Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Eropah sokong usul pemimpin Arab buat Gaza

Mar 9, 2025 | 5:49 PM
Dalam satu kenyataan bersama, menteri beberapa negara Eropah, berkata usulan pemimpin Arab, menjanjikan pembangunan cepat serta mampan untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat Palestin di Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama, menteri beberapa negara Eropah, berkata usulan pemimpin Arab, menjanjikan pembangunan cepat serta mampan untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat Palestin di Gaza. - Foto REUTERS

ROME: Menteri Luar Perancis, Jerman, Italy, dan Britain menyokong usul yang disepakati negara-negara Arab untuk membina semula Gaza dan mengelakkan pemindahan rakyat Palestin dari tanah air mereka, dengan kos yang dijangka mencecah AS$53 bilion ($70 bilion).

“Usul ini menunjukkan jalan yang munasabah untuk pembinaan semula Gaza dan menjanjikan – jika berjaya dilaksanakan – pembangunan yang cepat lagi mampan bagi memperbaiki (keadaan) hidup yang semakin buruk bagi rakyat Palestin di Gaza,” kata menteri-menteri tersebut dalam satu kenyataan bersama pada 8 Mac.

Sementara itu, dalam kenyataan pada 9 Mac, Hamas menggesa agar perbincangan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dimulakan segera.

Usul yang dirangka oleh Mesir dan disepakati pemimpin Arab pada 4 Mac itu ditolak oleh Israel serta Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang mempunyai wawasan tersendiri untuk mengubah Jaluran Gaza menjadi kawasan peranginan tepi pantai atau ‘Riviera Timur Tengah’, serta mengusir penduduk Palestin ke Mesir atau Jordan.

Cadangan Mesir itu merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran terdiri daripada teknokrat Palestin bebas dan profesional, yang akan bertanggungjawab mentadbir Gaza selepas berakhirnya perang di Gaza.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh keempat-empat negara Eropah itu menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pemimpin Arab.

Dalam pada itu, kumpulan Hamas, pula menggesa agar rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza, dimulakan dengan serta-merta, manakala Israel menuntut pembebasan segera baki 59 tebusan.

Hamas menambah delegasinya sudah mengadakan perbincangan dengan ketua agensi perisikan umum Mesir, Encik Hassan Mahmoud Rashad, di Kahirah mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.

Israel dan Hamas pada 8 Mac, memberi isyarat bahawa mereka bersedia melangkah ke fasa rundingan seterusnya.

Menurut Hamas, terdapat “petanda positif’” rundingan fasa kedua bakal bermula, namun tidak memberi butiran lanjut.

Israel pula berkata mereka akan menghantar delegasi ke Doha, Qatar, pada 10 Mac, bagi meneruskan rundingan itu selepas menerima jemputan daripada pihak pengantara yang disokong Amerika.

Jurucakap Hamas, Encik Abdel-Latif Al-Qanoua, menegaskan mereka sedia terlibat dalam rundingan fasa kedua jika ia memenuhi tuntutan rakyat Palestin.

“Kami menyeru usaha lebih intensif untuk membantu Jaluran Gaza dan menamatkan sekatan ke atas rakyat kami yang menderita,” kata Encik Al-Qanoua.

Namun, ketika usaha diplomasi diteruskan, satu serangan udara Israel yang didakwa dilakukan untuk menjatuhkan sebuah dron yang melintasi sempadan Israel ke selatan Gaza, telah membunuh dua rakyat Palestin di Rafah, selatan Gaza, pada 8 Mac.

Fasa pertama gencatan senjata telah berakhir minggu lalu, dan Israel sejak itu mengenakan sekatan penuh terhadap semua barangan yang memasuki Gaza, serta menuntut Hamas membebaskan baki tebusan tanpa memulakan rundingan untuk menamatkan perang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg