Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nicaragua heret Jerman ke ICJ berdepan kes genosid di Gaza

Apr 8, 2024 | 3:02 PM
Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin di kawasan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang ditubuhkan untuk membuat keputusan dalam pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam perang antara Israel dengan anggota Hamas yang meletus selepas serangan 7 Oktober lalu.
Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin di kawasan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang ditubuhkan untuk membuat keputusan dalam pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam perang antara Israel dengan anggota Hamas yang meletus selepas serangan 7 Oktober lalu. - Foto REUTERS

THE HAGUE: Jerman menghadapi tuduhan daripada Nicaragua di Mahkamah Keadilan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 April dengan dakwaan bahawa negara tersebut “memudahkan pembunuhan beramai-ramai” penduduk Palestin melalui sokongan tentera dan politiknya kepada Israel.

Nicaragua membawa Jerman ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menuntut hakim mengenakan langkah kecemasan untuk menghentikan Berlin daripada membekalkan senjata dan bantuan lain kepada Israel.

Namun, Jerman menafikan semua tuduhan tersebut. Jurucakap Kementerian Luar Jerman, Encik Sebastian Fischer, menyatakan bahawa Jerman tidak melanggar Konvensyen Genosid atau undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Jerman tidak melanggar Konvensyen Genosid mahu pun undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kami akan menunjukkan sepenuhnya di hadapan ICJ,” katanya.

Encik Fischer menambah bahawa Jerman akan memberikan bukti lengkap bagi menangani tuduhan ini kepada ICJ.

Nicaragua dijadualkan membentangkan kesnya pada 8 April, manakala Jerman dijangka memberikan responsnya pada hari berikutnya.

Dalam hujah setebal 43 muka surat kepada mahkamah, Nicaragua berkata Jerman melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948, yang ditubuhkan selepas Holocaust.

“Dengan menghantar peralatan ketenteraan dan kini menafikan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin)... Jerman membantu pelakuan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Nicaragua meminta ICJ memutuskan “langkah sementara”, perintah kecemasan yang dikenakan sementara oleh mahkamah dalam mempertimbang kes yang lebih luas.

Katanya, adalah “penting dan mendesak” untuk mahkamah memerintahkan langkah sedemikian berikutan nyawa “ratusan ribu orang” terancam.

ICJ ditubuhkan untuk membuat keputusan dalam pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam perang antara Israel dengan Hamas yang meletus selepas serangan 7 Oktober lalu.

Dalam kes berasingan, Afrika Selatan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Jaluran Gaza, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Israel.

Dalam kes itu, mahkamah memerintahkan Israel melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan baru-baru ini memperkukuh pendiriannya, dengan mengarahkan langkah tambahan yang mewajibkan Israel meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg