Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi cari mangsa gempa Colombia masuki ‘fasa akhir’
Korban cecah 65; tumpuan kini kesan mangsa yang mungkin masih hidup
PEREIRA (Colombia): Operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi dahsyat di Colombia memasuki apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai “fasa akhir” pada 12 Ogos.
Ini sedang pasukan penyelamat berlumba dengan masa untuk mengesan mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud pada 10 Ogos itu – yang paling kuat melanda Colombia pada abad ini – meragut sekurang-kurangnya 265 nyawa, mencederakan lebih 3,500 orang, manakala hampir 500 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa tempatan.
Tumpuan operasi kini diberikan kepada usaha mengesan mangsa yang mungkin masih hidup sebelum tempoh kritikal 72 jam pertama selepas gempa berakhir.
Di Pereira, pasukan penyelamat memberi perhatian khusus kepada sebuah kedai roti yang runtuh selepas mengesan kemungkinan seorang penjaja jalanan, Encik Pablo Loaiza, masih hidup di bawah timbunan konkrit.
Encik Pablo dipercayai terperangkap sejak gempa melanda pada 10 Ogos.
Menggunakan peralatan khas yang mampu mengesan getaran dan pergerakan di bawah runtuhan, pasukan penyelamat berkata mereka menerima petunjuk bahawa Encik Pablo masih hidup.
Perkembangan itu menyebabkan anggota keluarganya berkumpul dengan penuh harapan di luar kawasan runtuhan sambil menunggu operasi menyelamat dijalankan.
“Mereka beritahu kami ia mungkin dia,” kata anak saudaranya yang berusia 16 tahun, Cik Sara Loaiza.
“Jantung saya rasa seperti mahu terkeluar dari dada,” katanya sambil menangis.
Menurut anggota keluarga, lelaki itu dipercayai memberikan tindak balas apabila pasukan penyelamat memintanya mengetuk dua kali dan kemudian tiga kali dari bawah runtuhan.
Bunyi ketukan yang dipercayai sebagai tindak balas itu disambut dengan tepukan orang ramai yang berkumpul di lokasi kejadian.
Operasi mencari mangsa kini menghampiri tempoh 72 jam selepas gempa, yang secara umum dianggap sebagai tempoh paling kritikal untuk menemukan mangsa masih hidup di bawah bangunan runtuh.
Di Cali dan Pereira, pasukan kecemasan bersiap sedia meneruskan operasi untuk malam ketiga berturut-turut dengan menggunakan tangan, kren dan anjing pengesan.
Operasi turut dihentikan seketika setiap 30 minit bagi membolehkan keadaan menjadi senyap supaya penyelamat dapat mendengar sebarang suara, ketukan atau pergerakan dari bawah runtuhan.
“Setiap setengah jam, kami meminta semua orang berdiam diri untuk melihat sama ada kami dapat mengesan orang yang masih hidup.
“Setakat ini, tiga orang berjaya dikeluarkan dalam keadaan hidup dan tiga lagi ditemukan meninggal dunia,” kata seorang anggota penyelamat sukarela, Cik Johana Sanchez, kepada AFP.
Presiden Colombia yang baru dilantik, Encik Abelardo de la Espriella, mengisytiharkan bencana itu sebagai “darurat ekonomi” dan mengumumkan tiga hari berkabung di seluruh negara.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan sambil berikrar bahawa Colombia akan “bangkit semula sebagai sebuah negara dan masyarakat”.
Menurut angka rasmi, lebih 11,000 kediaman musnah, menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal.
Ramai penduduk terpaksa menghabiskan beberapa malam berturut-turut di kawasan terbuka sama ada kerana rumah mereka mengalami kerosakan teruk atau mereka bimbang akan berlakunya gempa susulan.
Di pekan pergunungan El Cairo, penduduk berkumpul di dapur komuniti pada 11 Ogos ketika gangguan bekalan elektrik masih berterusan.
Sebahagian penduduk juga enggan kembali ke rumah kerana masih trauma dengan gegaran kuat yang berlaku.
“Orang ramai tidak mahu masuk ke rumah mereka, mereka tidak mahu tidur dan mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” kata seorang penduduk, Cik Adriana Gonzalez.
Di Roldanillo pula, Cik Yuliana Mendez mencari barangan yang masih boleh diselamatkan daripada runtuhan kedai produk kecantikan tempat beliau bekerja.
Perniagaan itu antara banyak premis yang rosak akibat gempa tersebut.
“Rasanya seperti perlu memulakan segala-galanya semula dari awal,” katanya.
Di kawasan kejiranan Providencia di Pereira, penduduk pula berusaha mengeluarkan perabot dan barangan peribadi daripada bangunan yang rosak.
Seorang peguam, Cik Ana Paulina Crosthwaite, berkata blok apartmennya tidak lagi selamat untuk didiami selepas mengalami kerosakan akibat gempa.
“Kami masih dalam keadaan terkejut,” katanya.
“Kami tidak bersedia untuk memberitahu anak-anak bahawa kami perlu mengemas apa sahaja yang mampu dibawa dan memulakan kehidupan baru.”
Di tengah-tengah kemusnahan itu, rakyat Colombia mula menggerakkan usaha bantuan dengan membawa bekalan air, makanan dan keperluan asas ke kawasan terjejas.
Barisan panjang turut terbentuk di pusat pendermaan darah apabila orang ramai tampil membantu mangsa yang cedera.
“Ia mengenai keinginan untuk membantu masyarakat, bandar dan negara anda,” kata seorang penderma darah, Encik Ferney Cabrera.
Ketika operasi menyelamat memasuki fasa paling genting, pasukan kecemasan terus berpacu dengan masa dengan harapan masih ada mangsa yang dapat dikeluarkan hidup-hidup daripada runtuhan. – Agensi berita.
