Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump jamin tidak benarkan Israel luaskan kawalan ke atas Tebing Barat

Amerika kemuka pelan damai baru bagi tamatkan perang Israel-Hamas semasa Perhimpunan Agung PBB pada 23 Sep
Sep 25, 2025 | 11:30 AM
amerika syarikat, donald trump, turkey, UNGA,  Gaza, Israel-Palestin
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (dua dari kanan) dan Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdogan (tiga dari kanan) mendengar perbincangan semasa mesyuarat pelbagai hala bersama pemimpin negara Arab dan majoriti Islam pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB yang terletak di New York, pada 23 September. - Foto AFP

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi jaminan kepada pemimpin Arab dan Islam bahawa beliau tidak akan membenarkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, melaksanakan rancangan untuk meluaskan kawalan ke atas wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Jaminan itu dilaporkan Politico, yang memetik enam sumber rapat dengan perbincangan tersebut.

Dua daripada mereka menegaskan Encik Trump tegas mengenai perkara itu dan berjanji Israel tidak akan dibenarkan “menyerap Tebing Barat”.

Encik Trump membuat kenyataan itu semasa membentangkan pelan damai baru bagi menamatkan perang hampir dua tahun Israel-Hamas di Gaza.

Dalam pertemuan tertutup di New York pada 23 September bersama lapan pemimpin negara Arab dan Islam di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Encik Trump mengemukakan kertas putih yang mengandungi rancangan pascaperang Gaza, keselamatan serantau dan ikrar menghalang penaklukan Tebing Barat.

Utusan khas Amerika, Enck Steve Witkoff, yang mengetuai usaha perantaraan berbulan-bulan untuk menghentikan perang, berkata Encik Trump menyampaikan “rancangan 21 perkara untuk keamanan di Timur Tengah dan Gaza”.

Menurutnya, pelan itu mengambil kira kebimbangan Israel serta jiran-jirannya.

“Kami berharap, malah saya yakin, dalam beberapa hari akan datang kita boleh umumkan satu kejayaan besar,” kata Encik Witkoff kepada sidang sampingan PBB pada 24 September.

Kenyataan bersama negara yang hadir termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkey, Indonesia dan Pakistan menegaskan komitmen bekerjasama dengan Encik Trump dan memuji peranannya untuk menamatkan konflik.

Encik Trump juga menekankan keutamaan menamatkan perang Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan mengakibatkan krisis kemanusiaan terburuk di wilayah itu.

“Kita mahu hentikan perang di Gaza. Kita akan hentikannya, mungkin sekarang,” kata Encik Trump kepada pemberita sebelum mesyuarat bermula.

“Ini mesyuarat paling penting bagi saya kerana kita berusaha menamatkan sesuatu yang tidak sepatutnya bermula,” tambah beliau.

Menurut sumber diplomatik, pelan Encik Trump merangkumi gencatan senjata beberapa minggu bagi membolehkan baki 48 tebusan dibebaskan.

Pelan itu turut diilhamkan sebahagiannya daripada cadangan mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, yang memberi tumpuan kepada pentadbiran Gaza selepas perang.

Negara peserta yang telah dimaklumkan lebih awal menyambut baik draf cadangan itu dengan empat penekanan utama iaitu menyokong penamatan perang di Gaza secara menyeluruh; mendesak pembebasan tebusan dan kemasukan bantuan kemanusiaan; komitmen ke arah penyelesaian damai berasaskan visi Trump; serta menolak serangan Israel ke atas negara serantau termasuk insiden sasaran pemimpin Hamas di Qatar.

Mereka juga menyatakan penolakan terhadap pendudukan semula Gaza oleh Israel, penempatan haram baru, pengusiran paksa penduduk Palestin dan langkah mengubah status quo tempat suci di Baitulmakdis.

Namun, Encik Netanyahu tetap bertegas bahawa Israel tidak terikat dengan pengiktirafan Palestin oleh negara Barat seperti Australia, Britain, Canada dan Perancis.

“Penyerahan memalukan sesetengah pemimpin kepada keganasan Palestin tidak mengikat Israel sama sekali. Tidak akan ada negara Palestin,” tegas Netanyahu dalam kenyataan balas.

Pegawai kanan Israel pula memaklumkan bahawa Washington secara peribadi memberi amaran supaya tidak menakluk Tebing Barat, namun mereka menganggap amaran itu bukan penamat perbincangan.

Encik Netanyahu dijadualkan bertemu Encik Trump di Rumah Putih pada 29 September untuk membincangkan isu tersebut.

Pengumuman Encik Trump mengejutkan ramai kerana sebelum ini Amerika dianggap berdiam diri terhadap penguasaan Israel secara senyap di Tebing Barat. Wilayah itu, diduduki sejak 1967, menempatkan kira-kira tiga juta penduduk Palestin dengan sebahagian kawasannya dikawal Penguasa Palestin sementara Israel mengekalkan kuasa keselamatan penuh dan meneruskan pembinaan penempatan.

Pemimpin Arab dan Islam yang hadir melihat jaminan Encik Trump sebagai penting untuk mengelak runtuhnya perjanjian Abraham - kejayaan diplomatik utama pentadbiran Encik Trump sebelum ini yang memulihkan hubungan Israel dengan beberapa negara Islam. Mereka bimbang langkah penguasaan baru akan menggagalkan usaha damai dan meningkatkan ketegangan serantau.

Turkey melalui Presidennya, Encik Recep Tayyip Erdogan, menyifatkan perbincangan dengan Trump sebagai “sangat bermanfaat” namun tidak mengulas terperinci kandungan pelan tersebut.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, turut dipuji oleh Encik Trump kerana menegaskan keperluan menjamin keselamatan Israel sebagai sebahagian syarat perdamaian semasa ucapannya di PBB.

Setakat ini, Rumah Putih masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang mesyuarat itu.

Encik Trump sendiri hanya melambaikan tangan kepada pemberita selepas pertemuan tanpa memberi sebarang ulasan lanjut, manakala Encik Witkoff memberikan isyarat positif dengan mengangkat ibu jari ketika ditanya tentang hasil pertemuan. – Agensi berita.

Keutamaan tamat perang di Gaza

“Kita mahu hentikan perang di Gaza. Kita akan hentikannya, mungkin sekarang. Ini mesyuarat paling penting bagi saya kerana kita berusaha menamatkan sesuatu yang tidak sepatutnya bermula.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg