KATHMANDU: Nepal menamatkan sebahagian besar operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir besar Bhotekoshi-Trishuli, 40 hari selepas bencana itu meragut sekurang-kurangnya 1,455 nyawa, dengan 5,285 orang masih belum ditemukan.

Pemerintah kini akan mengalihkan tumpuan kepada usaha pemulihan dan pembinaan semula selepas banjir pada 26 Ogos memusnahkan kediaman, jalan raya, jambatan, kawasan pertanian serta projek hidroelektrik.

Keputusan menghentikan operasi mencari dan menyelamat yang tidak lagi dianggap penting dibuat dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana yang dipengerusikan Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah.

Langkah itu dibuat selepas menerima saranan jawatankuasa pengurusan bencana daerah, Penguasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) serta pasukan yang meninjau kawasan terjejas.

Ketua Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan, Encik Phanindra Paudel, berkata pemerintah kini beralih daripada fasa mencari dan menyelamat kepada usaha pemulihan serta pemulihan kehidupan mangsa.

“Kami sedang beralih daripada fasa mencari dan menyelamat kepada fasa pencarian dan pemulihan,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak bermakna pihak berkuasa akan mengabaikan sebarang penemuan mangsa selepas ini.

Ketua NDRRMA, Encik Dharam Raj Uprety, berkata pasukan penyelamat tidak lagi menjalankan pencarian aktif bagi mendapatkan mayat, tetapi sebarang jasad, barangan atau harta benda yang ditemukan ketika kerja pemulihan akan tetap diambil dan dikenal pasti.

Operasi menyelamat kecemasan juga akan terus dilaksanakan sekiranya diperlukan.

Banjir yang bermula berhampiran sempadan Nepal dengan wilayah Tibet di China pada 26 Ogos itu merupakan antara bencana paling buruk melanda negara Himalaya berkenaan.

Selain 1,455 mangsa yang disahkan terkorban dan 5,285 masih hilang, seramai 13,795 orang berjaya diselamatkan.

Jumlah mangsa yang masih belum ditemukan menimbulkan satu lagi masalah besar bagi pemerintah, khususnya mengenai status undang-undang mereka.

Encik Paudel berkata pihak berkuasa sedang mempertimbangkan proses untuk mengisytiharkan mereka yang masih hilang sebagai meninggal dunia supaya keluarga dapat menyelesaikan urusan berkaitan insurans, perbankan, harta pusaka dan perkara undang-undang lain.

“Kami sedang memulakan proses yang diperlukan untuk melengkapkan urusan undang-undang berkenaan,” katanya.

Warga asing turut membentuk sebahagian daripada mereka yang masih hilang.

Data terkini Jabatan Pelancongan Nepal menunjukkan 606 pelancong asing dari 36 negara masih belum ditemukan.

Warga India merupakan kumpulan terbesar dengan 189 orang, diikuti 65 warga Amerika Syarikat, 55 rakyat Malaysia, 54 warga Ukraine dan 37 warga China.

Turut dilaporkan hilang ialah masing-masing 33 warga Australia dan Latvia, 32 warga Britain serta 30 warga Canada.

Seramai 188 pelancong Nepal juga masih belum ditemukan.

Angka yang dikumpulkan secara berasingan dari negeri-negeri India menunjukkan Tamil Nadu mencatat jumlah tertinggi dengan 85 orang masih hilang, diikuti West Bengal seramai 37 orang, Gujarat 30, Telangana 25 dan Uttar Pradesh 22.

Selain korban jiwa yang besar, banjir itu menyebabkan kerosakan meluas terhadap prasarana Nepal.

Sebanyak 12 projek hidroelektrik musnah, selain kerosakan pada jalan raya, jambatan, kawasan pertanian dan petempatan.

Pemerintah menganggarkan hampir AS$5 bilion ($6.4 bilion) diperlukan bagi membiayai usaha pemulihan awal dan memulihkan kehidupan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Majlis Kebangsaan bagi Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana turut menyarankan Kementerian Kewangan meluluskan 559 bilion rupee Nepal ($4.66 bilion) bagi membiayai 504 program pembinaan semula dan pemulihan yang dikemukakan kementerian serta agensi pemerintah.

NDRRMA pula ditugaskan mencari sumber kewangan tambahan bagi projek yang kosnya masih belum dapat ditentukan.

Peralihan daripada operasi menyelamat kepada pembinaan semula menandakan Nepal kini memasuki fasa baru selepas lebih sebulan memberi tumpuan kepada usaha mencari mangsa.

Namun, dengan lebih 5,000 orang masih hilang, proses pemulihan dijangka menjadi panjang dan sukar, terutama bagi keluarga yang masih tidak mengetahui nasib anggota keluarga mereka.

Cabaran pemerintah bukan sahaja membina semula prasarana yang musnah, malah menyediakan tempat tinggal, memulihkan mata pencarian penduduk serta menyelesaikan status undang-undang ribuan mangsa yang mungkin tidak akan ditemukan.

Bagi keluarga mangsa, penghentian pencarian aktif juga membawa hakikat pahit bahawa peluang menemukan mereka yang masih hilang semakin tipis, walaupun pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan sekiranya mayat atau barangan milik mangsa ditemukan ketika kerja pemulihan dijalankan. – Agensi berita