Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alcaraz atasi Sinner, juara kali kedua

Sep 8, 2025 | 4:15 PM
Tenis, Terbuka Amerika, Carlos Alcaraz
Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, meraikan kemenangan selepas menewaskan Jannik Sinner dari Italy, dalam final Terbuka Amerika. - Foto AFP

NEW YORK: Bintang tenis muda Sepanyol, Carlos Alcaraz, menewaskan Jannik Sinner dari Italy, dalam empat set pada 7 September untuk menjuarai Terbuka Amerika Syarikat.

Dengan kemenangan itu, beliau mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan yang mencorakkan era baru antara pemain terkemuka tenis lelaki.

Alcaraz menang 6-2, 3-6, 6-1, 6-4 untuk menjuarai Terbuka Amerika keduanya.

Gelaran kedua di New York itu mengembalikan beliau ke puncak kedudukan dunia, apabila pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu menewaskan Sinner dan meraih piala Grand Slam beliau yang keenam.

“Saya ingin mulakan dengan Jannik. Persembahan anda sepanjang musim ini sungguh luar biasa. Anda menunjukkan tahap permainan hebat dalam setiap kejohanan.

“Saya lebih sering berjumpa dengan anda daripada keluarga saya sendiri,” seloroh Alcaraz, yang mencatatkan rekod menang-kalah beliau bersama Sinner kepada 10-5.

“Memang seronok dapat berkongsi gelanggang, berkongsi bilik persalinan, berkongsi segalanya dengan anda.

“Saya sangat bangga dengan orang di sekeliling saya. Setiap pencapaian yang saya raih adalah kerana anda, terima kasih kepada anda… (kemenangan) ini adalah untuk anda juga,” tambahnya.

Sedang awan kelabu menyelubungi Stadium Arthur Ashe yang ikonik, Alcaraz terus mempamerkan permainan bertenaga yang menyinari Flushing Meadows di New York sepanjang dua minggu lalu.

Beliau mengukuhkan kelebihan awal dengan berpura-pura melakukan ‘drop shot’, iaitu pukulan yang membuat bola jatuh dekat dengan jaring, dan membuat Sinner tersalah langkah, sebelum menewaskan lawannya itu dengan pukulan pemenang.

Alcaraz tersenyum lebar selepas melakukan pukulan separuh voli – pukulan sejurus selepas bola memantul di lantai berhampiran jaring – dan menamatkan set pembukaan tidak lama kemudian dengan servis hebat yang gagal dibalas Sinner.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang menyaksikan pertandingan itu dari ruang eksklusif mewah di tempat penonton, menambah lagi suasana meriah dalam final Grand Slam ketiga berturut-turut antara kedua-dua pemain itu.

Sinner membalas untuk memenangi set berikutnya selepas berjaya memanfaatkan peluang memecahkan servis lawan.

Selepas melakukan beberapa kesilapan dalam set pertama kejohanan itu, Alcaraz bangkit untuk mendahului 5-0 dalam set ketiga sebelum Sinner mancatat mata.

Beliau kemudian menamatkan set itu dengan servis yang hebat.

Sinner melakukan dua pukulan voli menakjubkan dalam permainan pembukaan set keempat yang disambut dengan sorakan gemuruh, dan terus mengekalkan servis walaupun menghadapi tekanan hebat.

Namun, Alcaraz berjaya memecahkan servis Sinner dalam permainan kelima.

Alcaraz terus mengekalkan rentak, memenangi peluang ketiga yang menamatkan perlawanan, dan meraikannya dengan mengangkat tangan, mendakap lawannya, dan bergembira bersama pasukannya.

“Saya sudah cuba yang terbaik hari ini, saya tidak mampu lakukan lebih daripada ini,” kata Sinner yang turut tewas kepada Alcaraz pada final yang epik dalam Terbuka Perancis pada Jun. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg