Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu: Perang Gaza belum berakhir selagi Hamas tidak lucut senjata

Oct 19, 2025 | 1:46 PM
Perang, Gaza, Palestin, Hamas
Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu dalam satu acara di Baitul Makdis pada 16 Oktober. - Foto REUTERS

GAZA: Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu memberi amaran pada 18 Oktober bahawa perang di Gaza tidak akan berakhir sehingga Hamas dilucutkan senjata dan wilayah Palestin itu bebas tentera.

Beliau berkata demikian ketika sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, menyerahkan mayat dua lagi tebusan pada malam 18 Oktober di bawah perjanjian gencatan senjata yang diperantarakan oleh Amerika Syarikat.

Tentera Israel berkata bahawa pasukan Palang Merah menerima mayat dua tebusan dan keranda sedang dalam perjalanan ke pasukan keselamatannya di Gaza.

Isu tebusan yang terkorban dan masih berada di Gaza menjadi titik temu dalam pelaksanaan gencatan senjata fasa pertama.

Israel telah mengaitkan pembukaan semula laluan utama Rafah ke wilayah itu dengan pemulihan mayat tebusan.

Encik Netanyahu mengingatkan, bagaimanapun, bahawa melengkapkan fasa kedua gencatan senjata adalah penting untuk menamatkan perang.

Menurutnya, Fasa B juga melibatkan pelucutan senjata Hamas dan penyahtenteraan Semenanjung Gaza.

“Apabila itu berjaya diselesaikan – mudah-mudahan dengan cara yang mudah, tetapi jika tidak, dengan cara yang sukar - maka perang akan berakhir,” tambah Encik Netanyahu dalam penampilan di saluran sayap kanan Israel 14.

Hamas setakat ini telah menentang idea itu dan sejak pertempuran diberhentikan, ia telah bergerak untuk menekankan semula kawalannya ke atas Semenanjung Gaza.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang diuruskan oleh Presiden Donald Trump, Hamas sejauh ini sudah membebaskan kesemua 20 tebusan yang masih hidup, bersama dengan mayat sembilan warga Israel dan seorang warga Nepal.

Penyerahan terbaru adalah pada malam 17 Oktober iaitu mayat yang dikenal pasti oleh Israel sebagai Eliyahu Margalit, 75 tahun yang terkorban dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sebagai pertukaran, Israel telah membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dan 135 mayat rakyat Palestin yang lain sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktobrer.

Hamas berkata ia memerlukan masa dan bantuan teknikal untuk mendapatkan semula mayat yang ada dan dikatakan tertimbus di bawah runtuhan Gaza.

Encik Netanyahu telah membayangkan bahawa pembukaan semula lintasan penting Rafah ke Mesir boleh bergantung kepada Hamas mengembalikan semua mayat tebusan yang masih berada di Gaza.

Misi Palestin di Kahirah mengumumkan bahawa lintasan itu boleh dibuka seawal 20 Oktober, walaupun hanya untuk penduduk Gaza yang tinggal di Mesir yang ingin kembali ke wilayah itu.

Sejurus selepas itu, bagaimanapun, pejabat Encik Netanyahu berkata beliau telah “mengarahkan agar lintasan Rafah ditutup sehingga diberitahu kelak”.

“Pembukaan semula akan dipertimbangkan berdasarkan bagaimana Hamas memenuhi peranannya dalam mengembalikan tebusan dan mayat si mati, dan dalam melaksanakan rangka kerja yang dipersetujui,” katanya sambil merujuk kepada perjanjian gencatan senjata yang telah berlangsung selama seminggu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg