Topik diikuti
Pergi ke BHkuOman selamatkan 25 kelasi daripada kapal terbakar dek serangan
Iran dilapor sekat 3 kapal tangki minyak di selat Hormuz
Oman selamatkan 25 kelasi daripada kapal terbakar dek serangan
MUSCAT: Oman telah menyelamatkan 25 kelasi daripada sebuah kapal dagang yang terbakar akibat serangan, katanya pada 30 Oktober.
Sementara itu, Iran melaporkan tiga kapal tangki minyak disekat semasa merentasi Selat Hormuz.
Teheran menyekat laluan maritim melalui selat itu sejak perang Timur Tengah meletus pada 28 Februari lalu, ekoran serangan Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.
Laluan air yang sempit yang lazim membawa kira-kira seperlima daripada bekalan minyak dunia itu, kini menjadi titik tumpuan konflik, dengan kapal kerap menjadi sasaran tembakan Iran.
Pusat Keselamatan Maritim Oman berkata, tentera laut Muscat “menjalankan operasi pemindahan 25 anak kapal daripada kapal dagang RITI, berbendera Panama, selepas ia menjadi sasaran, lalu mencetuskan kebakaran di atas kapal”.
Anak kapal diberikan rawatan perubatan, tambah kenyataan Oman, tanpa memberikan butiran lanjut.
Laman web penjejakan kapal, Marine Traffic, menyifatkan RITI sebagai kapal tangki minyak mentah.
Menerusi video pada 30 Oktober, Ketua Komando Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, berkata tentera Amerika “berjaya membersihkan laluan transit utama selat itu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, daripada periuk api laut Iran”.
Tentera Amerika kekal “berada di lokasi bagi memastikan semua laluan transit utama di Selat Hormuz terus bebas dan selamat daripada sebarang ancaman,” tambah beliau.
Laksamana Cooper berkata beliau telah melawat sebahagian daripada lebih 50,000 anggota tentera Amerika di rantau berkenaan.
Beliau turut mengulangi kenyataan terdahulu bahawa Washington telah membantu negara-negara Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah melalui selat itu sejak musim panas lalu.
Agensi Keselamatan Maritim Britain (UKMTO) berkata, sebuah kapal yang berada 40 batu nautika di selatan Pulau Lavan di Iran telah dibedil projektil tidak dikenali pada 30 Oktober, menyebabkan kebakaran di atas kapal.
“Anak kapal dilaporkan selamat dan tiada kesan terhadap alam sekitar dilaporkan setakat ini,” kata UKMTO menerusi hantaran di aplikasi X.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) Iran sebelum ini menyatakan tiga kapal tangki minyak disekat selepas berdepan “kejadian” yang tidak dinyatakan atau terlanggar periuk api.
“Dua kapal tangki minyak yang melanggar peraturan, satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat Selat Hormuz, yang cuba melalui laluan tanpa dibenarkan, telah berdepan insiden dan disekat di perairan selatan selat itu,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
Iran menuntut agar kapal menggunakan laluan khas yang ditetapkan melalui selat itu, dan menyelaraskan pelayaran mereka dengan angkatan tentera negara berkenaan, serta melabel koridor selatan yang lebih dekat dengan pesisir pantai Oman sebagai laluan terlarang.
Kapal-kapal tangki telah “mematikan semua sistem pengemudian dan penentu kedudukan mereka, serta cuba keluar melalui laluan terlarang dengan sokongan tentera pengganas Amerika”, tambah IRGC.
Pihak IRGC tidak memperincikan bentuk “insiden” yang dihadapi kapal tangki itu, yang berlaku sehari selepas angkatan tentera Iran menyatakan sekurang-kurangnya empat kapal tangki terhenti di kawasan itu selepas terlanggar periuk api laut.
Mereka berkata kejadian pada 30 Oktober itu berlaku selepas kapal berkenaan menerima beberapa amaran melalui radio namun mengabaikannya.
IRGC kemudian berkata, sebuah kapal tangki yang membawa dua juta tong minyak telah terhenti ekoran satu letupan “selepas terlanggar periuk api laut ketika melalui laluan terlarang di Selat Hormuz”.
“Ini merupakan kapal tangki minyak ketiga yang meletup dan terbakar hari ini akibat cuba melalui laluan tanpa kebenaran,” tambah kenyataan itu.
Amerika bertindak balas terhadap sekatan Iran ke atas selat itu dengan mengenakan sekatan balas ke atas pelabuhan Iran, sekali gus menyekat keupayaan Teheran untuk mengeksport minyak dan menjalankan perdagangan. – AFP.