BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata bahawa tentera Israel akan mengambil alih kawalan penuh ke atas Gaza selepas operasi ketenteraan yang sedang berlangsung sekarang berakhir kelak.
Kenyataan itu dibuat pada 21 Mei dalam sidang media pertamanya sejak Disember, di tengah-tengah serangan udara yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 82 orang di Gaza sejak awal pagi 21 Mei.
Encik Netanyahu menyatakan bahawa kawalan penuh ke atas Gaza adalah perlu bagi memastikan keselamatan Israel dan menghapuskan ancaman daripada Hamas.
Menurutnya, tentera Israel telah “menghancurkan” musuh mereka di selatan dan mengenakan tekanan yang “luar biasa” untuk menghentikan perang.
Mengenai Operasi Gideon, serangan darat terbaru Israel di Gaza, Encik Netanyahu berkata beliau telah membuat keputusan memulakan peringkat perang seterusnya.
“Pada akhir kempen ini, semua wilayah Jaluran Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel,” tambahnya.
Encik Netanyahu selanjutnya berkata beliau “bersedia” untuk menamatkan perang “dalam keadaan jelas yang memastikan keselamatan Israel”, termasuk wilayah Palestin “dilucutkan senjata sepenuhnya” dan Israel “memanfaatkan sepenuhnya rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump”.
Menurutnya lagi, pihaknya “bersedia” untuk menamatkan perang di Gaza di bawah syarat yang akan “juga mengembalikan tebusan, dan kepimpinan Hamas diasingkan daripada wilayah itu”.
Beliau berkata rancangan Presiden Trump untuk menjadikan Gaza sebagai kawasan peranginan pantai atau ‘riviera’ itu adalah “betul” dan “revolusioner”.
Penduduk Gaza yang ingin berpindah boleh berbuat demikian, tambahnya.
Awal bulan ini, anggota Kongres Amerika, Cik Rashida Tlaib, mengecam rancangan pemindahan paksa oleh Encik Netanyahu yang didakwanya sebagai langkah ke arah pembersihan etnik rakyat Palestin.
Encik Netanyahu berkata mereka yang menyeru Israel supaya menghentikan pertempuran adalah “pada dasarnya menyeru agar Hamas mengawal Gaza”.
Bagaimanapun, kenyataan beliau itu mendapat kecaman daripada Britain dan Kesatuan Eropah, yang menyifatkan tindakan itu “kejam” dan “tidak berperikemanusiaan”.
Dalam pada itu, serangan udara Israel terus menyasarkan beberapa kawasan di Gaza, termasuk hospital dan kem pelarian.
Hospital Nasser melaporkan bahawa seorang bayi yang baru lahir dan beberapa wanita turut terkorban dalam serangan terbaru Israel itu.
Keadaan di hospital semakin kritikal, dengan kekurangan bekalan perubatan dan tenaga kerja semakin meruncing.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa bantuan kemanusiaan masih gagal disalurkan kepada penduduk Gaza akibat sekatan ketat Israel itu.
PBB memberi amaran bahawa lebih 14,000 kanak-kanak berisiko maut dalam tempoh 48 jam jika bantuan tidak segera sampai kepada mereka.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin mendapat perhatian antarabangsa, dengan tekanan semakin meningkat terhadap Israel supaya menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza.
Encik Netanyahu sebaliknya menegaskan bahawa bantuan hanya dibenarkan sekiranya ia tidak mengganggu operasi ketenteraan Israel.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebagaian besar wilayah Palestin itu.
Dalam perkembangan di Tebing Barat, Tentera Israel telah melepaskan tembakan amaran berdekatan sekumpulan diplomat asing yang sedang melakukan lawatan rasmi ke bandar Jenin, Tebing Barat, pada 21 Mei.
Insiden ini mencetuskan kecaman meluas dari negara-negara Eropah dan beberapa pemerintah lain.
Menurut kenyataan tentera Israel, delegasi itu telah menyimpang dari laluan yang diluluskan dan menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan amaran bagi menghalang mereka daripada memasuki kawasan yang tidak dibenarkan.
Rakaman video menunjukkan para diplomat dan wartawan bergegas mencari perlindungan selepas tembakan dilepaskan.
Delegasi tersebut terdiri daripada diplomat lebih 20 negara, termasuk Britain, Perancis, Canada, Sepanyol, dan Italy.
Mereka berada di Jenin untuk menilai keadaan kemanusiaan dan mendokumentasikan kesan operasi ketenteraan Israel di kawasan tersebut. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg