Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kecaman dunia makin hebat terhadap Israel

PBB: Keselamatan penduduk Palestin yang kebuluran serta pekerja bantuan kian terancam
Jul 23, 2025 | 11:25 AM
Orang ramai berarak di sepanjang jalan 42nd Street di Bandar New York, Amerika Syarikat, dalam protes “Hentikan Kebuluran Gaza Sekarang”, ketika konflik antara Israel dengan kumpulan Hamas masih berterusan, pada 22 Julai 2025. 
Orang ramai berarak di sepanjang jalan 42nd Street di Bandar New York, Amerika Syarikat, dalam protes “Hentikan Kebuluran Gaza Sekarang”, ketika konflik antara Israel dengan kumpulan Hamas masih berterusan, pada 22 Julai 2025.  - Foto REUTERS

GAZA: Israel kini berdepan gelombang kecaman antarabangsa yang semakin hebat selepas didakwa membunuh rakyat Palestin yang kebuluran serta menyerang usaha bantuan kemanusiaan, tatkala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, memberi amaran bahawa “talian hayat terakhir untuk rakyat Gaza kini sedang runtuh.”

Dalam kenyataan pada 22 Julai, Encik Guterres menggelar situasi di Gaza sebagai “adegan ngeri” dan menegaskan bahawa “kekurangan zat makanan semakin memburuk, dan kebuluran kini mengetuk setiap pintu di Gaza.”

Liga Arab menerusi mesyuarat tergempar peringkat wakil tetap di Kaherah pada 22 Julai menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan segera mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Liga itu menggesa agar serangan Israel dihentikan, bencana dan kebuluran di Gaza diiktiraf secara rasmi, serta sekatan ke atas wilayah tersebut ditamatkan.

Dalam resolusi yang dikeluarkan, Majlis Liga Arab mengutuk Israel sebagai kuasa penjajah yang telah menjadikan Jaluran Gaza sebagai zon kebuluran, dan menuduhnya menggunakan kelaparan sebagai senjata perang dan satu bentuk genosid terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengumumkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 22 Julai bagi membincangkan serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin dan tapak suci, khususnya Masjid Ibrahimi di Hebron.

Pemimpin tertinggi Gereja Katolik, Paderi Besar Latin Baitulmakdis, Kardinal Pierbattista Pizzaballa, selepas melawat Gaza, berkata: “Kami melihat lelaki berdiri di bawah terik matahari selama berjam-jam hanya demi sesuap makanan. Ini adalah sesuatu yang tidak bermoral dan tidak dapat diterima.”

Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslim Sedunia turut mengeluarkan fatwa yang menyifatkan tindakan Israel dan sekutunya sebagai “jenayah besar” terhadap rakyat Gaza kerana “membiarkan mereka mati kelaparan.”
Fatwa tersebut menyeru negara-negara Islam dan seluruh masyarakat Muslim serta institusi keagamaan dan kemanusiaan agar segera bertindak membuka lintasan sempadan, menamatkan pengepungan dan menghantar makanan serta ubat-ubatan ke Gaza.

Pada 21 Julai, sebanyak 28 negara, termasuk Jepun, Britain, Perancis, dan Canada menyatakan Israel mesti segera menamatkan peperangannya di Gaza.

Negara-negara itu juga mengkritik apa yang disifatkan sebagai “pembunuhan kejam” warga Palestin, termasuk ratusan orang berhampiran tapak pengagihan makanan.

Canselor Jerman, Friedrich Merz, mendesak Israel agar menamatkan segera serangan ketenteraan ke atas Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Palestin.

Dalam kenyataan tegas yang disampaikan pada satu sidang media, Encik Merz berkata, situasi yang sedang berlaku di Gaza tidak lagi boleh diterima dari sudut kemanusiaan.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Cik Kaja Kallas pula berkata: “Saya telah bercakap sekali lagi dengan Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dan menegaskan bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mesti berhenti membunuh orang awam di pusat agihan bantuan.

“Pembunuhan orang awam yang sedang mencari bantuan di Gaza tidak boleh dipertahankan,” kata Cik Kallas di media sosial X, sambil menambah bahawa “semua pilihan kini sedang dipertimbangkan” sekiranya Israel gagal memenuhi janji bantuan.

Menurut pegawai PBB pada 22 Julai, lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak akhir Mei ketika cuba mendapatkan makanan daripada pusat agihan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Dalam kenyataan kepada Majlis Keselamatan PBB, Encik Guterres turut mengecam serangan Israel ke atas pejabat PBB dan berkata, “sistem kemanusiaan yang dibina atas prinsip kemanusiaan kini sedang nazak. Sistem ini dinafikan syarat untuk berfungsi, ruang untuk menyampaikan bantuan dan keselamatan untuk menyelamatkan nyawa.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjadi sasaran apabila kemudahan gudang dan penginapan kakitangannya di Deir al-Balah diserang tentera Israel.

Malah, Israel turut membatalkan visa kerja ketua Pejabat Penyelaras Kemanusiaan PBB (Ocha) di Gaza, Encik Jonathan Whittall.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Encik Thameen Al-Kheetan, berkata: “Sehingga 21 Julai, kami merekodkan seramai 1,054 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan, termasuk 766 orang berhampiran tapak GHF dan 288 lagi berhampiran konvoi bantuan PBB dan agensi kemanusiaan lain.”

Perdana Menteri Ireland, Encik Micheal Martin, turut menyuarakan kemarahan terhadap penderitaan kanak-kanak kelaparan di Gaza. “Imej kanak-kanak yang kebuluran amat mengerikan. Perang ini mesti dihentikan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, Amnesty Antarabangsa Britain mengecam negara-negara seperti Britain kerana gagal mengambil tindakan tegas walaupun menandatangani kenyataan bersama dengan 28 negara Barat.

Cik Kristyan Benedict daripada Amnesty berkata: “Kegagalan kerajaan Britain untuk mengambil langkah tegas mencegah genosid bukanlah satu kebetulan.

“Sebagai penandatangan Konvensyen Genosid, Britain mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk mencegah dan menghukum genosid tanggungjawab yang kini gagal dilaksanakan.”

Pada masa yang sama, tentera Israel terus mara ke bandar Deir al-Balah di tengah Gaza satu-satunya bandar yang sebelum ini tidak mengalami operasi darat besar, menimbulkan spekulasi bahawa Hamas menyembunyikan sejumlah besar tebusan di sana.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dan Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, turut membuat seruan bersama agar negara-negara Islam bertindak segera dan secara bersepadu untuk menghentikan tindakan genosid rejim Israel yang kini memasuki bulan ke-22. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg