HONG KONG: Pasukan bomba Hong Kong menjangka dapat menyelesaikan operasi mencari dan menyelamat selepas kebakaran terburuk dalam tempoh hampir 80 tahun yang melanda sebuah kompleks pangsapuri pada 28 November, mengorbankan lebih 120 orang dengan puluhan orang masih hilang.
Lagi 79 mangsa dilaporkan cedera dan 16 mayat masih belum dapat dikeluarkan dalam bangunan yang terbakar.
Berdozen lagi masih dilaporkan hilang.
Menjelang awal pagi 28 November, anggota bomba telah dapat mengawal kebakaran yang memusnahkan kompleks apartmen Wang Fuk Court di daerah utara Tai Po.
Estet perumahan itu sedang menjalani pengubahsuaian dengan perancah buluh dan jaring hijau dipasang di sekelilingnya.
Kebanyakan mangsa ditemui di dua blok di kompleks lapan menara itu, kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Bomba Encik Derek Chan.
Beliau berkata anggota bomba menemui penduduk yang masih hidup di beberapa bangunan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
The South China Morning Post melaporkan seorang mangsa yang terselamat ditemui di tangga salah sebuah bangunan.
Anggota penyelamat bergelut dengan kepanasan yang melampau, asap tebal dan runtuhan perancah serta serpihan ketika mereka berusaha menyelamatkan penduduk yang dikhuatiri terperangkap di tingkat atas kompleks tersebut.
“Kami telah memecah masuk ke semua unit di tujuh bangunan tersebut, bagi memastikan tiada penduduk berada di dalamnya,” kata Encik Chan kepada pemberita pada awal pagi 28 November.
Beliau berkata 25 panggilan bagi mendapatkan bantuan masih belum dapat diselesaikan, termasuk tiga dalam beberapa jam kebelakangan ini yang akan diberi keutamaan.
Seorang wanita yang membawa gambar anak perempuannya, dilihat mencari anaknya di luar sebuah pusat perlindungan, salah satu daripada lapan tempat seumpama itu yang menempatkan 900 penduduk.
“Dia dan bapanya masih belum dijumpai,” kata wanita berusia 52 tahun itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Ng, sambil menangis teresak-esak.
“Bomba tidak mempunyai air untuk memadam api di bangunan kami,” tambahnya.
Polis telah menahan dua pengarah dan seorang perunding kejuruteraan Prestige Construction, sebuah firma yang melakukan penyelenggaraan bangunan.
Polis berkata mereka yang ditahan itu disyaki melakukan pembunuhan tanpa niat kerana menggunakan bahan yang tidak selamat.
“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam syarikat itu cuai, yang membawa kepada kemalangan ini dan menyebabkan kebakaran merebak,” kata Superintendan Polis Eileen Chung.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Encik John Lee, berkata pemerintahnya akan memperuntukkan dana HK$300 juta ($50 juta) untuk membantu penduduk sementara syarikat Xiaomi, Xpeng, Tencent dan Geely serta yayasan amal pengasas Alibaba, Encik Jack Ma, telah mengikrarkan sumbangan.
Pada malam kedua selepas kebakaran itu, puluhan mangsa telah memasang tilam di pusat beli-belah berdekatan atas alasan memberi laluan kepada mangsa yang lebih memerlukan di pusat pemindahan rasmi.
Para penduduk – daripada warga emas hinggalah kanak-kanak sekolah – membalut diri mereka dengan selimut dan berkerumun di dalam khemah di luar restoran McDonald’s dan kedai serbaneka tatkala sukarelawan mengagihkan makanan ringan dan peralatan mandi.
Lapan blok kompleks dengan 2,000 unit itu menempatkan lebih 4,600 orang di hab kewangan yang sedang bergelut untuk mengatasi masalah kekurangan perumahan mampu milik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg