Seorang hakim persekutuan telah mendedahkan nota bunuh diri yang didakwa ditulis oleh pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein, yang telah disimpan selama bertahun sebagai sebahagian daripada kes jenayah rakan selnya.

“Mereka menyiasat saya selama berbulan-bulan – tidak jumpa apa-apa!” demikian permulaan nota itu, sambil menambah bahawa hasilnya hanyalah pertuduhan berdasarkan kejadian yang berlaku bertahun-tahun yang lalu.

“Ia adalah satu nikmat dapat memilih masa sendiri bagi mengucapkan selamat tinggal,” sambung nota itu.

“Apa yang kau nak aku buat – menangis teresak-esak!!” tulis nota itu.

“Tidak seronok,” ia diakhiri, dengan kata-kata itu digariskan. “Tidak berbaloi!!”

Rakan sel Epstein, Nicholas Tartaglione, berkata dia menjumpai nota itu pada Julai 2019 selepas Epstein dijumpai tidak sedarkan diri dengan sekeping kain dililit di lehernya. 

Epstein terselamat daripada cubaan itu, tetapi dia dijumpai mati beberapa minggu kemudian pada usia 66 tahun di Metropolitan Correctional Center yang kini telah ditutup.

Nota itu didedahkan kepada umum pada 6 Mei oleh Hakim Kenneth M Karas dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di White Plains, New York, yang mengendalikan kes rakan sel tersebut. 

Tindakan hakim itu menyusul selepas The New York Times memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendedahkan dokumen tersebut, selain menerbitkan artikel di mana Tartaglione menceritakan tentang nota itu dan bagaimana ia sampai ke tangannya.

Akhbar itu belum mengesahkan kesahihan nota itu, yang telah dimasukkan ke dalam rekod mahkamah pada malam 6 Mei.

Dokumen itu kekal tersembunyi daripada pandangan awam walaupun Jabatan Kehakiman telah mendedahkan berjuta-juta halaman dokumen berkaitan Epstein dalam satu langkah ketelusan yang tidak pernah berlaku sebelumnya. 

Media Amerika meneliti rekod tersebut tetapi tidak menemui salinan nota itu. Jurucakap Jabatan Kehakiman berkata pihak agensi tidak pernah melihatnya.

Namun, pencarian itu berjaya menemui dokumen kronologi dua halaman yang menghuraikan bagaimana nota itu terkait dalam kes undang-undang Tartaglione yang rumit. 

Dokumen itu menyatakan bahawa peguam Tartaglione telah mengesahkan kesahihan nota tersebut, namun tidak dijelaskan bagaimana cara pengesahan itu dilakukan.

Tartaglione, bekas pegawai polis di Briarcliff Manor, New York, berkongsi sel dengan Epstein sambil menunggu perbicaraan dalam kes pembunuhan empat orang. 

Dia memberitahu media dalam temu bual telefon baru-baru ini dari penjara di California bahawa dia menjumpai nota itu dalam novel grafik selepas Epstein dibawa keluar dari sel mereka berikutan percubaan bunuh diri yang didakwa itu. – Agensi berita.