ISLAMABAD, Pakistan: Pakistan dan Afghanistan akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan damai di Istanbul minggu depan dan akan mengekalkan gencatan senjata sehingga itu, kata Kementerian Luar Turkey ketika mengesahkan lhal itu pada lewat 30 Oktober.
Rundingan itu, yang dijadualkan pada 6 November, berlaku susulan pertempuran paling dahsyat antara negara jiran Asia Selatan itu sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.
Lebih 70 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam keganasan yang meletus selepas letupan di Kabul pada 9 Oktober, yang dipersalahkan oleh pihak berkuasa Taliban ke atas Pakistan.
“Semua pihak telah bersetuju untuk meneruskan gencatan senjata. Kaedah pelaksanaannya akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat peringkat tinggi di Istanbul pada 6 November 2025,” kata Kementerian Luar Turkey dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak telah mengadakan rundingan baru-baru ini di Istanbul di bawah pengantaraan Turkey dan Qatar tetapi Islamabad berkata pada 29 Oktober bahawa rundingan itu telah gagal.
Sumber keselamatan Pakistan, penyiar pemerintah Pakistan PTV dan penyiar pemerintah Afghanistan RTA semuanya berkata bahawa rundingan itu mungkin akan disambung semula.
RTA menyalahkan kegagalan rundingan sebelum ini atas “tuntutan yang tidak munasabah daripada pihak Pakistan”.
Pegawai Afghanistan tidak mengulas secara terbuka tentang kemungkinan menyambung semula rundingan.
Hubungan antara bekas sekutu, yang berkongsi sempadan sepanjang 2,600 kilometer, telah merudum dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan militan yang melancarkan serangan rentas sempadan, terutamanya Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), yang dikatakan menggunakan wilayah Afghanistan sebagai pangkalannya.
Pemerintah Taliban secara konsisten menafikan dakwaan tersebut.
“Sebarang serangan pengganas atau sebarang pengeboman berani mati di Pakistan akan memberi anda rasa pahit yang sukar ditelan akibat kesilapan sedemikian,” kata Menteri Pertahanan Pakistan Encik Khawaja Asif.
“Kami adalah orang Islam, bersaudara dan hidup berjiran, tetapi sesetengah pihak di Pakistan secara sedar atau tidak sedar, bermain dengan api dan perang,” kata Menteri Dalam Negeri Taliban, Encik Sirajuddin Haqqani.
Beliau berkata, rakyat Afghanistan “tidak mahukan perang,” namun “mempertahankan wilayah itu adalah salah satu keutamaan.”
Gencatan senjata masih berkuat kuasa, tetapi sempadan antara kedua-dua negara telah ditutup selama lebih dua minggu.
Keganasan itu membunuh sekurang-kurangnya 50 orang awam Afghanistan dan mencederakan 447 yang lain dalam masa seminggu.
Tentera Pakistan berkata pada 23 anggotanya telah terbunuh dan 29 cedera. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg