KOTA TINGGI: Malaysia menggesa Norway mempercepatkan pemulangan wang bagi perjanjian pembelian peluru berpandu yang dibatalkan, dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa Oslo tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab atas perkara tersebut.

Datuk Mohamed Khaled berkata beliau baru-baru ini bertemu dengan Menteri Pertahanan Norway, Encik Tore Sandvik, dan menegaskan bahawa keengganan kerajaan Norway meluluskan lesen eksport merupakan punca utama kepada isu tersebut.

“Punca segala-galanya ialah keputusan Norway untuk tidak meluluskan lesen eksport kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pada 2 Jun.

“Oleh itu, (kerajaan) Norway tidak boleh lepas tangan kerana keputusannya telah menyebabkan masalah tersebut.”

Isu itu berpunca daripada keengganan kerajaan Norway meluluskan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu antikapal (NSM) yang dibeli Malaysia untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Datuk Mohamed Khaled berkata beliau memaklumkan rakan sejawatannya dari Norway bahawa jika Norway benar-benar ikhlas dalam mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan Malaysia, negara itu harus membantu memudahkan proses pemulangan wang tersebut.

Beliau mencadangkan agar kerajaan Norway menimbangkan untuk mendahulukan pembayaran balik sebelum menuntut semula wang tersebut daripada syarikat terlibat.

“Syarikat yang gagal memenuhi kontrak itu ialah syarikat Norway. Sebagai sebuah pemerintah, Norway boleh berunding dengan syarikat tersebut daripada memaksa Malaysia menunggu tanpa kepastian,” tambahnya.

Menurut Datuk Mohamed Khaled, dana tersebut diperlukan untuk mendapatkan sistem peluru berpandu alternatif bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pegawai kerajaan Norway sebelum ini menyifatkan pertikaian tersebut sebagai isu antara kerajaan Malaysia dengan syarikat yang berkenaan.

Datuk Mohamed Khaled menegaskan bahawa isu itu bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan yang ditanggung Malaysia.

Beliau berkata perkara itu menimbulkan persoalan sama ada kontrak pertahanan dan perjanjian antarabangsa masih boleh dipercayai jika kerajaan campur tangan selepas perjanjian ditandatangani dan pembayaran dibuat.

“Jika kontrak dan perjanjian tidak dihormati, ia akan menjejaskan keyakinan terhadap sistem antarabangsa dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Datuk Mohamed Khaled menganggarkan kerugian langsung Malaysia melebihi RM600 juta ($193 juta), manakala kos tidak langsung menyebabkan kesan keseluruhannya melebihi RM1 bilion.

Beliau berkata kos tambahan akan timbul daripada usaha mendapatkan sistem peluru berpandu pengganti, menyepadukannya dengan sistem semasa tentera laut, serta melaksanakan program latihan baru.

“Siapakah yang akan menanggung kos tersebut sedangkan kegagalan membekalkan peluru berpandu itu bukan berpunca daripada Malaysia?” soalnya.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan sedang menilai sistem peluru berpandu pengganti daripada beberapa negara termasuk Italy, Perancis, Turkey, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun.

Namun, katanya, Malaysia akan mengutamakan sistem yang sudah dalam pengeluaran kerana tempahan baru boleh mengambil masa antara empat hingga enam tahun untuk dihantar.

Beliau turut berkata kerajaan Malaysia menerima permohonan maaf Norway tetapi akan terus menuntut pampasan dan tuntutan lain yang timbul akibat kegagalan perolehan tersebut.

“Kami boleh menerima permohonan maaf itu, tetapi tuntutan kami tetap kekal. Jika Norway benar-benar menghargai persahabatannya dengan Malaysia, maka ia seharusnya membantu menyelesaikan isu ini,” katanya. – Agensi berita.