Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua baru tentera Israel akui misi menentang Hamas ‘tidak tercapai’

Mar 6, 2025 | 2:40 PM
Encik Eyal Zamir, ketua tentera Israel yang baru dilantik pada 5 Mac, berkata misi ketenteraan menentang Hamas masih belum selesai.
Encik Eyal Zamir, ketua tentera Israel yang baru dilantik pada 5 Mac, berkata misi ketenteraan menentang Hamas masih belum selesai. - Foto Reuters

TEL AVIV: Hampir seminggu selepas tentera Israel mengakui “kegagalan sepenuhnya” untuk menghalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Eyal Zamir, ketua baru tentera negara itu, berkata misi ketenteraan menentang Hamas masih belum selesai.

Encik Zamir mengangkat sumpah sebagai ketua tentera yang baru pada 5 Mac, menggantikan Encik Herzi Halevi.

Bercakap di hadapan Encik Zamir dalam satu majlis di ibu pejabat tentera di Tel Aviv, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel “bertekad” untuk mencapai kemenangan dalam perang yang meletus ekoran serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Kenyataan itu dibuat selepas para pemimpin Arab mengesahkan pada 4 Mac rancangan untuk membina semula Jaluran Gaza di bawah pentadbiran masa depan Penguasa Palestin, mengemukakan alternatif kepada cadangan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump yang bercadang mengambil alih wilayah itu dan memindahkan penduduknya.

Namun prospek Penguasa Palestin yang mentadbir Gaza, masih jauh daripada pasti dengan Israel telah menolak sebarang peranan masa depan untuk badan itu di wilayah yang diperintah oleh Hamas sejak 2007.

Encik Halevi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua angkatan tentera pada Januari atas kelemahan tentera dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sejak itu, tentera Israel telah mengeluarkan hasil siasatan dalaman yang mengakui “kegagalan sepenuhnya” untuk menghalang serangan paling maut ke atas Israel sejak penciptaannya.

Serangan Hamas mengakibatkan kematian 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, manakala tindakan balas tentera Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 48,405 orang, juga kebanyakan orang awam, data dari kedua-dua pihak menunjukkan.

Peperangan di Gaza telah menyebabkan wilayah itu sebahagian besarnya musnah dan mewujudkan krisis kemanusiaan yang teruk.

Sidang puncak Liga Arab pada 4 Mac mengumumkan pelan “komprehensif” untuk pembinaan semula Gaza, yang akan dibiayai oleh dana amanah.

Draf awal rancangan itu menggariskan rangka kerja selama lima tahun yang menelan belanja AS$53 bilion (S$70.6 bilion).

Draf tersebut menyebut “semua usaha ini berjalan selari dengan pelancaran landasan politik” menuju kenegaraan Palestin - sesuatu yang ditentang pemimpin Israel. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg