Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paetongtarn akan disiasat agensi anti-rasuah, mungkin mohon lanjutan masa hadapi kes mahkamah

Jul 14, 2025 | 8:28 PM
Perdana Menteri Thailand yang digantung tugas merangkap Menteri Kebudayaan yang baharu mengangkat sumpah, Paetongtarn Shinawatra, menghadiri Forum SPLASH - Soft Power 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit di Bangkok pada 9 Julai 2025.
Perdana Menteri Thailand yang digantung tugas merangkap Menteri Kebudayaan yang baharu mengangkat sumpah, Paetongtarn Shinawatra, menghadiri Forum SPLASH - Soft Power 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit di Bangkok pada 9 Julai 2025. - Foto AFP

BANGKOK: Agensi anti-rasuah Thailand dilaporkan akan melancarkan siasatan penuh terhadap Perdana Menteri yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra, atas dakwaan pelanggaran etika serius, menurut laporan media tempatan.

Langkah terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) ini dilihat menambah tekanan undang-undang terhadap Cik Paetongtarn, yang sebelum ini sudah digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan berhubung dakwaan sama berkaitan pengendalian isu pertikaian sempadan.

Menurut laporan beberapa media Thai, keputusan NACC pada 14 Julai itu dibuat susulan siasatan awal terhadap dakwaan sekumpulan senator yang menuduh Paetongtarn melanggar standard etika seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Jika panel penyiasat mendapati terdapat bukti mencukupi, kes tersebut akan dibawa ke bahagian khas Mahkamah Agung untuk proses perbicaraan.

Mahkamah sebelum ini telah menjatuhkan hukuman larangan seumur hidup kepada ahli politik dalam kes etika serupa, menandakan potensi ancaman besar terhadap kerjaya politik awal Cik Paetongtarn.

Kes ini berpunca daripada rakaman perbualan telefon yang tertiris antara Cik Paetongtarn dan bekas Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, yang membincangkan penyelesaian bagi isu sempadan yang masih tegang.

Dalam rakaman tersebut, Cik Paetongtarn didakwa lebih memihak kepada Encik Hun Sen berbanding tentera Thailand, satu perkara yang mencetuskan kemarahan aktivis konservatif dan mencetuskan tunjuk perasaan terbesar dalam beberapa tahun.

Susulan itu, Mahkamah Perlembagaan pada 1 Julai menggantung Cik Paetongtarn daripada menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara siasatan berjalan. Mahkamah memberi tempoh 15 hari untuk beliau mengemukakan kenyataan pembelaan bertulis, namun kini beliau dijangka akan memohon lanjutan masa selama dua minggu.

“Pembelaan sedang disediakan, tetapi jika tidak sempat disiapkan, kami akan memohon lanjutan kepada mahkamah,” kata Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri, Encik Prommin Lertsuridej, dalam sidang media pada 14 Julai.

Menurut Encik Prommin, pasukan pembelaan telah dibentuk, namun beliau enggan mengesahkan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Encik Wissanu Krea-ngam, akan mengetuai pasukan tersebut. Beliau menekankan bahawa pembelaan akan menunjukkan bahawa Paetongtarn mempunyai niat untuk mempertahankan kepentingan negara sepanjang perbualannya dengan Encik Hun Sen.

“Yang penting, Hun Sen bukan wakil rasmi kerajaan Kemboja. Perbualan itu tidak mewakili pendirian rasmi mana-mana negara,” kata Encik Prommin. Beliau turut menuduh Encik Hun Sen mengeksploitasi situasi dengan menyebarkan rakaman tersebut menggunakan “kaedah yang tidak wajar”.

Encik Prommin juga mendedahkan bahawa beliau hadir semasa perbualan itu berlaku dan mengesahkan bahawa Encik Hun Sen yang terlebih dahulu menghubungi Cik Paetongtarn. Perbualan itu telah dijadualkan semula dua hingga tiga kali.

Oleh kerana rasa kurang selesa, Cik Paetongtarn telah meminta Encik Prommin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Encik Phumtham Wechayachai, serta Menteri Luar, Encik Maris Sangiampongsa, untuk turut serta dalam perbualan tersebut.

Menurut Encik Prommin lagi, semasa perbualan berlangsung, jurubahasa peribadi Encik Hun Sen menyatakan bahawa beliau tidak dapat membuat keputusan serta-merta dan perlu merujuk semula kepada Encik Hun Sen, yang kemudian menyebabkan Cik Paetongtarn membuat panggilan balas.

Cik Paetongtarn, anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri dan bilionair Thaksin Shinawatra, kini menghadapi kemungkinan kehilangan jawatan serta larangan daripada menyertai politik, jika Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa beliau bersalah.

Beliau mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024, menggantikan Encik Srettha Thavisin yang juga digugurkan akibat pelanggaran etika berkaitan pelantikan menteri kabinet. Walaupun digantung sebagai ketua kerajaan, Cik Paetongtarn masih memegang jawatan dalam kabinet sebagai Menteri Kebudayaan.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Phumtham Wechayachai, yang kini memangku jawatan Perdana Menteri, menyatakan bahawa kerajaan dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi keputusan mahkamah.

“Presiden mahkamah telah menetapkan garis masa yang jelas. Namun kita bersedia dengan fakta dan saksi yang boleh membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak bertindak secara bersendirian, sebaliknya berunding dengan semua agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan,” jelas Encik Prommin.

Beliau menegaskan bahawa dirinya, Encik Phumtham dan Encik Maris sedia tampil sebagai saksi pembela dalam perbicaraan nanti. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg