Topic followed successfully
Go to BHkuIsteri Trump tampil nafi sebarang kaitan dengan Epstein
Isteri Trump tampil nafi sebarang kaitan dengan Epstein
Isteri Trump tampil nafi sebarang kaitan dengan Epstein
WASHINGTON: Cik Melania Trump terus mencuri perhatian sebagai wanita pertama Amerika Syarikat yang memilih untuk memainkan peranannya mengikut cara tersendiri, dengan pendekatan yang lebih tertutup dan jarang bersuara dalam isu politik.
Bekas model kelahiran Slovenia itu dilihat sering mengambil sikap berdiam diri atau memberi sokongan secara tidak langsung kepada suaminya, Encik Donald Trump.
Namun, beliau tampil luar biasa pada 9 April apabila mengadakan sidang media bagi menafikan sebarang kaitan dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Cik Melania menafikan beliau mempunyai sebarang hubungan dengan Epstein dan menegaskan beliau bukan salah seorang mangsa Epstein, sekali gus mengembalikan isu itu ke perhatian umum selepas suaminya berulang kali cuba meredakannya.
Beliau turut menolak spekulasi dalam talian bahawa Epstein telah memperkenalkannya kepada Encik Trump.
Sebaliknya, beliau berkata beliau bertemu suaminya di sebuah parti di New York pada 1998, iaitu dua tahun sebelum beliau terserempak dengan Epstein di acara lain yang dihadiri bersama Encik Trump.
Beliau juga menggesa Kongres mengadakan pendengaran awam supaya mangsa Epstein dapat memberikan keterangan di bawah sumpah, sekali gus membuka kemungkinan isu itu akan mendapat lebih banyak perhatian umum, sesuatu yang mahu dielakkan Encik Trump.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Trump dilaporkan berkata beliau tidak mengetahui mengenai kenyataan isterinya itu.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai kenyataan Cik Melania tentang Epstein,” katanya dalam satu temu bual media, menurut laporan wartawan yang dikongsi di platform X.
Jurucakap Cik Melania berkata pihak pembantu Encik Trump telah dimaklumkan mengenai rancangan kenyataan itu.
“Pembohongan mengaitkan saya dengan Epstein, yang memalukan itu perlu dihentikan hari ini,” kata Cik Melania sambil membaca kenyataan dan enggan menjawab soalan wartawan.
“Saya bukan mangsa Epstein,” kata Cik Melania.
Ucapan luar biasa itu, disampaikan di bawah lambang rasmi presiden di ruang legar Rumah Putih, menghidupkan semula penelitian terhadap kes Epstein, yang telah menggugat pentadbiran Encik Trump, apabila sebahagian penyokongnya sendiri mengkritik pemerintah kerana mengendalikan pendedahan fail berkaitan Epstein secara tidak memuaskan.
Terdahulu Encik Trump memecat Peguam Negara, Cik Pam Bondi, yang menjadi sasaran kemarahan penyokong tegar presiden itu, selepas Jabatan Kehakiman didakwa melambatkan pelepasan berjuta-juta fail berkaitan Epstein.
Encik Trump, yang pernah berkawan dengan Epstein dan mendakwa memutuskan hubungan pada awal 2000-an, merupakan antara ramai tokoh terkenal selebriti, ahli politik dan intelektual yang disebut dalam fail pemerintah.
Cik Melania tidak menjelaskan mengapa beliau memilih untuk bersuara sekali gus membangkitkan semula isu yang sebelum ini mula tenggelam daripada tajuk utama, akibat perang Amerika-Israel terhadap Iran.
Namun penasihat kanannya, Encik Marc Beckman, memberitahu Reuters:
“Wanita Pertama Melania Trump tampil bersuara kerana keadaan sudah melampau. Pembohongan ini mesti dihentikan.”
Cik Melania dikenali sebagai individu yang sangat menjaga privasi walaupun memegang jawatan berprofil tinggi.
Sepanjang tahun pertama pentadbiran suaminya pada 2017, beliau hanya menyampaikan lapan ucapan rasmi.
Sebagai perbandingan, Cik Michelle Obama memberikan 74 ucapan dalam tahun pertama suaminya, Encik Barack Obama, sebagai presiden pada 2009.
Penulis buku mengenai wanita pertama Amerika, Kate Andersen Brower, menggambarkan Melania sebagai sukar difahami.
“Dia sangat sukar untuk dikenali,” katanya dalam wawancara bersama The Times pada 2024.
Walaupun jarang tampil di khalayak, Cik Melania pernah mencetuskan perhatian umum dalam beberapa keadaan. Selepas pilihan raya presiden 2020, beliau menyokong dakwaan suaminya bahawa kemenangan telah dicemari penipuan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata: “Setiap undi yang sah bukan yang tidak sah perlu dikira.” Kenyataan itu dilihat selari dengan naratif Encik Trump yang mendakwa berlakunya penipuan pilihan raya.
Pada 2018, Melania turut menjadi tumpuan apabila memakai jaket dengan tulisan “I REALLY DON’T CARE, DO YOU?” (“Saya memang tidak peduli, anda pula?”) ketika melawat kanak-kanak migran di Texas yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka. Tindakan itu mencetuskan kritikan meluas.
Beberapa tahun kemudian, beliau menjelaskan bahawa mesej pada jaket tersebut adalah reaksi terhadap kritikan media terhadap dirinya.
Pada 2026 ini, Cik Melania turut menerbitkan sebuah filem dokumentari yang memaparkan kehidupannya dalam tempoh 20 hari menjelang pelantikan kedua suaminya sebagai presiden.
Dokumentari itu dipromosikan sebagai peluang kepada orang ramai untuk melihat sisi peribadinya yang jarang didedahkan.
Namun, pengkritik berpendapat ia tidak memberikan banyak maklumat baharu mengenai dirinya.
Cik Melania, 55 tahun, merupakan isteri ketiga Donald Trump dan wanita pertama Amerika pertama yang memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi.
Beliau mula menjadi model pada usia 16 tahun sebelum mengembangkan kerjayanya di bandar fesyen utama seperti Paris dan Milan, sebelum berpindah ke New York pada 1996.
Dua tahun kemudian, beliau bertemu Encik Trump dalam satu acara di New York sebelum berkahwin pada Januari 2005.
Encik Trump sendiri pernah membandingkan isterinya dengan ikon fesyen dan bekas wanita pertama, Jacqueline Kennedy Onassis. “Kita ada Jackie O kita sendiri hari ini. Namanya Melania,” kata Trump dalam satu rancangan televisyen pada 2019.
Beliau turut menambah: “Orang ramai menyukainya. Media tidak memberi kredit, tetapi rakyat memberi penghargaan kepadanya.” – Agensi berita.

