Topik diikuti
Pergi ke BHkuNew York City larang kereta kuda mulai Jun 2028
New York City larang kereta kuda mulai Jun 2028
NEW YORK: Majlis Perbandaran New York City pada 22 Oktober mengundi untuk mengharamkan kereta kuda daripada laluan jalan raya bandar itu dan Central Park mulai Jun 2028.
Langkah tersebut sekali gus menamatkan tarikan pelancongan bersejarah dan industri yang telah lama bertapak itu.
Daripada 51 ahli majlis bandar raya tersebut, seramai 40 menyokong rang undang-undang berkenaan, tujuh menentang, manakala dua lagi berkecuali.
Rang undang-undang berkenaan turut mendapat sokongan Mayor Zohran Mamdani, yang pada awal Oktober menyatakan bahawa industri kereta kuda di bandar raya itu akan berakhir.
Sokongan terhadap larangan tersebut meningkat menyusuli kematian seorang pelancong dari India, Encik Romanch Mahajan, 18 tahun, pada musim panas lalu.
Encik Mahajan tercampak dari kereta kuda dan meninggal dunia pada 17 Jun, apabila kuda yang menarik kenderaan itu tiba-tiba meluru lari selepas pemandunya beredar seketika untuk mengambil gambar keluarga mangsa.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang pernah mengkritik Encik Mamdani tetapi pada masa sama mengadakan pertemuan mesra dengannya, melahirkan rasa ragu-ragu terhadap larangan berkenaan.
“Apabila berlaku kemalangan jalan raya di kawasan itu – yang sangat kerap berlaku – mereka tidak melarang kereta daripada memasuki taman berkenaan. Jadi mengapa mereka mahu menghentikan kereta kuda (di sana)?
“Ia satu tradisi yang hebat. Satu lagi warisan sejarah kini telah lenyap. Ia pasti akan dirindui!” tulis Encik Trump menerusi hantaran di Truth Social.
Ibu pejabat empayar perniagaan Encik Trump di Trump Tower, terletak hanya beberapa minit dari Central Park.
Rang undang-undang itu memerlukan New York City untuk merangka pelan peralihan bagi tenaga kerja terjejas menjelang April 2027, selain mempertimbangkan program ganti rugi bagi pengendali kereta kuda untuk perniagaan mereka serta membantu menguruskan penempatan kuda-kuda berkenaan.
Di bawah usulan itu, kuda-kuda berkenaan tidak boleh disembelih.
Sehari sebelum pengundian dijalankan, Kesatuan Pekerja Pengangkutan yang mewakili pemilik perniagaan dan pemandu kereta kuda menyatakan bahawa sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, pihaknya akan memohon perintah larangan (restraining order) sementara daripada mahkamah ‘sebaik sahaja ia dimeteraikan’, menurut surat yang dihantar kepada Penasihat Majlis Perbandaran New York City, Encik Steve Banks.
“Ini mungkin kali pertama dalam sejarah bandar raya ini sebuah kerjaya yang berlesen sebelum ini diharamkan,” menurut surat yang ditandatangani peguam utama, Encik Arthur Schwartz.
“Rang undang-undang yang diusulkan ini menafikan pemilik daripada mendapat sebarang faedah ekonomi atau kegunaan bermanfaat daripada harta milik mereka.” – Reuters.