GAZA: Pemimpin dunia meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya menghentikan kempen ketenteraannya yang semakin hebat di Gaza.
Gabungan negara itu turut menggesa Tel Aviv membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah yang kini lumpuh akibat perang berpanjangan dan sekatan menyeluruh.
Gesaan itu dibuat ketika usaha damai antara Israel dengan Hamas terus menemui jalan buntu, manakala angka korban awam di Gaza terus meningkat saban hari.
Kebuntuan diplomatik dan tindakan ketenteraan berterusan Israel mencetuskan kemarahan antarabangsa, termasuk dari negara sekutu tradisi Tel Aviv.
Menurut laporan penyiar rasmi Israel, KAN, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sedang mempertimbangkan untuk menarik balik delegasi Israel dari Doha, Qatar lokasi rundingan tidak langsung antara Israel dengan Hamas yang dilakukan oleh pihak ketiga.
Walaupun begitu, sebuah pasukan kecil mungkin akan dikekalkan di sana bagi memastikan saluran diplomasi kekal terbuka.
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menegaskan bahawa konflik ini semakin tidak terkawal.
“Malapetaka di Gaza masih berterusan dan setiap peluang untuk meredakan ketegangan sedang digagalkan oleh tindakan Israel,” katanya.
Beliau menuduh kempen ketenteraan itu sebagai penghalang utama kepada sebarang usaha damai yang mampan.
Di Brussels, menteri luar Kesatuan Eropah (EU) bertemu untuk mempertimbangkan sekatan terhadap Israel dan menyemak semula Perjanjian Perdagangan EU-Israel yang telah berkuat kuasa lebih 25 tahun.
Ketua Hal Ehwal Luar EU, Encik Kaja Kallas, berkata majoriti menteri luar 27 negara anggota menyokong langkah tersebut.
“Apa yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Britain pula menggantung rundingan perdagangan bebas, memanggil pulang Duta Israel ke London, dan mengenakan sekatan terhadap peneroka haram Israel di Tebing Barat.
Sweden turut menyatakan sokongan untuk mengusulkan sekatan terhadap menteri Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza.
Pada 19 Mei, pemimpin Perancis, Britain dan Canada mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan Israel yang masih menyerang Rafah dan kawasan selatan Gaza.
Mereka menyifatkan situasi kemanusiaan di wilayah tersebut sebagai “tidak tertanggung” dan memberi amaran bahawa negara mereka tidak akan “berpeluk tubuh”.
Kenyataan pemimpin dunia ini dikeluarkan menjelang satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung Jun untuk mencari kata sepakat antarabangsa mengenai masa depan Palestin.
Dalam perkembangan berkait, Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, membatalkan lawatannya ke Israel atas alasan logistik.
Namun menurut laporan Axios, seorang pegawai kanan Amerika mendakwa pembatalan itu berkait kebimbangan lawatan tersebut akan ditafsir sebagai sokongan terhadap peluasan operasi tentera Israel.
Akhbar pro-pemerintah Israel Hayom melaporkan bahawa hubungan antara Encik Netanyahu dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, semakin tegang.
Sumber mendakwa kesabaran Encik Trump “semakin menipis” walaupun dasar Amerika secara rasmi masih menyokong keselamatan Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa 87 penduduk Palestin terbunuh dan 290 cedera dalam tempoh 24 jam lalu bermula 19 Mei.
Sejak 7 Oktober 2023, jumlah korban telah mencecah 53,573 orang maut dan 121,688 orang cedera kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Israel sebelum ini menutup sepenuhnya semua lintasan ke Gaza selama 78 hari.
Pada 19 Mei, lintasan Kerem Shalom dibuka semula sebahagiannya, namun hanya membenarkan sejumlah kecil trak bantuan masuk.
Menurut Unit Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Tentera Israel (Cogat), hanya 93 trak dibenarkan membawa tepung, makanan bayi, dan peralatan perubatan ke dalam Gaza.
Harga barangan asas kini meningkat lebih 800 peratus.
Keadaan ini disifatkan oleh pemerhati sebagai “krisis yang sengaja dicipta” untuk melemahkan rakyat Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Oren Marmorstein, mempertahankan tindakan negaranya dengan menyatakan bahawa dunia “tidak memahami kompleksiti sebenar ancaman keselamatan yang dihadapi Israel”.
Beliau menegaskan bahawa tekanan antarabangsa tidak akan menggugat pendirian Israel.
Namun, kenyataan itu dibidas oleh jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Stephane Dujarric, yang mengesahkan bahawa walaupun beberapa trak bantuan telah dibenarkan masuk, banyak halangan tetap wujud.
“Pasukan kami menunggu berjam-jam untuk pelepasan, tetapi gagal menghantar bekalan ke gudang kami,” katanya dalam satu sidang media.
Ketua Kemanusiaan PBB, Encik Tom Fletcher, pula menyifatkan sembilan trak bantuan yang dibenarkan masuk sebagai “setitis air dalam lautan.”
Beliau memberi amaran bahawa 14,000 bayi mungkin akan maut dalam tempoh 48 jam jika bantuan tidak sampai segera.
Dr. Akihiro Seita dari Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pula mengesahkan peningkatan mendadak dalam kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak Gaza sejak April lalu. “Situasi ini sedang memburuk dan mungkin akan keluar daripada kawalan,” tegasnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg