Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakistan dakwa tembak jatuh 5 pesawat tentera India

Syarikat penerbangan komersial elak ruang udara Pakistan susulan serangan India
May 7, 2025 | 1:09 PM
Pakistan, India, Srinagar, serangan
Orang ramai berdiri berhampiran serpihan pesawat yang belum dikenal pasti di kawasan pekarangan sebuah masjid di Pampore, pinggir bandar Srinagar, India, pada 7 Mei. - Foto EPA-EFE

MUZAFFARABAD (Kashmir): Pakistan mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat pejuang India pada 7 Mei, termasuk tiga Rafale, satu SU-30 dan satu MiG-29, dalam satu tindak balas segera susulan serangan udara India ke atas wilayahnya.

Dakwaan itu disahkan jurucakap tentera Pakistan kepada agensi berita, Reuters, manakala Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Muhammad Asif, turut menyatakan beberapa anggota tentera India turut ditawan.

Islamabad menyifatkan tindakan India itu sebagai “perisytiharan perang secara terang-terangan”, selepas serangan udara India mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang di Muzaffarabad, Kotli dan Bahawalpur – semua terletak dalam wilayah Pakistan.

“Mereka yang memulakan serangan dan kami hanya bertindak balas.

“Kami sudah nyatakan sejak dua minggu lalu bahawa kami tidak akan memulakan permusuhan. Tapi jika India menyerang, kami akan membalas. Jika India berundur, kami juga akan berundur,” tambah Encik Asif.

India menyatakan serangan yang dinamakan ‘Operasi Sindoor’ menyasarkan sembilan lokasi di Pakistan dan di Jammu dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Menurut kenyataan pemerintah India, kesemua sasaran merupakan prasarana kumpulan militan yang didakwa merancang serangan terhadap India.

“Tindakan kami bersifat terhad, tepat dan tidak bertujuan meningkatkan konflik. Tiada kemudahan ketenteraan Pakistan disasarkan dan kami menunjukkan kawalan dalam memilih sasaran serta cara pelaksanaan,” kata kenyataan rasmi pemerintah India.

Namun begitu, tentera Pakistan mengesahkan serangan peluru berpandu India telah mengena kawasan awam termasuk kawasan berpenduduk dan masjid.

Di Muzaffarabad, serangan telah menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam, termasuk seorang remaja perempuan yang terbunuh apabila sebuah masjid musnah akibat serangan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Wuyan di Kashmir yang ditadbir India memberitahu CNN, sebuah pesawat pejuang tidak dikenali terhempas di sebuah bangunan sekolah.

“Kami dengar bunyi kuat di langit, kemudian meletup. Kami lari keluar dalam keadaan panik dan nampak api. Mujur tiada sesiapa cedera,” kata Encik Abdul Rashid.

Gambar oleh agensi AFP turut menunjukkan serpihan pesawat di kawasan lapang bersebelahan bangunan batu merah.

Letupan-letupan kuat juga dilaporkan di bandar utama Srinagar, hampir serentak dengan waktu India mengumumkan serangan udara, menyebabkan kebimbangan penduduk semakin memuncak.

Susulan krisis tersebut, banyak syarikat penerbangan komersial mengelak ruang udara Pakistan.

Data daripada Flightradar24 menunjukkan lebih 52 penerbangan dari dan ke Pakistan telah dibatalkan atau dilencongkan.

Lapangan Terbang Srinagar juga ditutup kepada trafik awam.

Eva Air dari Taiwan menyatakan beberapa penerbangan ke Eropah akan dilencongkan melalui Vienna.

Korean Air pula mengubah laluan penerbangan dari Incheon ke Dubai agar tidak melintasi ruang udara Pakistan.

Thai Airways dan Vietnam Airlines turut memaklumkan perubahan laluan penerbangan yang mungkin menyebabkan kelewatan.

China Airlines membatalkan penerbangan terus ke London dan mengaktifkan pelan kecemasan.

Kedua-dua pihak saling berbalas tembakan artileri dan senjata ringan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) sejak pagi 7 Mei.

Letupan kedengaran sehingga ke kawasan luar bandar di Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Hospital-hospital di wilayah Punjab diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sekolah di kedua-dua wilayah ditutup.

Menurut seorang pegawai kanan India, New Delhi telah menghubungi beberapa negara penting seperti Amerika Syarikat, Britain, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Russia untuk memberi taklimat tentang tindakan mereka.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan antarabangsa terhadap operasi ketenteraan tersebut.

Jurucakap Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Stephane Dujarric, dalam kenyataan berkata, dunia tidak mampu menyaksikan konfrontasi ketenteraan antara India dengan Pakistan, sambil menggesa ‘tindakan paling berhemah’ diambil. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg