Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Starmer bincang jaminan keselamatan bagi gencatan senjata Ukraine

Feb 28, 2025 | 2:36 PM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berjalan meninggalkan sidang media di Rumah Putih di Washington, D.C pada 27 Februari 2025. 
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berjalan meninggalkan sidang media di Rumah Putih di Washington, D.C pada 27 Februari 2025.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengambil pendekatan yang lebih diplomatik dalam perbincangan mengenai gencatan senjata Ukraine semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

Namun, beliau enggan memberikan komitmen pasti mengenai jaminan keselamatan yang sangat diinginkan oleh Eropah.

Dalam pertemuan pada 27 Februari itu, Encik Trump memberi ‘harapan’ kepada Encik Starmer dengan peluang perjanjian perdagangan, manakala Perdana Menteri Britain itu turut memenuhi kehendak Trump dengan mengundang Raja Charles III untuk membuat lawatan negara ke Amerika.

Encik Trump, yang telah mengejutkan Eropah dengan perubahan sikapnya terhadap Russia, mengatakan bahawa sudah ada “banyak kemajuan” menuju perjanjian untuk mengakhiri konflik di Ukraine dan bahawa rundingan kini berada di tahap yang kritikal.
“Ia mungkin akan berlaku tidak lama lagi, atau tidak langsung,” kata Encik Trump dalam sidang media bersama Encik Starmer.

Presiden Amerika itu juga meredakan ketegangan yang timbul sebelum ini dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang telah menimbulkan kebimbangan bahawa Encik Trump mungkin akan mengecualikan Ukraine daripada rundingan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Saya sangat menghormati beliau,” kata Encik Trump mengenai Encik Zelensky.
Di Pejabat Oval, Encik Trump juga menarik balik kenyataannya yang memanggil Encik Zelensky sebagai diktator, sambil berkata, “Adakah saya kata begitu? Saya tak percaya saya cakap begitu.”

Mengenai jaminan keselamatan yang diinginkan oleh Britain dan Perancis sebagai pertukaran untuk menghantar pasukan penjaga keamanan ke Ukraine sekiranya terdapat perjanjian dengan Russia, Encik Trump tetap tidak memberikan komitmen yang jelas.

Presiden Amerika itu berkata beliau “terbuka untuk banyak perkara” berkaitan jaminan keselamatan tetapi beliau mahu memastikan perjanjian Russia-Ukraine tercapai terlebih dahulu.

Encik Trump juga menambah bahawa beliau percaya Encik Putin akan “menepati kata-katanya,” menolak amaran Encik Starmer bahawa gencatan senjata tanpa jaminan Amerika akan membenarkan Russia menyerang Ukraine sekali lagi.

Ini menjadikan Starmer pemimpin kedua dalam seminggu yang pulang tanpa sebarang hasil mengenai Ukraine selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut berusaha memujuk Encik Trump pada 24 Februrai.

“Kita perlu menang dalam kedamaian,” kata Encik Starmer dalam sidang media bersama itu. “Ia tidak boleh menjadi kedamaian yang memberi ganjaran kepada penyerang.”

Namun, Perdana Menteri Britain itu cuba menunjukkan kesediaannya untuk lebih terlibat di Ukraine, kerana Encik Trump sering menggesa negara-negara Eropah untuk memberi lebih banyak sumbangan dalam pertahanan benua mereka.

“Saya jelaskan bahawa UK bersedia untuk menghantar pasukan dan pesawat udara untuk menyokong perjanjian ini,” kata Encik Starmer.

Dalam wawancara dengan Fox News selepas itu, Encik Starmer memuji Encik Trump kerana memimpin usaha ke arah gencatan senjata tetapi menegaskan: “Kita perlu pertahankannya.”

Encik Starmer meninggalkan pertemuan itu dengan suasana positif, selepas Encik Trump memujinya sebagai “perunding yang keras.” Selain itu, Encik Trump turut memberi harapan untuk perjanjian perdagangan pasca-Brexit yang berpotensi membantu Britain mengelakkan tarif yang telah diumumkan terhadap negara-negara lain pada permulaan penggal kedua Encik Trump.

“Beliau mencuba. Beliau berusaha keras, saya boleh beritahu anda akan hal itu,” Encik kata Trump dengan tawa apabila ditanya sama ada Perdana Menteri Britain itu berjaya meyakinkannya untuk tidak mengenakan tarif tersebut.

Dalam satu momen yang dikendalikan dengan rapi di Pejabat Oval, Encik Starmer juga menyerahkan surat daripada Raja Charles III yang mengundang Trump untuk lawatan negara kedua, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah sejarah yang benar-benar bersejarah,” kata Encik Starmer.

Encik Trump mengakui bahawa beliau “berasa dihormati” dan akan menghadiri lawatan itu bersama isteri Cik Melania Trump.

Namun, mengenai Ukraine, dunia kini akan memerhatikan dengan teliti pertemuan Trump dengan Zelensky di Rumah Putih pada 28 Februari ini.

Kedua-dua pemimpin itu akan menandatangani perjanjian yang memberikan Washington akses eksklusif kepada mineral nadir di Ukraine, yang telah diminta oleh Encik Trump sebagai bayaran untuk bantuan ketenteraan AS kepada Kyiv.

“Kami akan menggali, menggali, menggali,” kata Encik Trump kepada wartawan.
Encik Zelensky berharap perjanjian itu akan merangkumi jaminan keselamatan Amerika, tetapi ia nampaknya tidak menyentuh perkara tersebut.

Perbincangan antara pegawai Amerika dan Russia — yang dimulakan selepas satu panggilan telefon mengejut antara Trump dan Putin lebih dua minggu lalu — masih diteruskan dengan Ukraine diketepikan.

Encik Putin berkata bahawa perbincangan awal “memberi sedikit harapan” untuk menyelesaikan “masalah” seperti konflik Ukraine.

Namun, Kremlin menegaskan pemulangan wilayah Ukraine yang didakwa diilhakan Russia semasa pencerobohannya, sesuatu yang dikatakan Trump mungkin menjadi sebahagian daripada perjanjian damai masa depan, adalah sesuatu yang ‘tidak boleh dirunding’. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg