Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OJ Simpson, yang bebas kes sensasi tuduhan bunuh, meninggal

Apr 12, 2024 | 3:16 PM
Gambar fail OJ Simpson mencuba sarung tangan, yang ada kesan darah, yang ditemui di lokasi pembunuhan, semasa perbicaraannya. Sarung tangan itu tidak muat dengan tangannya.
Gambar fail OJ Simpson mencuba sarung tangan, yang ada kesan darah, yang ditemui di lokasi pembunuhan, semasa perbicaraannya. Sarung tangan itu tidak muat dengan tangannya. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: OJ Simpson, yang dibebaskan pada 1995 dalam apa yang disifatkan sebagai “perbicaraan abad ini” kerana pembunuhan kejam bekas isterinya dan rakan lelakinya, telah meninggal dunia.

Demikian menurut keluarganya pada 11 April.

Anggota Dewan Kemasyhuran Liga Bola Sepak Amerika Kebangsaan (NFL) itu berusia 76 tahun.

“Ayah kami, Orenthal James Simpson, meninggal dunia akibat menderita penyakit barah”, demikian mesej keluarga itu yang dimuat naik di laman media sosial X.

“Beliau dikelilingi anak-anak dan cucu-cucunya. Pada masa peralihan ini, keluarganya meminta anda menghormati permintaan bagi privasi,” kata mesej itu.

Simpson dilaporkan menghidap barah prostat.

Beliau dibesarkan di tengah-tengah kemiskinan dan kesihatan buruk tetapi menjadi seorang atlet elit, meningkat pesat menjadi terkenal sebagai pemain bola sepak kolej dan kemudian dalam NFL, memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai 1973.

Popularitinya berkembang selepas kerjaya NFL apabila beliau menjadi pelakon dan juga di dalam iklan bagi mempromosikan segala-galanya, daripada jus oren hingga penyewaan kereta.

Simpson menjadi antara wajah keturunan kulit hitam paling dikenali di Amerika.

Namun popularitinya bertukar menjadi kehinaan selepas pembunuhan bekas isterinya, Encik Nicole Brown Simpson, dan rakan lelakinya, Encik Ron Goldman, di pinggir bandar Los Angeles.

Dalam kejadian kejar-mengejar melibatkan kereta polis dan kereta Simpson dan penangkapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen, kes tersebut mendapat banyak sorotan media.

Perbicaraan kesnya turut menampilkan peguambela terkemuka seiring dakwaan berhubung perkauman disaksikan jutaan penonton di kaca televisyen.

Pembebasannya pada Oktober 1995, selepas perbicaraan sembilan bulan, disambut dengan rasa tidak percaya oleh ramai rakyat Amerika, yang mengikuti setiap hujah mengenai butiran rumit, termasuk sarung tangan yang ditemui di tempat jenayah yang tidak muat dengan tangan Simpson. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg