Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi cari mangsa gempa Colombia diteruskan, angka korban terus meningkat
Perintah berkurung turut dilaksana di dua bandar paling teruk dilanda gempa jaga keselamatan, mudahkan operasi kecemasan
CALI (Colombia): Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan di barat Colombia bagi hari kedua pada 11 Ogos selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 164 orang dan menyebabkan kemusnahan besar di beberapa bandar.
Angka korban dijangka meningkat ketika anggota kecemasan, dibantu polis, tentera dan sukarelawan, bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih hilang atau terperangkap di bawah runtuhan.
Gempa yang melanda awal 10 Ogos itu adalah antara yang paling kuat melanda Colombia dalam beberapa dekad dan menyebabkan kerosakan besar di kawasan utama pengeluaran kopi negara berkenaan.
Bangunan bertingkat runtuh di bandar seperti Cali dan Pereira, manakala sebahagian menara sebuah gereja bersejarah di Manizales mengalami kerosakan.
Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam menggunakan jentera pengorek, peralatan khas dan ada kalanya tangan sendiri untuk mengalihkan runtuhan konkrit dalam usaha mengesan mangsa yang masih hidup.
Cali, bandar yang mempunyai sekitar 2.2 juta penduduk, antara kawasan paling teruk terjejas.
Pihak berkuasa bandar berkata beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, menyebabkan pasukan kecemasan dan pertahanan awam mengerahkan peralatan khas serta jentera berat ke lokasi bangunan yang musnah.
Puluhan bangunan di bandar itu sama ada musnah atau berada dalam keadaan tidak stabil, menyebabkan ramai penduduk memilih untuk berada di luar rumah kerana bimbang struktur bangunan boleh runtuh, terutama jika berlaku gempa susulan.
Sebuah hospital di Cali turut mengalami kerosakan serius apabila beberapa tingkat atasnya, termasuk bahagian yang digunakan bagi rawatan kanak-kanak, runtuh.
Pengarah hospital, Encik Irne Torres Castro, berkata beberapa pesakit terperangkap, manakala kira-kira 600 yang lain terpaksa menerima rawatan di jalan berhampiran hospital yang dipenuhi serpihan bangunan.
Rakaman video yang disiarkan di media sosial dan disahkan agensi berita Reuters turut menunjukkan lapangan terbang Cali bergoncang kuat ketika gempa berlaku.
Bahagian besar siling dilihat runtuh ketika orang ramai mencari perlindungan.
Seorang penduduk Cali, Cik Carmen Yasmin Garcia, 43 tahun, yang menyertai operasi menyelamat secara sukarela berkata kumpulannya berjaya mengeluarkan tujuh mangsa daripada sebuah bangunan yang runtuh pada 10 Ogos.
Bagaimanapun, empat lagi mangsa dan seekor anjing masih terperangkap ketika itu.
“Sebentar tadi kami terdengar bunyi cakaran tetapi sekarang kami tidak mendengar apa-apa. Kami masih percaya anjing itu masih hidup dan kami boleh mengeluarkan mereka,” katanya.
“Kami memerlukan orang yang mempunyai kayu dan penyodok. Lebih ramai yang membantu, lebih baik.”
Di Pereira, ibu kota wilayah Risaralda yang turut mengalami kemusnahan besar, pihak berkuasa melaporkan 66 kematian.
Sebanyak 13 lagi kematian dilaporkan di Choco, wilayah luar bandar yang paling hampir dengan pusat gempa.
Angka korban di Cali pula masih berbeza antara laporan pihak berkuasa ketika operasi mencari mangsa diteruskan.
Presiden Colombia, Encik Abelardo De La Espriella, berkata sekurang-kurangnya 35 orang disahkan maut di Cali dan 188 lagi dilaporkan hilang.
Beliau mengarahkan 1,000 anggota pasukan keselamatan dikerahkan ke bandar itu selepas terdapat laporan kejadian rompakan susulan bencana tersebut.
Perintah berkurung turut dilaksanakan di Cali dan Pereira pada malam 10 Ogos bagi menjaga keselamatan dan memudahkan operasi kecemasan.
“Niat kami adalah untuk bekerjasama dalam apa juga cara yang diperlukan. Dalam soal mempertahankan rakyat dan menunjukkan solidariti, tiada perbezaan atau perpecahan ideologi,” kata Encik De La Espriella.
Pasukan jurutera dan pemeriksa keselamatan kini turut menilai keadaan bangunan yang masih berdiri kerana bimbang struktur yang sudah terjejas boleh runtuh sekiranya berlaku gempa susulan.
Kawasan yang dianggap tidak selamat dikosongkan dan akses orang ramai dihadkan bagi melindungi penduduk serta anggota penyelamat.
Pihak berkuasa turut memeriksa kerosakan terhadap bekalan utiliti dan rangkaian pengangkutan ketika bantuan kecemasan dihantar ke kawasan terjejas.
Tragedi itu turut mengulangi pengalaman ngeri dua remaja Venezuela, Winder Delfín, 15 tahun, dan abangnya Deivi, 17 tahun.
Kedua-duanya terselamat daripada gempa bumi berturut-turut di Venezuela pada Jun yang mengorbankan ribuan orang, termasuk ibu, adik lelaki dan nenek mereka.
Selepas tragedi itu, mereka berpindah ke Cali untuk tinggal bersama bapa mereka, Encik Deivid Delfín, 44 tahun, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Apabila gempa 7.4 magnitud melanda pada 7.34 pagi 10 Ogos, kedua-dua remaja itu sekali lagi terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.
Encik Delfín, yang berada di luar ketika gempa berlaku, bergegas pulang dan pada mulanya tidak dapat menemui anaknya.
“Saya mula menangis kerana takut mengenangkan apa yang pernah saya dan anak-anak alami. Saya tidak mahu apa-apa berlaku kepada mereka,” katanya selepas berjaya menemui kedua-duanya dalam keadaan selamat.
Keluarga itu bagaimanapun terlalu takut untuk kembali ke dalam rumah dan memilih untuk berada di luar.
“Kami tidak apa-apa. Kami berada di sini, masih hidup,” katanya.
Gempa terbaru itu mengingatkan Colombia kepada bencana 1999 yang melanda kawasan pengeluaran kopi yang sama dan mengorbankan lebih 1,000 orang.
Ia berlaku hanya sekitar dua bulan selepas gempa dahsyat di negara jiran Venezuela yang mengorbankan lebih 6,300 orang, sekali gus menambah kebimbangan terhadap siri bencana gempa bumi yang melanda rantau itu. – Agensi berita.
