Topik diikuti
Pergi ke BHkuNetanyahu dilapor lawat UAE secara rahsia ketika berdepan kontroversi amaran awal serangan Hamas
Netanyahu dilapor lawat UAE secara rahsia ketika berdepan kontroversi amaran awal serangan Hamas
Netanyahu dilapor lawat UAE secara rahsia ketika berdepan kontroversi amaran awal serangan Hamas
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dilaporkan melakukan lawatan mengejut ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 28 September untuk bertemu Presiden negara Teluk itu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, ketika Encik Netanyahu berdepan kontroversi berhubung dakwaan gagal bertindak terhadap amaran awal mengenai serangan Hamas pada 2023.
Beberapa media Israel, termasuk Channel 12, penyiar awam KAN serta akhbar Haaretz dan The Jerusalem Post, melaporkan bahawa Encik Netanyahu telah melakukan lawatan sehari ke Abu Dhabi tanpa sebarang pengumuman rasmi.
Menurut Channel 12, beliau menaiki pesawat peribadi dari Lapangan Terbang Ben Gurion dan tiba di Abu Dhabi pada 3.10 petang waktu tempatan.
Beliau dilaporkan berada di UAE selama kira-kira empat jam sebelum berlepas pulang pada 7.10 malam dan tiba di Israel sejurus selepas 10 malam.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Kedutaan UAE di Israel dan Kementerian Luar UAE belum memberikan pengesahan rasmi mengenai lawatan atau pertemuan tersebut.
Lawatan itu dilaporkan ketika Encik Netanyahu menghadapi tekanan politik yang semakin meningkat menjelang pilihan raya Parlimen Israel pada Oktober depan, khususnya berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima amaran mengenai kemungkinan serangan besar-besaran Hamas sebelum 7 Oktober 2023.
Akhbar Haaretz melaporkan pada September bahawa Sheikh Mohamed, yang dikenali sebagai MBZ, telah memberi amaran kepada Encik Netanyahu kira-kira seminggu setengah sebelum serangan tersebut.
Menurut laporan itu, pemimpin UAE berkenaan memaklumkan bahawa Hamas sedang merancang operasi ketenteraan besar terhadap Israel.
Laporan tersebut mendakwa Encik Netanyahu tidak menyampaikan maklumat berkenaan kepada agensi perisikan atau pihak tentera Israel.
Encik Netanyahu menafikan dakwaan itu dan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Haaretz.
Pemimpin pembangkang Israel pula menuduh beliau bertanggungjawab terhadap kegagalan keselamatan yang membolehkan Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023.
UAE setakat ini enggan mengulas secara langsung mengenai laporan tersebut.
Bagaimanapun, negara Teluk itu menegaskan bahawa pihaknya dan Israel mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka serta langsung sejak menjalin hubungan diplomatik pada 2020.
Seorang sumber UAE sebelum ini memberitahu agensi berita Reuters bahawa perbincangan mengenai keselamatan dengan negara lain dilakukan melalui agensi berkaitan, bukannya secara langsung antara pemimpin negara.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan mengenai dakwaan bahawa Sheikh Mohamed sendiri telah menyampaikan amaran berkenaan kepada Encik Netanyahu.
Kontroversi itu turut mengingatkan kepada pertikaian diplomatik antara kedua-dua negara pada awal 2026.
Pada Mei lalu, pejabat Encik Netanyahu mendedahkan bahawa beliau telah melakukan lawatan rahsia ke UAE pada 26 Mac dan bertemu Sheikh Mohamed di Al-Ain, berhampiran sempadan Oman.
UAE menafikan pertemuan tersebut, manakala laporan Channel 12 mendakwa pegawai negara itu berang kerana Encik Netanyahu mendedahkan lawatan yang sepatutnya dirahsiakan.
Lawatan terbaru itu berlangsung ketika Timur Tengah masih berdepan ketegangan akibat peperangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari lalu.
UAE, yang turut menjadi sasaran serangan semasa konflik tersebut, telah memperkukuh hubungan keselamatannya dengan Amerika dan Israel.
Hubungan diplomatik antara UAE dengan Israel terjalin pada 2020 menerusi Perjanjian Abraham yang diusahakan Amerika.
Hubungan tersebut memberi UAE saluran diplomatik dengan Israel serta peluang memainkan peranan dalam menangani ketegangan serantau.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan kepada Reuters bahawa pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung di Abu Dhabi.
Bagaimanapun, butiran perbincangan mereka belum didedahkan. – Agensi berita.