Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Norrie kejutkan pemain nombor 1 dunia Alcaraz dalam Masters Paris

Oct 29, 2025 | 3:05 PM
Tenis, Cameron Norrie
Pemain tenis dari Britain, Cameron Norrie, beraksi semasa perlawanan pusingan 32 menentang Carlos Alcaraz dari Sepanyol pada 28 Oktober. - Foto REUTERS

PARIS: Cameron Norrie dari Britain mengejutkan pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz, 4-6 6-3 6-4 pada 28 Oktober untuk mara ke pusingan ketiga Paris Masters dan menamatkan rentetan kemenangan 17 perlawanan pemain Sepanyol itu di peringkat ATP Masters 1000.

Selepas merangkul gelaran kelapannya musim ini di Tokyo, Alcaraz, bintang tenis muda Sepanyol yang juga juara Grand Slam enam kali, telah beraksi di luar corak permainannya.

Beliau melakukan 54 kesilapan mudah dan melepaskan kekecewaannya dalam pertengkaran singkat dengan jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero.

Selepas memenangi set pertama, Alcaraz gagal mengekalkan rentak, sementara Norrie semakin yakin, dengan pemain nombor 31 dunia itu menyelamatkan dua mata pada perlawanan ketujuh set terakhir, dan menguasai gelanggang untuk memenangi perlawanan itu selepas dua jam 22 minit.

“Kemenangan yang besar, sememangnya sangat besar bagi saya. Saya sebenarnya baru pulih daripada kecederaan yang saya alami. Tahun lalu (2024), saya tewas pusingan pertama kelayakan di sini.

“Saya baru sahaja cuba menikmati tenis pada separuh kedua tahun ini (2025) dan saya dapat melakukannya dan meraih kemenangan seperti ini, yang terbesar dalam kerjaya saya.

“Ini adalah kemenangan pertama saya ke atas pemain nombor satu dunia, lebih-lebih lagi ke atas pemain paling yakin di dunia sekarang,” ungkap Norrie.

Kekalahan Alcaraz itu adalah yang pertama sebelum sesuatu perlawanan akhir sejak Mac, lantas menghentikan penguasaan dominan Masters 1000 beliau sejak Terbuka Miami, di mana beliau memenangi gelaran di Monte Carlo, Rome, dan Cincinnati.

Kemenangan Norrie itu melonjakkannya ke peringkat 16 terakhir dalam acara Masters buat kali pertama sejak 2023 di Rome.

Beliau telah menyamai persembahan terbaiknya sebelum ini di Paris pada 2021.

Alcaraz berisiko kehilangan tempat nombor satu dunia pada akhir tahun jika Jannik Sinner dari Italy memenangi gelaran Paris itu minggu ini.

Norrie seterusnya akan berdepan Valentin Vacherot atau Arthur Rinderknech, yang bermain pada 29 Oktober dalam perlawanan ulangan perlawanan akhir Masters Shanghai.

Sebelum ini, Alcaraz, menewaskan Jannik Sinner dari Italy, dalam empat set pada 7 September untuk menjuarai Terbuka Amerika Syarikat.

Dengan kemenangan itu, beliau mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan yang mencorakkan era baru antara pemain terkemuka tenis lelaki.

Alcaraz menang 6-2, 3-6, 6-1, 6-4 untuk menjuarai Terbuka Amerika keduanya.

Gelaran kedua di New York itu mengembalikan beliau ke puncak kedudukan dunia, apabila beliau menewaskan Sinner dan meraih piala Grand Slam beliau yang keenam. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg