap lebih lanjut – sudah tiba masanya untuk bertindak. Sudah tiba masanya untuk meningkatkan dan memimpin serta bersatu dalam rancangan baru untuk keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.

Tanpa jaminan penglibatan Amerika, “Eropah mesti menggalas tugas berat”, tambahnya.

Beberapa negara bersedia membantu mempertahankan sebarang gencatan senjata, tambahnya – tanpa menamakan mereka.

Encik Macron, dalam temu bual dengan akhbar, Le Figaro Perancis, berkata beliau dan Encik Starmer sedang mengusahakan gencatan senjata selama sebulan di Ukraine.

Encik Zelensky disambut mesra oleh ramai pemimpin dunia dalam sidang puncak itu.

Di luar bangunan Downing Street, penunjuk perasaan berkumpul untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Ukraine.

Encik Zelensky juga bertemu Raja Charles III di istananya di Sandringham.

Sambutan di London amat berbeza dengan di Rumah Putih.

Di sana, Encik Trump menuduh Encik Zelensky tidak cukup berterima kasih atas bantuan Amerika dan tidak “bersedia” untuk berdamai dengan Russia.

Kenyataan Encik Trump itu dilihat cuba memaksa Kyiv ke arah perjanjian damai yang akan memberikan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, apa yang dimahukannya.

Encik Starmer, yang telah bertemu Encik Trump beberapa hari sebelum itu, menegaskan Amerika “bukan sekutu yang tidak boleh dipercayai” dan sebarang perjanjian “mesti mendapat sokongan kuat Amerika” untuk berjaya.

Tetapi selepas para pemimpin bertemu pada 2 Mac, ketua Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, memberi amaran bahawa benua itu perlu segera mengangkat senjata semula untuk “bersedia menghadapi yang terburuk”.

Perdana Menteri Poland, Encik Donald Tusk, pula menggesa Amerika dan Eropah supaya menunjukkan kepada Encik Putin “bahawa Barat tidak berniat untuk menyerah kalah sebelum pemerasan dan pencerobohannya”.

Encik Starmer dan Encik Macron berkata mereka bersedia mengerahkan tentera negara masing-masing ke Ukraine untuk membantu mengekalkan sebarang gencatan senjata. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg