Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan di Selat Hormuz capai tahap tertinggi sejak perang Iran bermula
23 serangan direkod sejak awal Okt, hampir dua kali ganda berbanding purata bulanan
Serangan di Selat Hormuz capai tahap tertinggi sejak perang Iran bermula
LONDON: Sekurang-kurangnya 10 kapal telah diserang di Selat Hormuz atau berhampiran selat tersebut sejak 11 Oktober.
Ia merupakan bilangan tertinggi sejak tercetusnya perang antara Amerika Syarikat, Israel dengan Iran, menurut data keselamatan pada 14 Oktober.
Empat kapal diserang pada 13 Oktober manakala enam lagi diserang pada 11 Oktober – iaitu bilangan serangan tertinggi dalam sehari sejak konflik bermula – menurut data daripada syarikat keselamatan Vanguard, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan Agensi Keselamatan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Dua pelaut dilaporkan hilang manakala sebuah kapal kontena dilaporkan karam berikutan serangan terbaharu itu, menurut sumber maritim.
Iran mula menyasarkan kapal dagang yang melalui laluan perairan penting itu pada Mac lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika-Israel ke atas wilayahnya.
Sementara itu, Teheran terus menyerang kapal yang melintasi selat berkenaan menerusi laluan yang tidak diluluskannya.
Serangan tersebut menjejaskan laluan kapal menerusi selat itu, yang secara umumnya merupakan antara laluan paling sibuk bagi pengeksportan minyak dan komoditi lain dari negara Teluk.
Sebanyak 23 serangan direkodkan sejak awal Oktober, iaitu hampir dua kali ganda berbanding purata bulanan insiden sejak perang bermula.
Amerika pada 10 Oktober berkata ia telah menyerang sebuah kapal kargo sebagai sebahagian daripada sekatan ke atas pelabuhan Iran, namun insiden berkenaan tidak disenaraikan oleh IMO.
Peningkatan semula eksport tenaga baru-baru ini – yang hampir kembali ke paras sebelum perang pada awal Oktober tetapi kini merosot semula – mungkin menjadi pendorong di sebalik lonjakan serangan terbaharu, menurut penganalisis Vanguard, Encik Barun Gupta.
“Aliran minyak Teluk kembali pulih, dengan trafik menerusi Selat Hormuz baru-baru ini mencapai sekitar 80 peratus daripada paras sebelum perang meskipun konflik masih berterusan.
“Tindakan meningkatkan serangan memberi Teheran cara untuk menunjukkan bahawa ia masih berupaya menjejaskan usaha pemulihan itu serta mengenakan kos terhadap perkapalan komersial dan pasaran tenaga global,” kata Encik Gupta kepada AFP pada 14 Oktober.
Janji yang diumumkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, minggu lalu untuk tidak melancarkan serangan susulan ke atas Iran sebelum pilihan raya separuh penggal Amerika juga mungkin menjadi satu faktor lonjakan serangan baru-baru ini.
Ia memberikan Teheran “ruang untuk meningkatkan tekanan dengan risiko serangan balas serta-merta daripada tentera Amerika dilihat lebih rendah”.
Sekurang-kurangnya 24 pelaut terkorban berikutan insiden di kawasan berhampiran Selat Hormuz sejak konflik bermula, menurut IMO. – AFP.