Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemulihan hubungan Israel, Saudi direalisasi awal 2024

Sep 22, 2023 | 1:56 PM
SEMAKIN CERAH: Menteri Luar Israel, Encik Eli Cohen menyatakan rangka kerja perjanjian untuk membuka jalan kepada jalinan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi boleh dilaksanakan seawal 2024.
SEMAKIN CERAH: Menteri Luar Israel, Encik Eli Cohen menyatakan rangka kerja perjanjian untuk membuka jalan kepada jalinan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi boleh dilaksanakan seawal 2024. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Satu rangka kerja perjanjian yang diuruskan oleh Amerika Syarikat untuk membuka jalan kepada jalinan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi boleh dilaksanakan pada awal 2024, kata Menteri Luar Israel, Encik Eli Cohen, pada Khamis.

Ini selepas ketiga-tiga negara – Amerika, Israel dan Arab Saudi – memberi isyarat terdapat kemajuan dalam rundingan yang kompleks itu.

Normalisasi hubungan Israel-Saudi akan melakar semula Timur Tengah secara dramatik dengan menyatukan secara rasmi dua rakan kongsi utama Amerika dalam menghadapi Iran – dasar luar Presiden Amerika, Encik Joe Biden yang dilihat untuk dipilih semula pada akhir 2024.

Encik Biden menyuarakan keyakinan tentang prospek termeterai perjanjian tersebut ketika beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu.

Secara berasingan, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman berkata “setiap hari kami semakin hampir” dengan matlamat perjanjian itu.

Namun masalah lain boleh timbul dalam soal hubungan.

Usaha Riyadh untuk melaksana program nuklearnya menguji dasar Amerika dan Israel.

Seruan Arab Saudi dan Amerika agar rakyat Palestin mendapat manfaat daripada sebarang perjanjian yang dipersetujui adalah tidak menyenangkan bagi pemerintah Encik Netanyahu.

“Jurang boleh dirapatkan,” kata Encik Cohen kepada Radio Tentera Israel.

“Ia akan mengambil masa. Tetapi ada kemajuan. Saya fikir pasti ada kemungkinan pada suku pertama 2024. Empat atau lima bulan kemudian, kami akan dapat berada pada titik perincian perjanjian dimuktamadkan,” tambahnya.

Garis masa sedemikian membolehkan pentadbiran Encik Biden melalui tempoh semakan di peringkat Kongres dan Senat Amerika serta memperoleh ratifikasi menjelang undian presiden pada November 2024.

Pada Rabu, seorang pegawai Washington melaporkan bahawa Amerika sedang membincangkan syarat-syarat perjanjian pertahanan bersama Arab Saudi, yang akan menyerupai pakatan tentera dengan Jepun dan Korea Selatan, menurut pegawai Washington.

Langkah itu adalah tumpuan diplomasi kepentingan tinggi Encik Biden untuk mendapatkan kerajaan Arab Saudi memulihkan hubungan dengan Israel.

Di bawah perjanjian itu, Amerika dan Arab Saudi secara amnya akan berikrar memberikan sokongan ketenteraan kepada satu sama lain jika negara tersebut diserang di rantau itu atau di wilayah Arab Saudi.

Menurut The New York Times, perbincangan untuk mewujudkan syarat seperti perjanjian di Asia Timur, yang dianggap antara paling kuat dimiliki Amerika di luar pakatan Eropah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg