NEW DELHI: Tentera India dan Pakistan berbalas tembakan di Kashmir yang dipertikaikan untuk malam kelima berturut-turut, kata tentera New Delhi pada Selasa 29 April, seminggu selepas serangan yang menyasarkan pelancong menyebabkan hubungan menjadi renggang.
Tentera India berkata, askarnya dan tentera Pakistan melepaskan tembakan sesama mereka semalaman di sepanjang Garis Kawalan, sempadan de facto di Kashmir yang dipertikaikan, zon berkubu kuat pos-pos Himalaya altitud tinggi.
Tiada pengesahan segera dari Pakistan.
Hubungan antara negara jiran bersenjata nuklear itu merosot selepas India menuduh Pakistan menyokong serangan paling maut dalam beberapa tahun ke atas orang awam di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April, di mana 26 lelaki terbunuh.
Islamabad telah menolak tuduhan itu, dan kedua-dua negara sejak itu telah berbalas tembakan di Kashmir, kecaman diplomatik, mengusir warga negara dan mengarahkan sempadan ditutup.
India berkata dalam tempoh semalaman pada 28 April hingga 29 April, “Tentera Pakistan telah melepaskan tembakan tanpa provokasi merentasi Garisan Kawalan”, di kawasan bertentangan daerah Kupwara dan Baramulla, serta di sektor Akhnoor.
Tentera India berkata tenteranya telah “bertindak balas dengan cara yang terukur dan berkesan terhadap provokasi itu”. Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.
India telah berkata bahawa tarikh 29 April adalah hari terakhir bagi warga Pakistan untuk meninggalkan negaranya.
Penganalisis berkata mereka khuatir kenyataan bertelagah akan meningkat kepada kemungkinan tindakan ketenteraan.
Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam, telah dibahagikan antara India dengan Pakistan sejak kemerdekaan mereka daripada pemerintahan British pada 1947. Kedua-duanya menuntut wilayah itu sepenuhnya.
Pemberontak di kawasan yang dikendalikan oleh India telah melancarkan pemberontakan sejak 1989, berjuang untuk meraih kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.
Polis India telah mengeluarkan poster untuk tiga lelaki dalam senarai dikehendaki - dua warga Pakistan dan seorang India - yang diwakwa menganggotai kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, sebuah pertubuhan pengganas yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka telah mengumumkan ganjaran dua juta rupee (S$30,760) untuk maklumat yang membawa kepada penahanan setiap suspek lelaki itu.
PBB telah menggesa kedua-dua pihak agar menunjukkan “kekangan maksimum”, manakala China, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua India dan Pakistan, menggesa kedua-negara supaya menahan diri masing-masing.
Iran telah pun menawarkan untuk menjadi pengantara, dan Arab Saudi berkata Riyadh cuba “mencegah peningkatan”. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg