CARACAS: Pemimpin dunia dan pertubuhan antarabangsa mula menggerakkan bantuan besar-besaran kepada Venezuela selepas dua gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 235 orang dan mencederakan lebih 4,300 yang lain.

Operasi bantuan dan menyelamat kini dipertingkat ketika ratusan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di sekitar Caracas dan negeri pesisir La Guaira.

Pemangku Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodriguez berkata ucapan takziah dan tawaran bantuan diterima dari seluruh dunia susulan bencana itu.

“Kami berterima kasih atas solidariti masyarakat antarabangsa ketika rakyat Venezuela berdepan tragedi besar ini,” katanya dalam satu kenyataan televisyen.

Beliau berkata pasukan penyelamat yang diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan membantu operasi mencari mangsa yang masih hidup.

Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Encik Tom Fletcher berkata organisasi itu sudah “digerakkan sepenuhnya” untuk membantu Venezuela.

“Saya telah bercakap dengan Delcy Rodriguez dan kami sedang menilai segera apa yang diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, agensi kemanusiaan PBB, OCHA, sedang menyelaras penghantaran pantas pasukan mencari dan menyelamat bandar dari pelbagai negara.

“Saya turut menggerakkan pasukan tindak balas segera bagi memperkukuh operasi OCHA di Venezuela,” katanya lagi.

Sepanyol dan Perancis mengumumkan penghantaran puluhan pakar penyelamat, manakala Jerman berjanji menyediakan enam pesawat pengangkut tentera bagi menyokong operasi bantuan.

Switzerland pula menggerakkan 80 anggota penyelamat, lapan anjing pengesan serta 18 tan peralatan untuk dihantar ke Venezuela secepat mungkin.

Amerika Syarikat mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$150 juta ($203 juta) bagi menyokong operasi menyelamat dan pemulihan.

Setiausaha Negara Amerika Encik Marco Rubio berkata aset ketenteraan Amerika akan digunakan bagi membantu operasi logistik dan penghantaran bantuan kecemasan.

“Kami akan melaksanakan tindak balas menyeluruh pemerintah yang besar, pantas dan berkesan,” katanya.

Presiden Amerika Donald Trump turut menyuarakan kebimbangan terhadap bencana tersebut menerusi akaun Truth Social miliknya.

Beliau menyifatkan gempa itu sebagai “amat besar dan mengorbankan terlalu ramai nyawa”.

“Amerika bersedia, rela dan mampu membantu,” katanya sambil menambah agensi pemerintah sudah diarahkan supaya bersiap sedia bergerak segera.

Komando Selatan Amerika turut mengesahkan pengerahan dua kapal Tentera Laut AS, USS Fort Lauderdale dan USS Billings, ke kawasan terjejas.

Kapal tersebut dijangka menyediakan bantuan pengangkutan udara menggunakan helikopter untuk menilai kerosakan dan menghantar bekalan kecemasan.

China pula berkata ia bersedia membantu Venezuela berdasarkan keperluan negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata Beijing “bersedia memberikan bantuan sewajarnya mengikut keperluan pihak Venezuela”.

Iran turut menyatakan kesediaan membantu operasi bantuan dan menyelamat.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata Teheran menyatakan solidariti penuh terhadap rakyat dan pemerintah Venezuela.

Qatar turut menyampaikan ucapan takziah apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, menghubungi Cik Rodriguez melalui telefon.

Di Amerika Latin, beberapa negara jiran segera menggerakkan bantuan kemanusiaan dan pasukan penyelamat.

Presiden Brazil, Ebcik Luiz Inacio Lula da Silva mengumumkan penghantaran hospital medan, 36 anggota bomba serta pakar komunikasi dan penyelamat menggunakan dua penerbangan khas.

Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, berkata negaranya menghantar pasukan penyelamat tentera dan pegawai perubatan ke Venezuela.

“Mexico sentiasa berdiri bersama negara sahabat dan akan terus berbuat demikian,” katanya menerusi platform X.

Presiden El Salvador, Encik Nayib Bukele, pula berkata beliau sudah menyiapkan 300 anggota penyelamat dan paramedik bersama 50 tan peralatan, ubat-ubatan dan bekalan asas.

Cuba memaklumkan petugas kesihatannya sudah digerakkan sepenuhnya untuk membantu mangsa terjejas.

Colombia yang turut merasai gegaran gempa itu mengumumkan penghantaran lebih 60 anggota penyelamat dan 12 tan bantuan kemanusiaan ke Venezuela.

“Colombia akan sentiasa membantu Venezuela,” kata Presiden Colombia, Gustavo Petro.

Argentina, Costa Rica dan Uruguay turut menyuarakan solidariti, manakala Ecuador dan Republik Dominican berkata bantuan kecemasan sedang disiapkan.

Dari Eropah, Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez berkata negaranya memberikan “sokongan penuh” kepada rakyat Venezuela.

“Fikiran kami bersama mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni dan Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, turut menyampaikan ucapan takziah.

Pemerintah Perancis berkata ia berdiri “bersama rakyat Venezuela” selepas kedutaannya di Caracas dilaporkan rosak akibat gempa tersebut.

Kesatuan Eropah (EU) pula mengaktifkan sistem pemantauan satelit bagi membantu penilaian kerosakan dan penyelarasan bantuan.

Pesuruhjaya Bantuan EU, Hadja Lahbib, berkata blok itu “bersedia meningkatkan bantuan”.

Gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 yang melanda kawasan pesisir Caribbean Venezuela pada Rabu menyebabkan kerosakan besar terhadap prasarana termasuk hospital, bangunan kediaman dan lapangan terbang utama negara.

Pihak berkuasa Venezuela telah mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas bagi mempercepat operasi bantuan dan pemulihan.

Ketika operasi menyelamat diteruskan, masyarakat antarabangsa kini memberi tumpuan kepada usaha mencari mangsa terselamat, menyediakan bantuan kecemasan dan membantu Venezuela bangkit daripada antara bencana paling buruk dalam sejarah moden negara itu. – Agensi berita.