WASHINGTON/TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata pada 11 Jun bahawa Amerika Syarikat dan Iran mungkin menandatangani perjanjian damai seawal hujung minggu ini yang boleh membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan perkapalan global.

Bagaimanapun, Iran menegaskan bahawa keputusan muktamad mengenai perjanjian itu masih belum dicapai walaupun sebahagian besar teks rundingan dilaporkan sudah dimuktamadkan.

Jika dimeterai, perjanjian itu bakal menjadi kejayaan diplomatik terbesar setakat ini dalam usaha menamatkan perang yang sudah berlarutan hampir tiga bulan dan mengorbankan ribuan nyawa selain menggoncang ekonomi dunia menerusi lonjakan harga tenaga.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata beberapa perkara penting dalam rundingan telah dipersetujui tetapi Tehran tidak akan berkompromi terhadap “garis merah” negara itu.

“Kami masih belum mencapai keputusan akhir mengenai perkara ini,” katanya menurut media Iran.

“Ia isu yang sangat penting dan sedang diteliti oleh badan pembuat keputusan berkaitan.”

Encik Trump pula memberitahu wartawan di Rumah Putih bahawa Washington telah mencapai “penyelesaian besar” dalam perang dengan Iran.

“Kami baru sahaja mencapai penyelesaian hebat bagi perang dengan Iran,” katanya.

“Selat itu akan dibuka secara rasmi sebaik sahaja kami menandatangani perjanjian, dan ia mungkin berlaku tidak lama lagi, mungkin hujung minggu ini di Eropah.”

Encik Trump turut berkata Naib Presiden Amerika, Encik J. D. Vance, mungkin akan menandatangani perjanjian bagi pihak Washington.

Apabila ditanya sama ada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, sudah meluluskan perjanjian itu, Encik Trump menjawab: “Setahu saya, jawapannya ya.”

Beberapa jam sebelum mengumumkan perkembangan positif dalam rundingan itu, Encik Trump mengancam untuk terus melancarkan serangan “dengan sangat kuat” terhadap Iran selain mengancam untuk “merampas” Pulau Kharg, yang merupakan terminal tenaga penting bagi Teheran.

Ketika ditanya sama ada ancaman itu masih dipertimbangkan, Encik Trump memberitahu pemberita: “Jika kami menandatangani perjanjian ini, ia tidak lagi berbangkit.” 

Pengumuman Encik Trump dibuat selepas beliau membatalkan rancangan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran dengan alasan rundingan menunjukkan perkembangan positif.

Berita itu segera merangsang pasaran saham Amerika Syarikat manakala harga minyak dunia jatuh lebih tiga peratus selepas pelabur melihat kemungkinan perang bakal ditamatkan.

Sejak pertengahan Mac lalu, Encik Trump beberapa kali mendakwa bahawa perjanjian damai dengan Iran hampir dicapai. Namun kedua-dua pihak masih saling melancarkan serangan walaupun gencatan senjata diumumkan pada April.

Encik Trump menegaskan bahawa sebarang perjanjian damai mesti memastikan Iran tidak dapat membangunkan senjata nuklear.

“Perkara paling penting ialah tiada senjata nuklear di Iran. Ia tidak boleh dibangunkan dan tidak boleh dibeli,” katanya lagi dalam satu acara kempen melalui telefon.

Iran pula terus menafikan dakwaan bahawa negara itu sedang membangunkan senjata nuklear.

Dalam rundingan itu, Teheran dilaporkan menuntut supaya sekatan antarabangsa ditarik balik, berbilion dolar aset yang dibekukan dibebaskan, selain pengiktirafan terhadap kawalannya ke atas Selat Hormuz.

Konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu bermula apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Iran yang turut membawa kepada kematian pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Perang itu kemudian merebak ke Lebanon dan beberapa kawasan lain di Asia Barat, menyebabkan ribuan terbunuh serta menjejaskan ekonomi dunia akibat kenaikan mendadak harga tenaga.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pertempuran kembali memuncak walaupun gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa.

Pada 8 Jun lalu, Encik Trump mengarahkan serangan baharu di sekitar Selat Hormuz selepas sebuah helikopter Apache Amerika ditembak jatuh.

Iran pula melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan tentera Amerika di rantau itu termasuk Jordan, Kuwait dan Bahrain.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain berkata seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun cedera ringan selepas serpihan dron Iran yang dipintas jatuh berhampiran kawasan perumahan.

Sebelum ini, Encik Trump turut mengancam untuk menyerang hab eksport minyak Iran di Pulau Kharg, yang mengendalikan sekitar 90 peratus eksport minyak negara itu.

Sekiranya hab itu diserang atau dirampas, ia boleh memberi tamparan besar kepada ekonomi Iran serta mengganggu perdagangan tenaga dunia.

Media pemerintah Iran pada awal 12 Jun pula melaporkan bahawa pihak berkuasa negara itu menghalang sebuah kapal tangki minyak daripada melalui Selat Hormuz tanpa penyelarasan rasmi.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran tenaga dunia, tetapi sebahagian besar laluannya terganggu sejak perang bermula.

Perkembangan konflik itu turut menjadi tekanan politik kepada Rumah Putih apabila tinjauan pendapat menunjukkan populariti Encik Trump merosot akibat kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga petrol.

Beberapa ahli Republikan juga bimbang perang yang tidak popular itu boleh menjejaskan peluang parti mereka dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November nanti.

Dalam masa sama, Encik Trump perlu memastikan bahawa sebarang perjanjian dengan Iran benar-benar menutup laluan Teheran untuk membangunkan senjata nuklear bagi mengelakkan kritikan daripada kumpulan konservatif pro-perang di Amerika.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut mengadakan perbualan telefon dengan Encik Trump dan menegaskan bahawa sebarang memorandum persefahaman mesti merangkumi penghapusan bahan nuklear diperkaya Iran serta pembongkaran prasarana peluru berpandu negara itu.

Namun pejabat Netanyahu menegaskan bahawa Israel bukan pihak kepada memorandum persefahaman berkenaan.

Di Teheran, ramai penduduk masih ragu terhadap kemungkinan perjanjian itu berjaya dimeterai.

Seorang ahli farmasi berusia 35 tahun dikenali sebagai Majid berkata perang telah memberi kesan besar terhadap kehidupan harian rakyat Iran.

“Saya langsung tidak optimistik perjanjian ini akan berjaya kerana jurang antara kedua-dua negara terlalu besar,” katanya.

Beliau turut menyalahkan Israel serta kumpulan garis tegar di Iran yang menurutnya terus menghalang kemajuan rundingan damai. - Agensi berita