DUBAI/WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran telah bersetuju mengenai rangka kerja bagi perjanjian damai selepas lebih tiga bulan berperang, dan kedua-dua pihak dijangka memeterai perjanjian awal itu dalam tempoh 24 jam.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menyatakan demikian pada 13 Jun.

Encik Sharif, yang negaranya bertindak sebagai pengantara dalam peperangan itu, berkata Pakistan kini sedang membuat persiapan bagi proses menandatangani perjanjian secara elektronik.

Langkah itu akan disusuli dengan rundingan di peringkat teknikal pada minggu depan.

Sebelum ini, Amerika dan Iran telah memberikan tanda pada 12 Jun bahawa perjanjian untuk menamatkan peperangan itu sudah semakin hampir.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika berkata kedua-dua pihak telah bersetuju dan Washington menjangkakan akan menandatangani perjanjian awal dalam masa terdekat.

“Kita kini berada lebih dekat dengan perjanjian damai berbanding sebelum ini,” kata Encik Sharif menerusi platform media sosial X.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa perjanjian damai yang bersejarah itu akan membentuk asas yang kukuh bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan.

Peperangan tersebut bermula ekoran serangan bersama Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Iran kemudian membalas dengan menyerang sasaran tentera Amerika di negara Teluk, manakala anggota Hezbollah di Lebanon melancarkan serangan ke arah Israel, sekali gus mencetuskan semula konflik antara Israel dengan kumpulan yang sejajar dengan Iran itu.

Konflik bersenjata itu telah mengorbankan ribuan nyawa, sebahagian besarnya di Iran dan Lebanon, selain mengakibatkan harga tenaga global melonjak tinggi dengan mendadak.

Menteri Ehwal Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata pada 12 Jun bahawa walaupun perubahan dalam perjanjian itu masih boleh berlaku, kesepakatan tentatif tersebut menunjukkan negaranya muncul lebih kuat daripada konflik itu.

Antara cadangan memorandum persefahaman itu termasuk menuntut pembukaan semula Selat Hormuz dan penamatan sekatan tentera laut Amerika ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran, menurut sumber daripada semua pihak yang terlibat dalam rundingan itu.

Rundingan mengenai program nuklear Iran - yang merupakan sebab rasmi Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk memulakan peperangan - akan diadakan selepas itu.

Program nuklear Iran pula akan ditangani semasa rundingan yang dijadual berlangsung selama 60 hari. – Reuters.