Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump mahu sekat dana $1 bilion dilulus Kongres bagi imigresen, kaum dan pendidikan
Perselisihan terbaharu Presiden AS, Kongres berhubung kawalan ke atas perbelanjaan negara
Trump mahu sekat dana $1 bilion dilulus Kongres bagi imigresen, kaum dan pendidikan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, cuba bertindak sendiri untuk menyekat perbelanjaan bernilai lebih AS$800 juta ($1 bilion) pada 25 September, yang merupakan dana berkaitan imigresen, kaum dan pendidikan yang telah diluluskan oleh Kongres Amerika.
Tindakan itu merupakan perselisihan terbaharu antara pentadbiran Encik Trump dengan Kongres berhubung kawalan ke atas perbelanjaan negara itu.
“Presiden Trump komited untuk memanfaatkan segala alat yang ada bagi mengurangkan perbelanjaan pemerintah yang membawa pembaziran dan bahaya serta tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika,” menurut Rumah Putih dalam kenyataan yang mengumumkan langkah tersebut.
Kenyataan itu menggariskan beberapa program, termasuk yang memberi tumpuan kepada bantuan pelarian, pembangunan perniagaan golongan kaum minoriti dan pemuliharaan alam sekitar di luar negara.
Perlembagaan Amerika memberi kuasa kawalan kewangan kepada Kongres, namun Rumah Putih mendakwa program-program berkenaan menyokong imigresen tanpa izin, mencetuskan ketegangan kaum dan menggalak pendekatan yang mencetuskan kebimbangan berhubung alam sekitar.
Rumah Putih menggunakan taktik jarang digunakan yang dikenali sebagai pembatalan peruntukan saat akhir atau pocket rescission yang membelakangkan Kongres.
Pocket rescission ialah langkah taktik eksekutif di mana Presiden memohon agar Kongres membatalkan peruntukan sesuatu dana pada saat-saat akhir sebelum berakhir tahun kewangan (30 September), menyebabkan dana tersebut luput sebelum sempat disemak oleh ahli Kongres atau dibelanjakan dalam tempoh 45 hari sebelum tarikh itu.
Senator Susan Collins, yang mempengerusikan Jawatankuasa Peruntukan dewan tersebut, menyifatkan langkah itu sebagai “tidak sah”.
“Ini merupakan percubaan terbaharu oleh Pejabat Pengurusan dan Belanjawan untuk melemahkan kuasa perlembagaan Kongres ke atas kewangan negara,” kata Senator Collins, seorang anggota Parti Republikan pimpinan Encik Trump yang kini bersaing secara sengit untuk dipilih semula dalam pilihan raya di Maine.
“Sebarang usaha untuk membatalkan dana yang telah diperuntukkan tanpa kelulusan Kongres adalah pelanggaran undang-undang yang jelas,” katanya.
Mahkamah Agung Amerika pada 2025 enggan menghalang Encik Trump daripada menggunakan taktik sama bagi menahan bantuan luar negara bernilai AS$4.9 bilion yang telah diluluskan Kongres, sementara proses perundangan diteruskan. – Reuters.