WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata Amerika dan Arab Saudi sangat hampir untuk memuktamadkan satu set perjanjian mengenai tenaga nuklear, keselamatan dan kerjasama pertahanan, yang merupakan sebahagian daripada perjanjian normalisasi yang lebih luas dengan Riyadh dan Israel.
Bercakap pada sidang di Dewan Perwakilan pada 22 Mei, beliau berkata perjanjian tersebut “mungkin dimuktamadkan beberapa minggu lagi”.
Namun, Encik Blinken mengingatkan bahawa untuk normalisasi yang lebih luas diteruskan, mesti ada ketenangan di Gaza dan penyelesaian isu kenegaraan Palestin.
“Perjanjian itu pada dasarnya hampir dapat dimuktamadkan.
“Sekarang sudah tentu kami akan datang ke Kongres bersama mereka apabila ia bersedia untuk disemak, tetapi kami mungkin dapat memuktamadkannya beberapa minggu lagi,” kata beliau kepada Jawatankuasa Peruntukan Dewan.
“Bagaimanapun, untuk normalisasi diteruskan, Arab Saudi telah menjelaskan bahawa walaupun perjanjian antara kami telah selesai, mereka perlu mempunyai dua perkara: mereka perlu melihat ketenangan di Gaza dan laluan yang boleh dipercayai ke pembentukan negara Palestin,” tambah Encik Blinken.
Bagaimanapun, perjanjian yang lebih besar masih sukar dicapai sebahagian besarnya disebabkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berulang kali menolak sebarang rancangan mewujudkan negara Palestin.
Ketika Washington berusaha memulihkan ketenangan di Gaza melalui perjanjian gencatan senjata, beliau berkata bahawa detik pilihan semakin hampir untuk Israel.
Beliau mengetepikan soalan sama ada mana-mana pakatan nuklear sivil Amerika-Saudi akan menyebabkan Riyadh komited kepada “piawai emas” seperti sebelum ini dalam hal pengayaan uranium atau pemprosesan semula bahan api terpakai, kedua-dua proses yang boleh menghasilkan pembuatan bom.
Amerika sebelum ini membayangkan dalam rundingan tiga hala sebelum serangan 7 Oktober bahawa Saudi boleh mendapatkan komitmen keselamatan dan kerjasama nuklear dari Amerika sebagai pertukaran untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
Kini pentadbiran Amerika sedang berunding dengan Riyadh di landasan berasingan dan berusaha memuktamadkan “tawaran besar”, meninggalkan Encik Netanyahu untuk memutuskan sama ada mahu menyertai atau sebaliknya.
Para pegawai Amerika berharap Encik Netanyahu tidak akan melepaskan peluang tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg