Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OIC kecam rancangan Israel kuasai sepenuhnya Gaza

Aug 13, 2025 | 1:47 PM
 Riyad Mansour, Israel, Gaza, PBB
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour (tengah), berucap pada sidang akhbar bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat, 12 Ogos. Sidang akhbar itu membincangkan rancangan pemerintah Israel untuk mengambil alih Gaza serta insiden pembunuhan wartawan Palestin baru-baru ini di Gaza. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 12 Ogos mengecam keras rancangan Israel untuk mengenakan kawalan ketenteraan penuh ke atas Jaluran Gaza, menyifatkannya sebagai “tindakan berbahaya dan tidak dapat diterima.”

“Negara-negara anggota OIC menyatakan kecaman tegas dan penolakan mutlak terhadap pengumuman Israel berhubung niatnya untuk mengenakan kawalan ketenteraan penuh ke atas Gaza,” kata Timbalan Wakil Tetap Turkey ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Asli Guven.

Beliau berucap semasa sidang media di ibu pejabat PBB, New York. Turkey kini mempengerusikan Majlis Menteri-Menteri OIC.

Cik Guven menyifatkan langkah Israel itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta cubaan mengukuhkan pendudukan haram dan memaksakan keadaan yang telah ditetapkan secara sepihak melalui kekerasan.

“Kami menuntut penghentian segera dan menyeluruh terhadap pencerobohan Israel di Jaluran Gaza,” tegas Cik Guven.

OIC katanya turut mendesak agar Israel “segera dan tanpa syarat membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dalam skala besar ke Gaza, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api.”

Mengulas mengenai pembunuhan wartawan di Gaza, Cik Guven berkata, “Kami sepenuhnya bersetuju dengan pandangan anda, khususnya mengenai pembunuhan wartawan.

“Ini adalah dasar yang disengajakan untuk membungkam media, tetapi kita semua sedar bahawa kebenaran tidak dapat dibisukan.”

Beliau turut mengumumkan bahawa Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, telah mengarahkan delegasi OIC di New York untuk memulakan mesyuarat luar biasa bagi membincangkan langkah seterusnya.

Duta Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, menggesa semua negara dan institusi antarabangsa “mengambil langkah lanjut untuk memaksa Israel mematuhi kewajipannya.”

“Majlis Keselamatan mempunyai instrumen yang boleh digunakan jika mereka mahu bertindak, namun negara-negara juga boleh mengambil langkah secara kapasiti nasional mereka,” katanya.

Encik Mansour turut mengalu-alukan tindakan praktikal yang diambil Eropah untuk menyokong rakyat Palestin, dan menggesa langkah tersebut “diperluaskan oleh semua negara lain bagi memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.”

Pada 11 Ogos kumpulan duta OIC mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat PBB atas jemputan delegasi Palestin.

Dalam taklimatnya, Encik Mansour memaklumkan bahawa kepimpinan Palestin, yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, sedang giat berhubung dengan pemimpin Arab dan antarabangsa bagi menghentikan serangan berterusan terhadap Palestin, khususnya di Jaluran Gaza.

Beliau turut menekankan gesaan kepada pihak pendudukan Israel supaya membatalkan rancangan pencerobohan besar-besaran yang telah diluluskan oleh pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Encik Mansour turut mengingatkan komuniti antarabangsa tentang keperluan segera untuk campur tangan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih parah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg