BANDAR GAZA: Hampir seminggu selepas tentera Israel mula berundur dari beberapa kawasan di Jaluran Gaza pada 9 Oktober, penduduk yang pulang ke rumah masing-masing disambut dengan pemandangan memilukan – segala-galanya musnah, hanya tinggal runtuhan dan debu.
Di tengah-tengah gencatan senjata yang masih kekal rapuh, kini ramai di antara mereka terpaksa berteduh di khemah sementara, di kawasan yang suatu ketika dahulu merupakan kejiranan penuh kehidupan dan harapan.
Di bahagian barat laut Bandar Gaza, jalan-jalan kini sunyi sepi, dipenuhi timbunan konkrit dan besi bengkok – sisa bangunan pangsapuri yang ranap akibat serangan udara Israel sepanjang dua tahun lalu.
Encik Hossam Majed, 31 tahun, pulang ke tapak rumahnya hanya untuk mendapati tiada apa yang tinggal kecuali runtuhan.
Di celah-celah serpihan batu, beliau berjaya menyelamatkan beberapa barangan, sedikit perabot dan sebuah tangki air besar, yang kini menjadi bekalan paling berharga.
“Saya terpaksa buat tempat berteduh sendiri. Tiada elektrik, tiada air, tiada Internet. Saya kena berjalan hampir satu setengah kilometer hanya untuk isi dua bekas air,” katanya kepada AFP.
Encik Hossam kini menunggu ahli keluarganya yang lain pulang sambil menjaga kawasan rumahnya daripada pencuri.
“Makanan pun semakin mahal. Semuanya sukar didapati. Hidup di sini sekarang seperti kembali ke zaman tanpa apa-apa,” tambahnya.
Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa 9 Oktober lalu, ribuan penduduk Palestin mula kembali ke kediaman mereka.
Namun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 55 juta tan runtuhan perlu dibersihkan sebelum mana-mana kawasan dapat dibangunkan semula.
Sehingga kini, 81,000 tan telah dibersihkan oleh Rancangan Pembangunan PBB (UNDP).
Seorang ibu, Cik Umm Rami Lubbad, turut kembali ke kawasan rumahnya selepas sebulan berlindung di Khan Younis, di selatan Gaza.
Beliau meninggalkan rumahnya ketika serangan Israel semakin hebat pada September lalu.
“Saya berharap dapat pulang dan mulakan semula hidup. Tapi bila saya sampai, hati saya hampir berhenti apabila lihat rumah kami dah jadi debu,” katanya sambil menahan sebak.
Beliau kini tinggal di tepi jalan bersama tiga orang anaknya.
“Kami tidur di luar, tiada khemah. Bila tembakan artileri terlalu dekat, jiran tolong kami masuk ke rumah mereka,” jelasnya.
Cik Umm Rami mengumpul sisa kayu, pakaian lama dan tong gas kecil untuk digunakan memasak.
Beliau berharap bantuan antarabangsa akan segera menghantar khemah dan bekalan asas ke Gaza.
“Hidup di sini amat sukar. Saya tak tahu berapa lama kami boleh bertahan,” katanya.
Bagi Encik Mustafa Mahram pula, pulang ke Bandar Gaza adalah pengalaman yang menyesakkan.
Rumah tiga tingkatnya musnah sepenuhnya.
“Semuanya hilang, jadi abu. Tiada air, tiada makanan, tiada apa-apa. Tiada cara untuk hidup di sini,” ujarnya.
Beliau kini tinggal berhampiran tapak rumahnya dengan keluarga yang terpaksa “tidur di jalanan”.
Menurut pegawai UNDP, pembinaan semula Gaza dijangka menelan kos sekitar AS$70 bilion ($90.5 bilion), dengan beberapa negara Arab, Eropah, Canada dan Amerika Syarikat menyatakan kesediaan untuk menyumbang.
Namun, pegawai UNDP, Encik Jaco Cilliers, memberi amaran proses pemulihan boleh mengambil masa berdekad-dekad.
“Kemusnahan yang berlaku di Gaza luar biasa besar. Walaupun dengan bantuan sejagat, ia mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk membina semula,” katanya.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikawal Hamas melaporkan lebih 66,000 penduduk terbunuh atau masih hilang akibat perang, namun angka itu tidak membezakan antara orang awam dengan kumpulan Hamas.
Israel mendakwa telah membunuh lebih 22,000 anggota Hamas sejak operasi darat dilancarkan.
Sehingga Ogos lalu, 473 anggota tentera Israel turut terbunuh dalam operasi darat di Gaza dan pertempuran di sempadan.
Walaupun Gaza kini ibarat padang jarak padang tekukur, semangat rakyatnya tetap tidak padam.
“Kami masih berdiri. Kami mahu hidup, walaupun hanya di antara runtuhan,” kata Encik Ahmad, sambil memandang khemah kecilnya di tengah-tengah runtuhan dan debu.
Gencatan senjata yang rapuh ini memberi sedikit ruang bernafas, namun bagi ramai penduduk Gaza, “ keamanan itu hanyalah sementara sebelum letupan seterusnya.”
Walaupun gencatan senjata masih bertahan, bayang-bayang perang masih menghantui Gaza, dengan tekanan politik dan kemanusiaan yang semakin meningkat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg