BAITULMAKDIS: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam kelulusan awal Knesset Israel terhadap rang undang-undang yang mahu menyekat laungan azan melalui pembesar suara di masjid di seluruh negara itu.

OIC menyifatkan cadangan undang-undang berkenaan sebagai tindakan perundangan “diskriminasi dan bersifat perkauman” yang mencabuli kebebasan beragama dan beribadat.

“Undang-undang ini adalah peningkatan berbahaya dalam siri keputusan, undang-undang dan langkah perkauman Israel yang bertujuan menyekat kehadiran rakyat Palestin serta menyasarkan identiti Arab dan Islam,” menurut OIC dalam satu kenyataan.

Menurut badan itu, langkah tersebut juga merupakan “serangan langsung terhadap kesucian syiar agama dan tempat suci Islam”.

Knesset pada 1 Julai meluluskan bacaan awal rang undang-undang yang digelar “rang undang-undang muazin” dengan 50 undi menyokong dan 36 menentang.

Rang undang-undang itu masih perlu melalui tiga lagi bacaan sebelum boleh dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Cadangan tersebut bertujuan mengehadkan penggunaan dan tahap bunyi pembesar suara masjid, termasuk ketika azan subuh.

Muazin ialah individu yang melaungkan azan bagi memaklumkan masuknya waktu solat kepada umat Islam sebanyak lima kali sehari.

Rang undang-undang itu diperkenalkan anggota Knesset, Encik Zvika Fogel, daripada parti sayap kanan Otzma Yehudit yang dipimpin Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir.

Ia turut mendapat sokongan parti pembangkang Yisrael Beiteinu pimpinan Encik Avigdor Lieberman dan parti ultra-Ortodoks Shas, yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah Israel.

Akhbar Israel Hayom melaporkan rang undang-undang itu bertujuan memperketat penguatkuasaan terhadap apa yang digambarkan sebagai “bunyi masjid”.

Menurut laporan media Israel, jika undang-undang itu diluluskan, masjid perlu mendapatkan permit sebelum menggunakan pembesar suara.

Masjid yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda kira-kira AS$16,700 ($21,570), manakala polis diberi kuasa merampas pembesar suara dan mengeluarkan denda berulang sekitar AS$3,340 bagi pelanggaran seterusnya.

Menurut Channel 14 Israel, cadangan undang-undang itu menetapkan bahawa sebarang sistem bunyi tidak boleh dipasang atau digunakan di masjid tanpa kebenaran awal yang jelas daripada pihak berkuasa.

Ketua Majlis Kebangsaan Palestin, Encik Rawhi Fattouh, mengecam langkah itu dan menyifatkannya sebagai “jenayah” serta “keganasan perundangan”.

“Ini adalah pencabulan terang-terangan terhadap kebebasan beribadat dan beragama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata azan melalui pembesar suara bukan sekadar ritual dalam masjid, tetapi berfungsi memaklumkan waktu solat kepada masyarakat Islam.

Larangan atau sekatan terhadap azan, katanya, akan menjejaskan amalan harian umat Islam dan mencerminkan usaha sistematik untuk menekan identiti Islam dan Arab di wilayah yang dikuasai Israel.

Isu azan sering menjadi bahan perdebatan dalam politik Israel, khususnya dalam kalangan parti sayap kanan yang mendakwa laungan melalui pembesar suara mengganggu penduduk berhampiran.

Namun pemimpin Palestin dan pertubuhan Islam melihat langkah itu sebagai sebahagian daripada dasar lebih luas yang menyasarkan kehadiran, budaya dan hak agama rakyat Palestin.

Bagi OIC, rang undang-undang tersebut bukan isu teknikal berkaitan bunyi, sebaliknya menyentuh hak asas umat Islam untuk mengamalkan agama mereka secara terbuka.

Badan itu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian jelas terhadap langkah Israel yang disifatkan semakin mencabar kebebasan beragama dan kesucian tempat ibadat Islam. – Agensi berita.