BANGKOK – Raja Thailand dijadual melantik barisan kabinet baru pada 3 Julai dalam satu rombakan yang bakal menyaksikan individu ketiga dalam tempoh seminggu mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.
Kekacauan politik ini bermula pada 1 Julai apabila Mahkamah Perlembagaan menggantung Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra daripada jawatannya sementara siasatan berhubung pelanggaran etika menteri dijalankan – satu proses yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan.
Susulan keputusan mengejut itu, kuasa pentadbiran dipindahkan kepada Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Encik Suriya Jungrungreangkit, namun beliau hanya sempat memegang jawatan tertinggi negara itu selama satu hari penuh.
Kini, apabila bekas Menteri Pertahanan, Encik Phumtham Wechayachai, mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau juga akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang lebih kanan daripada Suriya – menjadikan beliau pemangku Perdana Menteri yang baru.
Sebelum digantung, Cik Paetongtarn telah menamakan dirinya sebagai Menteri Kebudayaan dalam barisan kabinet yang baharu, yang bermaksud beliau masih akan kekal dalam kedudukan tertinggi kuasa kerajaan.
Krisis pertukaran kuasa ini berlaku ketika Thailand sedang bergelut untuk memulihkan ekonominya yang lemah dan dalam masa sama berusaha mencapai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat bagi mengelak ancaman tarif 36 peratus yang dirancang oleh Donald Trump.
Encik Phumtham dianggap sebagai sekutu setia kepada Paetongtarn dan ayahnya, Encik Thaksin Shinawatra – tokoh politik berpengaruh dan ketua dinasti keluarga yang mendominasi politik Thailand sepanjang abad ke-21.
Parti-parti yang bersekutu dengan keluarga Thaksin telah lama bersaing dengan golongan konservatif dan pro-tentera sejak awal 2000-an. Namun, para penganalisis berpandangan pengaruh politik keluarga ini kini kian merosot.
Encik Phumtham, 71 tahun, pernah digelar “Big Comrade” kerana penglibatannya dengan gerakan belia berhaluan kiri pada era 1970-an, sebelum beralih ke dunia politik melalui peranannya dalam empayar telekomunikasi milik Thaksin.
Dalam pentadbiran-pentadbiran terdahulu, beliau pernah memegang jawatan Menteri Pertahanan dan Menteri Perdagangan, dan turut memangku jawatan Perdana Menteri ketika berlaku krisis dalam kerajaan tahun 2024.
Cik Paetongtarn turut menerima tekanan susulan pertikaian sempadan yang lama berlarutan antara Thailand dan Kemboja, yang kembali memuncak pada Mei lalu dan mengakibatkan seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran rentas sempadan.
Dalam satu panggilan diplomatik yang dibuat kepada bekas pemimpin Kemboja, Encik Hun Sen, Paetongtarn dilaporkan telah memanggil beliau sebagai “pakcik” dan merujuk kepada seorang komander tentera Thailand sebagai “lawan saya”, menurut rakaman audio yang bocor dan mencetuskan kecaman meluas.
Insiden itu menyebabkan sebuah parti konservatif menarik diri daripada gabungan pemerintah, sekaligus mencetuskan keperluan untuk rombakan kabinet.
Mahkamah Perlembagaan kemudian menyatakan bahawa terdapat “asas kukuh untuk mengesyaki” Cik Paetongtarn telah melanggar etika menteri dalam isu diplomatik tersebut. — AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg