NEW YORK: Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi paras dua juta kes.
Data Johns Hopkins University, menunjukkan pertambahan lebih 90,000 kes positif baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 2.04 juta orang.
Lima negara mencatat kes positif melebihi angka 100,000 dengan Britain dijangka menjadi negara keenam tidak lama lagi.
MALAYSIA
Selepas hampir sebulan mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, usaha yang dilakukan Malaysia untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 mula menampakkan hasil positif.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes positif harian mula menurun kepada dua angka, iaitu 85 kes kelmarin berbanding tiga angka pada hari sebelumnya.
Ia merupakan satu tanda menunjukkan strategi yang disusun atur untuk menggempur virus itu dengan melakukan PKP sebelum ini adalah tepat.
Malah, jumlah kes pulih harian adalah 169 kes kelmarin, dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan Selasa lalu.
Menurut Dr Noor Hisham, tempoh PKP fasa tiga yang masuk hari kedua semalam merupakan tempoh kritikal dalam menentukan kejayaan menghapuskan wabak Covid-19.
INDONESIA
Indonesia mencatatkan kematian harian tertinggi akibat Covid-19 sejak wabak terbabit dikesan di republik itu awal bulan lalu.
Jumlah yang maut akibat koronavirus baharu itu meningkat kepada 459 orang selepas 60 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, seperti yang dilaporkan Pasukan bertindak Covid-19 Indonesia.
Jurucakap pasukan itu, Encik Achmad Yurianto, berkata jumlah kes yang disahkan pula meningkat kepada 4,836 orang dengan 282 kes baharu dalam tempoh yang sama.
BRUNEI
Kementerian Kesihatan Brunei melaporkan sehingga Selasa, tidak ada kes baru jangkitan Covid-19 disahkan di negara tersebut.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara itu kekal seramai 136 orang, manakala jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal 107 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini juga kekal seramai 28 kes.
Seramai 85 orang sedang menjalani kurantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Sementara itu jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kurantin ialah sebanyak 2,390 orang.
JEPUN
Angka kematian di Jepun akibat Covid-19 boleh mencecah 400,000 orang sekiranya tiada langkah pencegahan diambil bagi mengekang penularan wabak itu.
Menurut anggaran Kementerian Kesihatan Jepun, pesakit yang memerlukan bantuan ventilator turut dijangka mencecah 850,000 orang.
Anggaran itu berdasarkan kajian Profesor Hiroshi Nishiura dari Universiti Hokkaido, seorang pakar penyakit berjangkit yang membantu pemerintah menangani penularan coronavirus itu.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan belum mengesahkan laporan itu.
Setakat ini pentadbiran di bawah Perdana Menteri Shinzo Abe, sudah mengisytiharkan keadaan darurat dan menasihatkan rakyatnya mengawal interaksi peribadi sehingga 70 kepada 80 peratus.
Jepun mempunyai lebih 8,000 kes Covid-19 dan 162 kematian akibat virus itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh NHK.
CHINA
Buat pertama kali China mendedahkan senarai individu yang diuji positif bagi covid-19 tanpa mengalami sebarang gejala atau jatuh sakit.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China Mi Feng, mendedahkan bahawa dalam kalangan 6,764 orang yang diuji positif jangkitan tanpa mempamerkan simptom, hanya 1,297 orang yang dikesan mempunyai gejala penyakit itu.
Sebanyak 1,023 orang lagi diletakkan di bawah kuarantin kesihatan manakala 4,444 lagi dibenarkan pulang selepas sembuh.
Secara keseluruhan, koronavirus itu menjangkiti 82,341 orang dan mengorbankan lebih 3,000 mangsa di republik itu.
AMERIKA SYARIKAT
Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas akibat pandemik itu dengan merekodkan lebih 630,000 kes positif Covid-19, menurut Universiti Johns Hopkins.
Ini merupakan jumlah tertinggi di dunia.
Amerika berdepan pandemik terburuk apabila virus itu meragut hampir 28,000 nyawa di seluruh negara - juga yang tertinggi di dunia.
Presiden Donald Trump mengatakan kelmarin bahawa Amerika sudah melepasi wabak terburuk, sekali gus dijangka akan mengumumkan garis panduan untuk membuka kembali ekonomi.
"Sudah jelas bahawa strategi agresif kita berjalan lancar. Pertempuran masih berlanjutan tetapi data seluruh negara menunjukkan kita sudah mencapai puncak bagi kes baharu," katanya.
Encik Trump berkata, perkembangan yang menggembirakan itu meletakkan negara itu dalam posisi yang kukuh untuk menyelesaikan garis panduan bagi menarik semula sekatan dan larangan seterusnya membuka semula negara berkenaan.
EROPAH
Sepanyol dan Italy masing-masing mencatatkan 177,000 dan 165,000 kes secara keseluruhan.
Sementara Jerman mengatasi Italy untuk berada di kedudukan empat terbanyak dengan 133,000 kes, manakala Perancis sebanyak 131,000 kes.
United Kingdom kini di ambang angka 100,000 kes selepas mencatat 5,000 kes baharu kelmarin.
Italy masih di kedudukan kedua dengan lebih 21,000 kematian, diikuti oleh Sepanyol dengan hampir 19,000 orang terkorban.
Sementara itu, Perancis dan United Kingdom masing-masing mencatatkan 17,000 dan 12,000 kes kematian. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg