Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Islam, Arab kecam undang-undang Israel lulus peluasan Tebing Barat

AS ancam tarik balik semua sokongan ke atas Israel
Oct 24, 2025 | 10:12 AM
Pintu pagar besi ditutup oleh pasukan keselamatan Israel di pintu masuk utama ke kampung Hares berhampiran bandar Salfit, Tebing Barat, pada 23 Oktober. Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, berkata langkah Parlimen Israel memperluas Tebing Barat yang diduduki akan mengancam rancangan Washington bagi menamatkan konflik di Gaza.
Pintu pagar besi ditutup oleh pasukan keselamatan Israel di pintu masuk utama ke kampung Hares berhampiran bandar Salfit, Tebing Barat, pada 23 Oktober. Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, berkata langkah Parlimen Israel memperluas Tebing Barat yang diduduki akan mengancam rancangan Washington bagi menamatkan konflik di Gaza. - Foto EPA

RIYADH: Gelombang kecaman antarabangsa tercetus selepas Parlimen Israel Knesset meluluskan dua rang undang-undang baru yang membuka jalan ke arah peluasan rasmi wilayah Palestin di Tebing Barat.

Tindakan itu disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan mencetuskan amaran keras Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan bersama, 15 negara termasuk Arab Saudi, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turkey, Oman, Mesir, Qatar, Kuwait, Libya, Malaysia, Nigeria, Djibouti, Gambia, dan Palestin, bersama Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menyatakan bantahan tegas terhadap langkah Israel itu.

“Negara-negara ini dengan tegas mengutuk tindakan Knesset Israel meluluskan dua rang undang-undang tersebut.

“Langkah itu adalah satu pelanggaran terang terhadap undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan bersama.

Knesset mengundi pada 22 Oktober untuk mempertimbangkan dua rang undang-undang yang akan memberi Israel kawalan penuh terhadap kawasan tertentu di Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.

Undang-undang pertama bertujuan memperluaskan “kedaulatan Israel” ke atas semua petempatan haram, manakala undang-undang kedua menumpukan kepada bandar petempatan besar Ma’ale Adumim, terletak di timur Baitulmakdis.

Langkah itu dibuat ketika lawatan Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, ke Israel pada 22 Oktober, diikuti Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, pada 23 Oktober, mencetuskan ketegangan diplomatik yang jarang berlaku antara Washington dengan Tel Aviv.

Dalam temu bual bersama majalah TIME yang diterbitkan pada 23 Oktober, Presiden Amerika Donald Trump memberi amaran Israel akan “kehilangan semua sokongan Amerika” sekiranya meneruskan rancangan peluasan Tebing Barat.

“Ia tidak akan berlaku kerana saya telah memberikan jaminan kepada negara-negara Arab… Israel akan kehilangan semua sokongan dari Amerika jika perkara itu berlaku,” kata Encik Trump kepada TIME.

Sementara itu, Encik Rubio turut menegaskan tindakan Israel itu berisiko “menggagalkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza” selepas dua tahun konflik berdarah antara Israel dengan Hamas.

“Kami berpendapat langkah ini mengancam kestabilan proses damai. Ia bukan sesuatu yang kami sokong ketika ini,” kata Encik Rubio kepada pemberita sebelum berlepas ke Israel.

Negara-negara Arab melihat langkah Israel itu sebagai ancaman kepada hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka sendiri.

Arab Saudi, yang sedang dipujuk Washington untuk memulihkan hubungan dengan Israel, menegaskan pendiriannya menolak “semua pelanggaran dan tindakan peluasan penempatan yang dilakukan pihak berkuasa pendudukan Israel”.

Jordan menyifatkan undang-undang itu sebagai “tamparan kepada penyelesaian dua negara dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri”, manakala Turkey menegaskan bahawa peluasan Tebing Barat adalah “batal dan tidak sah”.

“Langkah ini bersifat provokatif dan diambil ketika usaha mewujudkan keamanan di Gaza sedang dijalankan.

“Ia mengancam kestabilan yang sudah rapuh di rantau ini,” kata Kementerian Luar Turkey.

Qatar pula menyifatkan langkah Israel sebagai “pelanggaran terang terhadap hak sejarah rakyat Palestin dan cabaran terhadap undang-undang antarabangsa serta ketetapan berkaitan”.

Gerakan Hamas, yang baru dua minggu lalu menandatangani gencatan senjata dengan Israel di Gaza, menganggap tindakan itu sebagai usaha “terdesak dan tidak sah” yang “tidak akan mengubah hakikat bahawa Tebing Barat adalah tanah Palestin”.

“Undian itu menggambarkan wajah kolonial pendudukan Israel yang hodoh,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Penguasa Palestin (PA) yang diiktiraf antarabangsa turut mengecam keras langkah tersebut, menyatakan bahawa Israel “tidak akan pernah memiliki kedaulatan ke atas wilayah Palestin”.

“Cubaan untuk menggabungkan wilayah Palestin ke bawah undang-undang Israel adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan konvensyen Geneva,” tegas kenyataan PA.

Langkah undang-undang itu turut memperlihatkan perpecahan politik di Israel sendiri.

Perdana Menteri israel, Encik Benjamin Netanyahu, terpaksa menjauhkan diri daripada undian Knesset itu setelah menerima tekanan dari Washington.

“Undian Knesset mengenai peluasan adalah provokasi politik yang disengajakan oleh pembangkang untuk menimbulkan kekecohan semasa lawatan Naib Presiden JD Vance ke Israel,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Namun begitu, undian itu mendapat sokongan daripada tokoh kanan sayap ekstrem seperti Menteri Keselamatan Nasional, Encik Itamar Ben-Gvir; Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, dan ahli parti ultranasionalis Encik Avi Moaz, daripada parti Noam.

Kedua-dua rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti tipis – satu daripadanya mendapat 25 undi berbanding 24, manakala satu lagi diluluskan dengan 32 undi berbanding sembilan.

Kenyataan kontroversi Encik Smotrich di sebuah persidangan pada 23 Oktober turut memburukkan hubungan diplomatik Israel dengan dunia Arab apabila beliau menghina Arab Saudi.

“Jika syarat untuk memulihkan hubungan ialah penubuhan negara Palestin, maka tidak perlu.

“Biarlah kamu terus menunggang unta di padang pasir Saudi,” katanya – satu kenyataan yang kemudian mencetuskan kecaman meluas, termasuk daripada ahli politik Israel

Encik Smotrich kemudian memohon maaf secara separa melalui video, menyatakan ucapannya itu “tidak disengajakan dan tidak wajar,” namun beliau tetap mempertahankan pendiriannya menyokong pengilhakan.

Dua rang undang-undang itu memperlihatkan arah tuju baru Israel menuju ke arah peluasan secara rasmi yang bakal menamatkan harapan pembentukan negara Palestin merdeka.

Langkah itu turut memperkukuh kawalan terhadap petempatan haram Yahudi yang kini memecahbelahkan wilayah Palestin kepada enklaf terasing.

Bagi banyak pihak, tindakan itu menandakan peralihan dasar Israel daripada pendudukan bersyarat kepada pemilikan mutlak sesuatu yang menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan rundingan damai.

Sebagaimana ditegaskan Hamas, “undian Knesset tidak akan mengubah hakikat sejarah: Tebing Barat adalah tanah Palestin, dan dunia harus menolak penjajahan yang disahkan melalui undang-undang”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg