Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibuan mangsa gempa di Flores resah tunggu bantuan
Bencana alam di Indonesia ragut 51 nyawa; hampir 5,000 berlindung atas bukit
Ruteng (Indonesia): Ribuan mangsa menunggu bantuan pada 16 Ogos di Pulau Flores, Indonesia, selepas gempa bumi kuat mengorbankan 51 nyawa, mencederakan puluhan serta merosakkan ratusan rumah dan bangunan.
Hampir 5,000 orang meninggalkan kediaman apabila gempa berukuran 7.7 melanda pulau itu pada awal 15 Ogos, diikuti 341 gegaran lanjutan, kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Seramai 36 orang cedera parah, manakala 77 mengalami kecederaan ringan kata Timbalan Menteri Kesihatan Encik Benjamin Paulus Octavianus dalam mesyuarat yang disiarkan.
Beberapa kawasan terputus bekalan elektrik dan perhubungan, manakala satu jalan kecemasan masih tidak dapat dilalui.
“Kami memerlukan makanan, minuman, ubat-ubatan dan lampin kanak-kanak,” kata Encik Umri, 55 tahun, penduduk Nangahale yang berlindung di atas bukit bersama penduduk lain kerana takut pulang.
“Kami memerlukan makanan, minuman, ubat-ubatan dan lampin kanak-kanak,” kata penduduk penduduk kampung Nangahale di pantai utara, Encik Umri, pada 16 Ogos.
Encik Umri berlindung di atas bukit selama 24 jam bersama penduduk lain kerana takut pulang.
Cik Nurhidayati, juga 55 tahun, bermalam di bukit sama.
“Saya masih sangat takut; jantung berdegup kencang mengenangkan gegaran semalam... Saya tidak berani,” katanya, mengingati gempa berukuran 7.7 pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan hampir 2,500 orang.
“Saya berharap pemerintah akan segera mengagihkan bekalan bantuan,” katanya.
BNPB berkata sekitar 101 penduduk Flores dilaporkan cedera.
“Selain kehilangan nyawa, gempa di perairan menyebabkan kerosakan harta benda yang melumpuhkan kegiatan harian penduduk,” katanya pada 16 Ogos.
Mangsa memerlukan khemah kecemasan, makanan, ubat-ubatan, selimut, katil berlipat, tikar, air bersih dan penjana elektrik.
Angka korban meningkat kepada 51 orang pada pagi 16 Ogos.
Pegawai mencari dan menyelamat, Encik Fathur Rahman, berkata tiada laporan mengenai mangsa tertimbus atau hilang.
“Buat masa ini, kami menumpukan sepenuhnya pada usaha pencarian,” katanya.
Gempa cetek itu berpusat di luar pantai utara Flores.
Kawasan terjejas mempunyai sedikit bangunan tinggi.
BNPB berkata sekitar 914 rumah rosak teruk, selain puluhan kemudahan awam termasuk 93 kemudahan pendidikan, 36 kemudahan kesihatan dan 38 pejabat pemerintah.
Pemerintah daerah Nusa Tenggara Timur sedang menetapkan langkah tindak balas kecemasan selama 14 hari.
Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata persiapan dibuat untuk menyalurkan bantuan kepada ribuan mangsa di pusat perlindungan sementara.
Pemerintah menghantar 50,000 bungkusan bantuan seberat 275 tan, manakala Ketua Kesatuan Eropah (EU), Cik Ursula von der Leyen, menawarkan bantuan satelit Copernicus milik EU.
“Indonesia, kami bersama anda,” tulisnya di X.
Selepas gempa, penduduk Flores berlari ke kawasan berbukit apabila air laut surut, yang mungkin menandakan tsunami bakal melanda.
Amaran tsunami kemudian ditarik balik, namun penduduk digesa tidak kembali ke bangunan rosak kerana bimbang gegaran berikutnya boleh menyebabkan bangunan runtuh.
Ombak setinggi 1.6 meter dilaporkan di beberapa kawasan pantai menurut Agensi Geofizik Indonesia (BMKG).
Indonesia sering mengalami gempa kerana kedudukannya di “Lingkaran Api” Pasifik iaitu jalur aktiviti seismik tinggi dari Jepun merentasi Asia Tenggara hingga ke seluruh lembangan Pasifik.
Pada 2004, gempa berukuran 9.1 di perairan Sumatera mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 nyawa di rantau itu, sekitar 170,000 daripadanya di Indonesia.
Ia antara bencana alam paling dahsyat dalam sejarah. – Agensi berita.
