Topik diikuti
Pergi ke BHkuMisi Nepal: Humanity Matters tambah blok rumah anak yatim, beri sokongan psikologi
Dijangka tampung 30 lagi anak yatim; sasar kumpul $300,000 bagi projek pemulihan banjir
Misi Nepal: Humanity Matters tambah blok rumah anak yatim, beri sokongan psikologi
Pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters (HM), bakal mengerahkan pasukannya untuk ke Nepal sekali lagi pada 7 Oktober.
Misi tersebut bertujuan membina blok tambahan di rumah anak yatim COU-IRO (Anak-Anak Sejagat-Pertubuhan Antara Agama), yang sudah sedia dibina pada 2016 susulan ‘bencana Gurkha’ pada 2015.
Pembinaan blok tambahan bagi rumah anak yatim itu dijangka siap antara Disember dengan Januari.
Ia bakal dapat menampung seramai 30 lagi anak yatim yang kehilangan rumah dan ibu bapa dek banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di acara pembungkusan barangan bantuan di pangkalan HM di Geylang pada 4 Oktober, Penasihat Khas HM, Encik Hassan Ahmad, berkata sokongan psikologi akan turut disediakan bagi kanak-kanak yang akan ditempatkan di rumah anak yatim itu.
“Ramai mangsa muda yang telah kehilangan ibu bapa dan tempat tinggal berikutan bencana banjir dan tanah runtuh.
“Jadi, pembinaan tambahan bagi rumah anak yatim yang ingin kami usahakan itu bermatlamat untuk dijadikan sebagai tempat teduhan bagi seramai 30 anak yatim.
“Kami sediakan bantuan dari segi tempat teduhan dan keperluan harian seperti air, bantal dan selimut bagi mempersiapkan mereka untuk harungi musim sejuk yang akan datang.
“Selain itu, kami juga sudah berhubung dengan dua ahli psikologi untuk membantu anak yatim tersebut mengatasi trauma mereka, kesan daripada bencana.
“Malah, sokongan psikologi itu akan turut disalurkan kepada anak yatim yang sudah menetap di situ sejak 2016.
“Hal tersebut agar mereka bersedia menerima kedatangan anak yatim yang telah menjadi mangsa baru-baru ini,” kata Encik Hassan, yang juga mengetuai pasukan tindak balas HM dalam misi 10 hari di Nepal, dari hari ketiga bencana itu terjadi hingga 7 September.
Menurut Encik Hassan, pihaknya juga sedang meneroka sokongan bagi golongan warga emas yang turut terjejas.
Dalam ucapannya, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan) yang juga Anggota Parlimen GRC West Coast-Jurong West, Encik Shawn Huang, berkata Singapura merupakan antara yang pertama tampil menyediakan bantuan dalam tempoh 24 jam ketika bencana di Nepal berlaku.
“Hal tersebut mencerminkan komitmen kita terhadap kerwarganegaraan sejagat (merujuk kepada identiti seseorang yang melangkaui sempadan negara, berdasarkan tanggungjawab kemanusiaan).
“Ia sekali gus menandakan komitmen dan kesediaan kita untuk bertindak balas dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Usaha kita juga melangkaui penyediaan bantuan kecemasan akut.
“Justeru, yang paling penting ialah usaha kita akan datang iaitu penyediaan tempat berteduh bagi anak yatim melalui projek pembinaan tambahan rumah anak yatim yang akan bertahan untuk beberapa tahun mendatang,” ujarnya.
Acara pembungkusan barangan bantuan itu merupakan acara kemuncak bagi program tiga siri dengan pihak berkepentingan, anjuran HM bagi misi bantuan Nepal sepanjang tiga hujung minggu berturut-turut – pada 19, 27 September dan 4 Oktober.
Susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu, sekitar 1,454 mangsa ditemui mati, manakala 4,718 orang masih hilang.
Acara kemuncak dan yang terakhir itu turut diadakan sempena hari ke-40 sejak bencana yang melanda Nepal pada 26 Ogos.
Lebih 1.5 tan barangan bantuan yang dibungkus termasuk bekas ‘jerry can’ bagi bekalan air bersih, bantal kembung bagi keselesaan mangsa untuk berehat dan selimut bagi persiapan musim sejuk mendatang.
Sekitar 100 sukarelawan hadir untuk berganding bahu membungkus barangan bantuan tersebut.
Sewaktu program pertama pada 19 September, pasukan HM yang turun padang ke Nepal telah berkongsi dan memberikan pencerahan berkenaan pengalaman serta pemerhatian mereka tentang keadaan di Nepal.
Pada program kedua pada 27 September pula, lebih 100 sukarelawan berhimpun untuk menjayakan satu acara kutipan dana bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan di Nepal.
Dari 14 September hingga 31 Oktober, HM berhasrat mengumpul $300,000 bagi menyokong projek pemulihan banjir di Nepal. Setakat ini, sebanyak $170,000 berjaya dikumpulkan.
Orang ramai masih boleh menyalur sumbangan melalui kaedah berikut:
1. PayNow kepada nombor UEN 201920766R
2. Pemindahan Bank ke akaun DBS 027-9083-727
3. Kirimkan cek kepada Humanity Matters Limited ke alamat 51 Geylang Lorong 17, #02-01, Singapura 388571